Thursday 15 November 2012

Salam Maal Hijrah



Hidup ini suatu perjalanan, hanya yang tekal berusaha kan mara ke hadapan .. 




Duh.

"Kau buat lagi!"

"Hah?"

"Kau kembali menyepi!"

"Oh .. kau maksudkan blog aku?"

"Hmm.. tau tak mengapa..."

Saya tergelak kecil. Begitulah sahabat saya nan seorang itu.  Meski dia bukanlah 'peminat' kepada penulisan saya malah dia sendiri tidak 'suka' menulis di blog, kiranya dia seringkali gemar membaca. Mungkin blog saya juga mencuri perhatiannya. Maksud saya, blog lama saya yang dahulu-dahulu namun telah terkubur kini.

"Maaflah." jawab saya. Sepatah.

"Kau sibuk sangatkah?", tanpa memandang saya kerana jemarinya sibuk menekan sesuatu di telefon bimbit.

"Boleh tahan ..". Dua patah.

Entah. Saya kira bukan saya kehilangan minat untuk terus menulis namun semenjak kebelakangan ini rutin saya agak terbatas. Sukar mencari ruang senggang. Saya terangkan sebab kenapa saya 'berhenti' sementara.

"Aku belum pencen!" tegas saya. Tiga patah.

"Hahahaha!!" tawanya terhambur keluar. "Bagus! aku sebenarnya mahukan blog lama engkau tu dihidupkan semula! Di situ aku temui jiwa!"

Saya hanya membisu. "Biarkan aku teruskan dengan yang ini sahaja .. lebih bersederhana .." saya menyengih.

Acara petang itu agak santai. Meski sering bertemu untuk makan berteman, banyak kisah kami kongsikan. Sudahnya, teh di kole habis dihirup lalu kami bersurai.

Salam Maal Hijrah buat semua rakan maya .. entah masih mengingati diri saya entah tidak.
Semoga tahun baru memberi seribu makna dalam kehidupan sebagai hamba-Nya!




Monday 18 June 2012

Musim ujian tiba lagi



Minggu-minggu di sepanjang peperiksaan akhir semester sememangnya agak menyenangkan buat saya. Tiada lagi kuliah dan tutorial, heh. 

Namun bagi para pelajar, nampaknya deretan tarikh peperiksaan yang kebanyakannya begitu dekat antara satu sama lain (ada beberapa kertas yang tidak mempunyai senggang langsung) membuatkan mereka dalam keadaan yang agak tegang. Nah, itulah kehidupan sebagai pelajar. Memang perit, namun kemanisannya akan dapat dirasai apabila mencapai keputusan yang cemerlang kelak. 

Kenangan selama beberapa tahun di kampus Lembah Pantai masih kukuh dalam memori. Bangunan Peperiksaan, Dewan Tunku Canselor dan Panggung Eksperimen - antara tempat saya mengambil peperiksaan. Namun suhu penghawa dingin di Panggung Eksperimenlah yang paling kejam. Jika terlupa membawa jaket, tentu menggigil di bangku! 

Panorama sebelum memasuki dewan peperiksaan juga sungguh meriah. Ramai akan berkumpul dalam kumpulan tersendiri sambil memegang nota kecil di tangan dan bersoal jawab sesama rakan. Ada pula yang lebih senang menyendiri sementara mulut kumat kamit menghafal (atau mungkin membaca doa penerang hati heh). 

Apapun, demam peperiksaan merupakan asam garam kehidupan mahasiswa manakala bagi pensyarah pula inilah waktu senggang. Namun itu tidak lama. Sebeban kertas jawapan pasti menyusul tiba! 

Oh oh .. masa begitu pantas berlalu pergi. Kita ini begitu sibuk dengan perkara duniawi .. sedangkan akhirat menanti di sana. Bagaimana pula dengan bekalan kita ke sana?  :( 


Tuesday 29 May 2012

Apa ada pada nama



Hati tiba-tiba tercuit bila membaca refleksi metakognitif para pelajar yang saya terima lewat petang semalam tentang proses yang mereka lalui di sepanjang aktiviti mereka dalam menyiapkan tugasan untuk kursus yang mereka pelajari itu. Maklumlah, pembentangan kesemua tugasan telah berjaya mereka laksanakan jadi moleklah kiranya saya meminta mereka menulis sebanyak mana yang mereka mahu tentang refleksi terhadap setiap pengalaman tersebut.

Kisah berkaitan pembinaan video saya kira paling menarik kerana di situ banyak cerita - ada yang lucu ada yang serius - ditulis mereka. Sesekali pecah juga dekahan kecil apabila membaca cerita-cerita yang mencuit hati. Apatah lagi bila saya dapat mengaitkan kisah yang ditulis dengan hasil video yang telah mereka tayangkan minggu nan lepas.

Ada satu bahagian di mana beberapa pelajar menulis tentang bagaimana mereka mencipta 'nama karya' atau nama pena. Ada yang mengakui asal usul nama pena mereka itu datangnya daripada gelaran semasa kecil, atau ada juga yang mengaitkannya dengan pengaruh filem serta novel yang pernah dibaca.

Hmm .. saya sendiri kala remaja dahulu sebenarnya ada satu nama pena. AFFARIZU BIJAYA.
Seorang rakan saya berkata, bunyinya kayak dari seberang! Mungkin sahaja kerana ada perkataan Bijaya di belakang. Hahaha .. Sebenarnya ada kisah lucu juga di sebalik kemunculan nama itu. Namun rasanya tidak perlu saya ceritakan di sini kerana itu akan membuat perut saya pecah mahu menghambur tawa bila mengenang kenakalan saya ketika itu!

Namun, saya juga punya sahabat lain yang punya nama pena yang unik. Misalnya, Zusharul Aminahairimi, atau Yushamiza Suzimar atau Kamozaid. Malah saya pernah membayangkan akan membuka satu toko buku bernama KAMARIZA bersama sahabat baik saya itu. Hahaha .. Kay, entah bilakan tercapai agaknya impian murni itu?

Begitulah.
Kata orang apa ada pada nama.
Namun nama itu sebenarnya identiti yang memberi refleksi kepada pemilik nama tersebut.
Saya pasti setiap kita ada kisah berkaitan nama dan semua itu sebenarnya memberi percikan warna kepada pengalaman dan kisah hidup kita. Apatah lagi jika ada peristiwa mencuit hati di sebalik semuanya itu :)



Sedikit renungan:

Hadis riwayat daripada Ibnu Hibban: 
'Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, maka perelokkanlah nama-nama kamu". 




Wallahu a'lam ..

Friday 25 May 2012

London

Sahabat saya, Sally begitu teruja apabila memperkatakan tentang kemenangan kelab Chelsea dalam kejuaraan UEFA tempohari. Saya tahu benar, bahawa suaminya merupakan peminat tegar kelab tersebut dan saya kira beliau turut jatuh hati dengan kehebatan pemain-pemain Chelsea yang saya sendiri tidak mampu untuk mengingati nama-nama mereka.


Gara-gara minat Sally (pengaruh daripada sang suami, rasa saya) yang mendalam terhadap pasukan ini akhirnya membawa kami ke Stadium Chelsea di Stamford Bridge - sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan kerana saya bukanlah 'kaki bola'. Satu-satunya perlawanan bolasepak yang saya suka adalah kejuaraan Piala Dunia yang hanya dapat dinikmati selang empat tahun sekali itu. Sempat juga singgah di kedai cenderamata Chelsea. 



Sekadar menjamu mata 


Tiada yang menarik hati saya yang bukan penggemar bola ini 



Hakikatnya, kecenderungan saya lebih kepada terapi minda di tempat membeli belah. Meski tidak banyak yang mampu dibeli namun dengan window shopping sahajapun sudah OK ;) dan Harrods cukup indah. Banyak department sehingga boleh pening dibuatnya. Uniknya di sana kerana setiap bahagian dihias mengikut tema. Gara-gara begitu teruja melihat barangan dagangan, saya terlupa memegang lensa kamera .. hanya beberapa keping sahaja yang dirakam. Dan oh, kotak-kotak teh yang pelbagai sungguh mengujakan! 



Harrods di Knightsbridge 


Susun atur di Harrods 




Demi janji buat suami tercinta, saya dan Sally sanggup pula menapak ke Hard Rock Cafe yang sebenarnya tidaklah terlalu jauh dari Harrods. Sekadar mencari sehelai dua t-shirt. Menariknya di HRC London kerana hiasan kepala gitar yang memenuhi dinding di belakang cashier. Deretan beberapa buah gitar ekslusif turut menjadi hiasan dalaman. 







Tidak lengkap perjalanan ke London tanpa menjenguk Big Ben. Meski ini bukan kali pertama menjenguk Big Ben dan Westminster, namun saya tetap saja teruja. Indah sekali rekabentuk senibina di sekeliling, termasuklah House of Parliment dan Eyes of London dan oh, jalan-jalan di sana sentiasa sibuk dengan kenderaan yang bertali arus. 





Hebat. Bagaimana saya dan Sally mampu menapak sejauh itu, fikir saya semula. Selain berulang alik naik turun di stesen undeground, selebihnya kami memang menggunakan kudrat kaki untuk ke satu-satu tempat. Meski langit agak mendung dan renyai halus, Tower Bridge tetap menggamit. Sempat pula melihat bagaimana jambatan diangkat untuk laluan si kapal tetapi tinggi itu. 




Trafalgar Square yang tidak lagi semeriah dulu. Entah. saya merasakan sesuatu yang hilang bila kelibat kawanan merpati kian hilang kerana larangan memberi makan kepada unggas-unggas kecil itu. Namun sisa-sisa kawanan itu masih ada, cuma sesekali terbang rendah dan hinggap di birai benteng. 

merpati London.. 


sunyi.. 


MARA house di Paddington menjadi tempat penginapan kami. Hajat untuk bermalam di Bayswater (Malaysian Hall) terhalang kerana hostel terpaksa di'block' untuk acara lain. Walau bagaimanapun, bilik di MARA House tidaklah seselesa mana, namun cukuplah untuk pengembara seperti kami. (Sal, masih ingatkah bagaimana kita cuba menggodam password untuk wifi di sana keh3). 


Oh, Sabtu yang indah sekali. Meski jutaan belia dikatakan datang ke sini (Putrajaya), saya tiada niat ke sana. Lebih bermakna untuk diam di rumah bersama keluarga. 
Selamat berhujung minggu. 

Wednesday 23 May 2012

Mencari ruang senggang


Sekadar mencari sedikit ruang senggang .. 
sambil mengasah otak yang kian tumpul dan idea yang makin hilang ... 

Seorang sahabat menghubungi saya bertanyakan khabar. 
Saya katakan ini waktu kronik. 
Bukan waktu berlenggang atau berdondang sayang. 
Saya perlukan ruang senggang. 
Untuk diri sendiri dan pencapaian peribadi. 
Bukan mementingkan diri namun itu tugas hakiki. Dan itu juga janji. 

Oh oh .. saya tertarik sekali dengan hidangan drama Korea di malam hari yang menjadi tatapan sekeluarga kini. 
Miss Ahjumma. 
Lihat - seorang wanita yag mengorbankan segalanya demi suami dan anak tercinta namun akhirnya tewas di tangan wanita lain gara-gara penampilannya yang tiada lagi indah di mata suami. Duh. Saya tidak mahu itu terjadi. Kerana itu juga, ruang senggang perlu dicari ;) 


Sumber: 

p/s: sabar menanti penampilan baru dan segar si Geum Hwa - isteri teraniaya itu :)

Monday 21 May 2012

Everything starts somewhere




Sabtu baru-baru ini. Sengaja saya meluangkan sedikit masa untuk menjenguk pembentangan para pelajar siswazah sempena Kolokium Fakulti. Tujuan sebenar kolokium ini adalah sebagai platform untuk para pelajar sama ada di peringkat Sarjana mahupun Doktor Falsafah untuk mendapatkan maklum balas serta buah fikiran daripada pembaca dan khalayak yang ada. Proses ini sebenarnya melibatkan aktiviti refleksi yang bakal disusuli proses pemurnian dari sudut sama ada methodologi, analisis data, penulisan, malah turut melibatkan peringkat perancangan sesebuah penyelidikan.


Menurut pandangan sesetengah pelajar, proses pembentangan wajib ini seolah-olah suatu 'beban' kepada mereka kerana perlu bersiap sedia menghadapi hari yang ditetapkan untuk di'bantai' dan di'basuh' oleh pembaca dan tidak kurang juga khalayak yang mendengar. Namun, dari sisi yang positifnya, saya kira proses ini sangat membantu kerana perjalanan sesebuah penyelidikan di peringkat siswazah sememangnya bersifat 'lonely' yang kadangkala boleh membawa seseorang itu ke 'lorong yang sesat lagi menyesatkan'. Apa lagi jika hubungan baik dengan penyelia tidak diambil berat. Lalu, terjadilah peristiwa di mana pelajar dengan bangga mengatakan yang dia sebenarnya 'menyelia dirinya sendiri'. Duh.


Melihat beberapa pembentangan di hadapan mata, membuat saya berfikir. Memang beruntunglah mereka yang melanjutkan pengajian di sini. Pengalaman saya bergelumang dengan penyelidikan di kampus Nottingham, sebenarnya amat berbeza. Semuanya sendiri-sendiri. Hanya saya dan mereka - dua penyelia. Tiada pembentangan rasmi seperti yang mereka ini lalui. Hanya semangat dan perkongsian dengan sahabat-sahabat sekapal sahaja menjadi sumber utama kekuatan untuk terus melangkah.


Entah kenapa kaki saya ringan melangkah ke bilik itu. Mungkin kerana tajuknya sedikit sebanyak berkait dengan bidang saya dan mungkin juga kerana saya sebenarnya mengenali pembentang tersebut. Lalu saya menyertai yang lain di situ. Pembentang sebenarnya masih dalam peringkat usulan, lalu tidak hairanlah isinya masih boleh dipersoalkan. Hipotesisnya yang panjang lebar itu seharusnya digabungkan sahaja dengan objektif kajian. Manakala sorotan literaturnya masih belum benar-benar menyentuh isu utama kajian beliau. Itu pendapat saya.


40 minit berlalu. Beberapa persoalan dibangkitkan. Pembentang agak tenang, namun kadangkala tidak memahami soalan yang dikemukakan. Seorang professor meminta beliau mengemukakan pandangan tentang apa itu 'penyataan masalah' dalam sesebuah kajian. Jawapannya begitu santai - bahawa penyataan masalah adalah sesuatu yang amat penting dalam sesebuah kajian lalu disambut tawa kecil para hadirin. Oh oh .. saya cuba meletakkan diri di tempatnya. Jikalaulah saya yang berada di situ, membentang usulan penyelidikan pada peringkat di mana dia berada, adakah mampu untuk saya menangani kesemua persoalan itu dengan bijaksana. Saya tidak memandang rendah kepadanya. Tidak sekali-kali kerana saya pasti everything starts somewhere! Namun saya begitu simpati kerana professor si pembaca usulan tadi memutuskan agar beliau mengulangi pembentangan pada kolokium akan datang kerana tidak berpuas hati dengan apa yang dibentangkan - tidak fokus, dangkal, tiada contribution bla bla bla .. sesuatu yang amat jarang berlaku.


Kebetulan ketika saya melangkah keluar dari bilik pembentangan, saya berpapasan dengan sahabat lama saya itu. Dia menyalami saya dan saya lihat matanya berkaca.


"Aku kurang bersedia sebenarnya!" terangnya tanpa dipinta.


"Sabarlah. Anggap ini satu proses pembelajaran yang mematangkan," jawab saya pula.


"Alangkah bagus jika aku tidak mendaftar sebagai pelajar di sini!" dia melempar pandangan yang jauh.


"Oh oh jangan kau berfikir begitu sahabat. Kau lebih beruntung kerana 'dipimpin' dalam bentuk sedemikian. It's for your own good!"


"Nanti aku jumpa kau di bilik, boleh? Tolong betulkan usulan ni!"


"Penyelia kau mana?", entah kasar barangkali jawapan saya.


"Susah.. susah .." dia menggeleng kepala.


Buat sahabat ini, dan mereka yang sekapal, saya kongsikan sedikit kata semangat sebagai pemangkin buat kita semua untuk terus bangun dan jangan cepat mengundur diri. Sesungguhnya perjalanan PhD setiap individu tidak akan sama, percayalah. Hanya kepada Allah juga kita mengadu. Selebihnya, bijaksanalah dalam menangani isu yang datang dan pergi, selain lestarikan hubungan anda dengan penyelia.


Dipetik dari pengalaman mereka yang telahpun tiba ke destinasi:

- The best way to learn is to ask people to criticize your work. Excellence is not perfection. Don't be afraid to show your weakness (Wang, Z.)

- Keep an open mind and don't be afraid to take risks. Putting yourself in uncomfortable and challenging positions can lead to more satisfying results in the long term (Gopinath, A.)

- Work as hard as you can to finish your dissertation as fast as you can (Pattichis, M.)

- The quality of interaction with your advisers is proportional to your willingness to interact with them (Kite, T.)

Selamat mengayuh! ;)









Sunday 20 May 2012

Harga sebuah usaha

Bermula minggu ini, kelas tutorial menjadi medan para pelajar menunjukkan hasil kerja mereka. Itu perjanjian. Malah saya turut menjanjikan markah bonus bagi setiap individu yang membentangkan hasil tugasan degan cemerlang dan bersungguh-sungguh. Saya katakan begitu kerana ada dalam kalangan mereka yang seolah-olah kurang mengambil endah tentang tarikh penyerahan. Ada yang meminta masa penyerahan dipanjangkan atas sebab peribadi dan tidak kurang yang bersandar kepada alasan penglibatan mereka dalam acara persatuan dan kolej. Saya kira itu bukanlah sesuatu yang bijak untuk dilakukan kerana secara peribadi, ketika saya menjadi pelajar pra siswazah dahulu, meski terlibat dengan acara persatuan itu ini, masih tetap mampu menyiapkan tugasan tanpa sebarang alasan. 


"Budak-budak sekarang memang banyak songel." Begitu pendapat rakan saya F, ketika kami enak menjamu selera ikan bakar di UNIKEB, sambil jemarinya menonyoh-nonyoh cubitan ikan ke dalam priring air asam. Begitu berselera. 


"Kalau dulu, zaman kita .. mana berani telefon nak minta tunda tarikh penyerahan! dah lah tu alasan tak kukuh! Jangan bagi muka." sambungnya lagi. Teh limau suam diteguknya perlahan. 


Saya mengangguk-angguk. Malas menokok-tambah kerana menghayati aroma ikan pari bakar yang masih berbalutkan daun pisang itu. 


"Kau potong aje markah diorang. Habis cerita." 


Begitu. Fikirnya. Semudah itukah? 




Namun, kes yang saya nyatakan di atas hanya kes terpencil. Alhamdulillah, majoriti pelajar saya nyata berpegang pada janjinya. Malah kami berseronok ketika pembentangan dijalankan. Seorang pelajar telah saya minta untuk menjadi pengacara lalu bangunlah si Izza yang begitu bijak berpantun seloka, mempersila rakan-rakan seroang demi seorang ke hadapan. Setiap pengakhiran pembentangan dihadiahi tepukan gemuruh. Biar ada yang sederhana sahaja hasilnya, namun yang penting saya kira usaha mereka harus dihargai. Saya katakan yang mereka perlu bijak memberi pendapat. Be critical. Be precise, yet polite. Lalu ada yang mencuba dan melontarkan pandangan membina. Saya lihat mereka terbuka. Mungkin kerana pendapat itu lahir daripada lensa pandangan sahabat sebaya. Dan ternyata mereka berbangga dengan apa yang telah dihasilkan. Itulah matlamat saya. Bukan sekadar berkongsi ilmu agar dapat dipraktikkan mereka, namun lebih daripada itu saya ingin mereka menjadi diri mereka. Pelajar yang berilmu dan tahu menilai, menghargai setiap usaha. 


Rupanya bahang pantun di kelas tutorial terbawa-bawa pula ke laman Facebook mereka. Oh oh .. tidak dapat saya bayangkan bagaimana jika pada tahun-tahun di mana saya menjalani hidup sebagai mahasiswa prasiswazah di UM dahulu telah wujudnya Facebook dan laman Twitter! Atau blog yang ternyata memberi nafas baru dalam perkongsian ilmu. Tentu banyak idea dan sumber! Alangkah beruntungnya pelajar sekarang. Alangkah ruginya mereka yang tidak mahu mengambil manfaat daripada teknologi yang ada. Mudah-mudahan mereka tahu menilai cara bagaimana untuk memanfaatkannya. Bukan membuang masa menghadap komen-komen berjela di Facebook atau menatap filem-filem di monitor laptop di meja perpustakaan sahaja. 






budak baik ;) 


nota: Mood mendap :~

Thursday 17 May 2012

Jurnal terindeks





Salam. 

Masa memburu! 
Saya menerima email yang terkandung di dalamnya senarai jurnal terindeks daripada pihak kedekanan. 
Saya kongsikan di sini untuk rujukan rakan-rakan di luar sana yang mungkin sama-sama 'dihambat' agar menyumbang artikel dalam jurnal-jurnal terindeks seperti ISI dan SCOPUS. 

Ada seseorang berpesan kepada saya: Bersihkan niat. Menulis biar dengan tujuan berkongsi ilmu dan bukannya mengejar merit untuk pangkat duniawi. Terima kasih buat yang sering mengingatkan. Muhasabahlah kita ... :) 




Selected Online Journal (updated: 17/05/2012) -SCOPUS, ISI WOS &ERA(Excellence Research Australia)



    http://ccsenet.org/journal/index.php/ies - International Education

Studies (Indexed in Excellence Research Australia (ERA))

    http://www.myjet-meta.com/ - Malaysian Journal of Educational
Technology (Indexed in ERA)

Science (Indexed in ERA, Scopus)

    http://www.ukm.my/ppbl/3L/3LHome.html - 3L Language, Linguistics,
Literature (Indexed in SCOPUS)

Technology Journal (Indexed in Scopus)

of Scientific Research (Indexed in Scopus)

International Journal of Innovation (Indexed in SCOPUS)
Research Journal of Applied Science (Indexed in SCOPUS)

    http://www.tojet.net/ – The Turkish Online Journal of Educational
Technology (Indexed in ISI)

Education Researcher (Indexed in ISI)

Asia-Pacific Social Science Review (Indexed in scopus)

    http://www.ijese.com/ - International Journal of Environmental and
Science Education (Indexed in Scopus)

of Applied Science (Indexed in Scopus)

    http://www.ejmste.com – Eurasia Journal of Mathematics, Science
and Technology Education (Indexed in Scopus)

    http://www.iejme.com/ – International Electronic Journal of
Mathematics Education (Indexed in Scopus)

    http://www.jssm.org/ Journal of Sports Science & Medicine (Indexed
in ISI & Scopus)

    http://www.ied.edu.hk/apfslt/ – Asia Pacific Forum on Science
Learning and Teaching (Indexed in Scopus)

    http://www.thejeo.com/ – Journal of Educators Online (Indexed in Scopus)

    http://www.jotmi.org/index.php/GT - Journal of  Technology
Management & Innovation (Indexed in Scopus)

Environmental Science and Technology (Indexed in Scopus)

    http://www.ascilite.org.au/ajet/ajet.html - Australasian Journal
of Educational Technology (Indexed in Scopus)

Turkish Science Education (Indexed in Scopus)

- Journal of e-Learning and Knowledge Society (Indexed in Scopus)

Social Sciences

    http://tojde.anadolu.edu.tr/ - Turkish Online Journal of Distance
Education (Indexed in Scopus)
    Current Issues in Education (CIE)



    International Electronic Journal of Elementary Education



    Issues in Educational Research  http://www.iier.org.au/iier.html (Scopus)


    Language Learning and Technology  http://llt.msu.edu/ (Scopus)
    Chemistry Education Research and Practice



ISI)


Journal of Language Studies (Indexed in Scopus)

    http://www.pertanika.upm.edu.my- Pertanika Journal of Social
Sciences and Humanities (Indexed in Scopus)


Monday 14 May 2012

Kenangan itu bertamu lagi

Alhamdulillah. Apa lagi tanda rasa yang harus saya kongsi selain kesyukuran atas kesempatan yang diberikan Allah untuk menjenguk bonda di kampung halaman pada penghujung minggu baru-baru ini. Sejuk pipi ibu sentiasa meneduh jiwa. Senyum manis di bibirnya meski penuh dengan kedutan tetap memancarkan rasa tenang malah omelannya yang panjang ketika tangan sibuk memotong bawang di dapur tetap menjadi irama paling indah di kuping telinga.


Pulang ke desa tempat bermain, jatuh dan bangun sentiasa memberi rasa nan membekas di jiwa.
Jalan dan lorong yang disusuri tidak pernah gagal membisikkan nostalgia zaman bocah. Langit itu tetap saja membiru dan udara selepas hujan yang turun itu tetap sama baunya seperti dulu.


source: flickr




Laut China Selatan - Pantai Chendor yang tidak jauh dari kediaman desa tidak pernah dilupakan. Anak-anak dibawa untuk sama-sama menghargai khazanah alam dan bermesra dengan ombak petang sambil menebar pandang melihat saujana langit nan terbentang yang perlahan-lahan meneduh tirai mengundang rona-rona kuning merah kala senja mula bertandang. Sesekali kumpulan burung pulang petang melayang riang di udara memberi salam rindu dan berterima kasih di atas kepulangan.




source: SKB Facebook




Melewati bangunan sekolah Binjai di sebelah kanan jalan pula membuat jiwa tiba-tiba kembali muda! Seakan terbayang di sana - di hadapan bangunan utama, barisan pelajar memenuhi ruang jalan bertar kala perhimpunan diadakan. Barisan paling kiri dipenuhi pelajar darjah enam, diikuti darjah lima, empat dan seterusnya.


Pengawas-pengawas garang berbaju dan berskirt putih serta bertali leher merah seakan-akan hidup dalam ingatan. Pelajar yang tidak mahu mendengar cakap atau berbual-bual semasa guru berucap di hadapan pasti akan menerima penangan - sama ada cubitan atau sepakan di betis. Duh! Ganas. Namun berkesan.


Di padang sebelah bangunan bilik guru yang baru itu pula adalah tempat pelajar-pelajar menghabiskan ruang senggang ketika waktu rehat. Ternampak-nampak bagaimana mereka yang kecil besar berbondong-bondong menjinjit bekal masing-masing untuk mencari sudut yang sesuai untuk melabuhkan sila. Kala loceng berdering nyaring, kumpulan itu akan mula segera meninggalkan birai padang untuk menyambung pembelajaran. Namun padang nan indah itu sudah tiada kini. Yang ada hanya deretan bangunan empat tingkat tersergam berbaris-baris. Duh. Nostalgia saya mati di situ.


Namun apabila menyoroti susuk bangunan surau yang kian uzur di tengah-tengah kawasan berpagar itu membuat hati tiba-tiba disapa syahdu. Sudah lama benar rupanya saya meninggalkan alam itu. Dan sudah berapa banyak peristiwa besar kecil yang berlaku sudah mula saya lupai. Melewati usia yang semakin menuju senja membuat jiwa luluh. Saya mendongak ke atas.  Awan yang tadi bergumpal-gumpal akhirnya berserakan lalu menipis pergi. Hati saya tersentuh bukan sedikit. Alangkah kerdilnya diri ini, seorang hamba yang menumpang hidup di penjuru dunia, tiba masa kan kembali jua.


Alhamdulillah, kepulangan saya kali ini membawa lebih banyak makna.
Pipi ibu saya kucup mesra, mudah-mudahan hadiah kecil di dapur itu akan sentiasa dimanfaatkannya.

Tuesday 8 May 2012

Harga sebatang gigi



Asal lepas makan aje mengantuk! Asal mengantuk aje lepas makan!

Itulah. Kebelakangan ini saya diserang sindrom itu. Tidur itu memang satu nikmat. Namun jika di'layan' pada waktu yang bukan sepatutnya mampu mengubah pola produktiviti seharian.

Asal mengunyah aje gigi sakit! Asal gigi sakit aje mengunyah!
(Abaikan ayat kedua itu - bohong belaka haha)

Semenjak seminggu nan lalu, geraham saya tidak dapat berfungsi dengan baik. Selera makan tentunya terencat apabila sensasi kesakitan yang dirasai melebihi keenakan hidangan yang disuap. Hmm .. baru beberapa bulan nan lalu gigi geraham itu diberi tampalan. Bukan tampalan koyok atau salon pas. Tapi tampalan oleh doktor gigi yang bertauliah.

Tiada pilihan; pagi tadi, saya singgah di sebuah klinik gigi lain di Bangi (maklumat daripada forum di atas talian, ramai juga yang mengesyorkan klinik ini kerana prestasi dan perkhidmatan yang memuaskan, kata mereka). Tampalan asal terpaksa ditanggalkan. Mujur 'akar' gigi masih OK, kata doktor perempuan yang baik hati dan bersuara lembut itu. Cuma lubang  pada gigi tersebut tidak dirapikan tampalannya ketika prosedur nan lepas, terangnya lagi. Setengah jam berlalu tanpa saya sedari. Cuma setelah selesai prosedur, dan ketika bersalam-terima-kasih dengan doktor itu barulah lidah saya terasa kaku sehingga bicara tiada mahu selancar biasa. Kesan bius itu hanya hilang sekitar dua jam dan seratus lapan puluh riyal melayang. Begitulah. Harga sebatang gigi dan nilainya dalam kelangsungan hidup.


Oh oh .. seluruh ahli fakulti akan bersidang lagi di bilik mesyuarat petang ini! Saya sudah mengasingkan lima tugasan pelajar untuk saya tekuni kalau-kalau keadaan dalam bilik mesyuarat itu tiba-tiba membosankan :P








Wednesday 2 May 2012

Ingatan buat ibu

Langit menangis.


Sesekali nyanyian guruh memenuhi atmosfera di luar sana. Sebentar tadi ada suara sang katak memanggil hujan. Lalu tidak hairanlah permaidani rumput basah dek manik-manik jernih dari atas sana ketika saya melangkah keluar dari perut kereta. Berlari-lari anak menuju lobi, membuatkan saya sedikit mengah, apa lagi dengan muatan beg di kiri kanan membuat larian anak saya agak perlahan. Saya baru sahaja selesai menghadiri satu sesi perbincangan dan saya tidak mahu menunggu lama di sana kerana ada perkara yang perlu dilangsai segera di bilik.


Oh oh,  saya perhatikan semua bilik ‘jiran-jiran’ saya ber’penghuni’. Buktinya, kelihatan sepatu kerja diletakkan di luar pintu menemani selipar jepun yang saban hari menjadi penunggu setia di setiap pintu bilik di aras satu itu. Sesuatu yang begitu jarang dapat disaksikan. Mungkin kerana langit yang menangis itu lalu kesemuanya mahu mendiam di sarang masing-masing.

Sebaik sahaja saya tiba di muka pintu bilik, guruh mengaum garang. Langit semakin sedih lalu rintik yang menyapu tingkap kaca jendela bilik saya semakin lama semakin hebat curahannya. Saya terdiam seketika kala ingin menarik bidai jendela. Melihat air yang mencurah-curah, tiba-tiba mengaut hiba di hati. Saya terkenangkan ma di kampung. Ujar ma, setiap kali selesai hujan, hatinya menjadi pilu, rasanya seperti mahu kembali ke rahim ibunya. Rindu sekali saya kepada ma. Tanpa sedar, manik jernih menyapu pipi. 


Hujan.


Satu kitaran dalam lumrah kejadian Allah. Itulah hukum alam. Tidak ada satupun kejadian-Nya yang sia-sia tiada makna. Meski pada dasarnya, air hujan memberi rahmat kepada tanaman, sesungguhnya curahan dari langit itu juga kadangkala bisa mengundang rasa dan menyuburkan jiwa. Terkadang dalam kesibukan mengejar hal-hal duniawi kita terlupa pada peringatan-Nya. Kita terlupa akan kehadiran seorang ibu yang jauh di desa yang saban waktu tidak pernah lupa mendoakan anaknya.





Saya ingin pulang bertemu ma sesegeranya.

Sunday 29 April 2012

Facebook dan SkyDrive

Salam.
Pejam celik, pejam celik, Mei sudah hampir memberi lambaian selamat tinggal. Fuh .. berapa banyak produktiviti di sepanjang bulan kelima di kalendar Masehi ini yang telah kita saya laksanakan? Hati digigit kerisauan. Esok, Jun pula menjenguk tiba. Satu lagi helaian kalendar akan diselak ke belakang.

Rupanya, kerisauan kerana tugas yang belum terlangsai bukan dirasai oleh saya seorang. Semenjak minggu lepas, ramai pelajar yang mengambil kursus teknologi pendidikan menghubungi saya. Pesanan ringkas di telefon bimbit, peti masuk email dan tidak ketinggalan mesej di Facebook bertanyakan tentang tugasan dan deadline.  

Panik. Mungkin itu perkataan yang sesuai sebagai gambaran perasaan mereka. Sementelah bilangan tugasan di bawah kursus ini meski tidaklah terlalu banyak tetapi menuntut komitmen yang tinggi. Semasa perjumpaan minggu nan sudah, mereka jelas kerisauan. Pertama, kerana projek penghasilan video mereka masih belum dimulakan. Manakan tidak, skrip videopun masih belum sempurna. Apabila saya menerangkan bahawa tugasan fotografi hanya akan saya nilai di bawah tugasan reka bentuk kulit buku, ramai menarik nafas lega kerana sekurang-kurangnya mereka hanya perlu menyediakan satu gambar terbaik untuk diintegrasi dalam tugasan tersebut. Saya tegaskan juga bahawa saya tidak akan membuat penilaian terhadap penggunaan Flickr atau Picasa atau apa juga ruang penstoran gambar di atas talian, walaupun perkara tersebut pernah disentuh sebagai sebahagian daripada tugasan semasa kuliah pertama dan kedua dahulu.

Selari dengan kursus yang banyak melibatkan penggunaan teknologi terutama untuk tujuan pengajaran, saya lebih banyak berhubung dengan pelajar menerusi talian Internet. Berbanding aplikasi Spin atau portal pengajaran dan pembelajaran, saya sebenarnya lebih banyak menggunakan 'group' atau kumpulan yang saya cipta di ruang Facebook. Segala perkongsian nota, artikel, pengumuman dan tidak ketinggalan jawapan kepada kemusykilan para pelajar semuanya saya lakukan di Facebook. Pelajar juga sebenarnya setuju benar bila mana saya nyatakan yang saya akan lebih banyak menggunakan Facebook sebagai pengantara. Apakan tidak; dia, dia, dia, dia, dia dan dia .. kesemuanya hantu Kak Limah Facebook! Dan sebagai respon kepada kerisauan mereka tentang tugasan yang tidak berapa jelas dari segi arahan sebagaimana tercatat dalam proforma kursus itu, sayapun menyenaraikan tugasan individu serta berkumpulan itu secara 'detail' terutama untuk aspek kriteria pemarkahan. Ini saya kira penting kerana pelajar harus tahu apakah elemen yang perlu mereka sediakan andai ingin mengaut 'markah asas' di samping markah 'tpo up' kerana tanpa adanya aspek-aspek asas dalam bahan yang dihantar, mana mungkin saya akan memberi markah yang lebih walaupun untuk tugasan yang disempurnakan dengan baik dan bersungguh-sungguh. Saya kira, perkara ini menjadi sesuatu yang perlu dititikberatkan oleh seorang pengajar. Adalah kejam jika kita banyak memberi pelajar tugasan, tetapi tidak pula mengemukakan aspek untuk penilaian. Oh, tapi bukanlah bermakna saya menentang konstrukvitisme dalam pengajaran! Saya melihat bantuan sebegini lebih bersifat 'scaffolding'. Bukankah 'scaffolding' juga merupakan cabang konstruktivisme? :)

Sahabat sefakulti saya pernah meminta saya terangkan bagaimana saya berkongsi dokumen dengan para pelajar di ruangan Facebook selain dari meletakkannya dalam format 'notes'. Salah satu jalan pintas yang boleh digunakan untuk tujuan sedemikian boleh dicapai dengan penggunaan SkyDrive. Sebenarnya selama ini, saya hanya menggunakan SkyDrive untuk menyimpan tesis selain daripada Dropbox. Sediakan payung sebelum hujan ... Kadangkala, perkara yang tidak diingini boleh saja berlaku  yang akhirnya memberi implikasi yang merugikan kita. Tidak dapat saya bayangkan jika suatu hari tiba-tiba komputer riba hilang, atau rosak serta segala dokumen sedia ada gagal di'back up'! Atau 'external hard disk' tiba-tiba meragam! Oucchhh... sakit perut makcik!!! Mahu menangis tak berlagu gamaknya! Jadi di atas pertimbangan itu saya menjadi pengguna setia kedua-dua aplikasi ini.

Baik. Berbalik kepada soalan sahabat saya tadi.
Saya terangkan kepadanya bahawa dengan memuatnaik dokumen yang hendak dikongsi ke ruang SkyDrive, dia boleh meletakkan pautan kepada dokumen tersebut di ruang Facebook (kumpulan untuk pelajar yang telah dia cipta itu). Pelajar boleh membaca dokumen tersebut dengan sekali 'klik' sahaja. Perkara yang sama boleh dilaksanakan di blog, terutama yang menggunakan Blogger. Namun bagi yang menggunakan Wordpress atau Weebly barangkali lebih mudah kerana terdapat kemudahan untuk memuatnaik dokumen disediakan di situ. Saya kurang menggunakan Scribd untuk tujuan ini kerana apa yang kongsikan ini lebih sesuai saya kategorikan sebagai 'private' atau lebih khusus kepada sasaran pelajar saya sahaja, malah sebahagiannya lebih bersifat sementara contohnya penerangan tentang tugasan terbabit itulah. Tetapi, jika bahan itu bersifat umum dan 'evergreen' dari sudut inputnya maka dalam hal ini penggunaan Scribd bolehlah dipertimbangkan.







Oh oh sebelum saya merapu dan jadikan ini sebagai kuliah, rasanya elok saya mengundurkan diri :)

Friday 27 April 2012

Dari dapur ke meja makan (entah relevant atau tidak tajuk ni? :p)

Saya bukanlah seorang pakar bila bercakap tentang aspek memasak di dapur. Namun sekadar 'cukup' untuk memenuhi selera keluarga, biarpun barangkali jika 'orang luar' mencuba masakan hasil air tangan saya, belum tentu dapat mencapai 'standard' selera mereka.

Meski bukan seorang suri rumah sepenuh masa, saya kira adalah penting untuk seorang yang bergelar isteri atau ibu meluangkan masa 'bersilat' di dapur demi suami dan anak-anak. Saya pernah teringat satu pesanan, bahawa air tangan isteri boleh 'mengikat' perut suami. Malah air tangan seorang ibu boleh membawa 'berkah' kepada anak-anak dengan kondisi bahawa proses di dapur dijalankan dengan perasaan yang ikhlas dan dilandasi rasa kasih sayang serta tidak lupa pula diringi dengan kalimah Allah ketika menumis, menggaul kuah dan sebagainya.

Menyingkap sejarah lampau, saya bukanlah terdidik dalam 'suasana' dapur. Mungkin ramai di luar sana yang sempat melalui pengalaman bertugas di dapur membantu ibu dan dalam masa yang sama menerima segala ilmu dan petua yang diperturunkan semasa proses praktikal tersebut. Saya katakan demikian kerana semenjak melangkah ke zaman persekolahan menengah saya sudah terlontar jauh di asrama bersama rakan-rakan yang lain. Ketika itu jiwa masih hijau. Pulang ke rumah hanya kala cuti sekolah panjang atau sesekali mencuri peluang mengubat rindu pada ma dan pak kala hujung minggu. Jadi kurang sekali peluang untuk saya mempelajari selok-belok seni memasak ini daripada tukang masak paling istimewa dalam hidup saya ini.

Habis persekolahan menengah, terus pula ke matrikulasi, kemudian ke universiti pula. Rasa saya, saat pertama saya 'terpaksa' serius dalam mengurusi dapur adalah ketika saya mula menyewa rumah di Pantai Dalam bersama rakan-rakan sekuliah di pertengahan pengajian ijazah pertama. Sebagai anggota rumah, masing-masing ditaklifkan dengan tugasan memasak - bergantung kepada jadual kuliah dan tutorial. Saya bertugas di dapur pada setiap hari Rabu, jika saya tidak tersilap ingat. Waktu itu, tercuit juga rasa kesal dengan kemampuan diri beraksi di dapur! Rata-rata ahli rumah saya itu rakan-rakan yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang - dan oh kebetulan pula kesemuanya mahir di dapur! Self-esteem saya begitu menurun. Terasa kerdilnya saya yang cuba berdiri di tengah-tengah wirawati dapur itu. Namun, saya terima keadaan itu sebagai satu cabaran. Panggilan telefon menjadi penghubung antara saya dengan ma di kampung - sambil tangan memegang sebatang pen, mulut pula kencang bertanya resepi-resepi yang 'praktikal'. Nasi minyak atau nasi tomato? Oh jangan bermimpilah!

Rakan-rakan turut menjadi sumber rujukan setiap kali saya mahu ke dapur. Oh memang stressful apabila tiba giliran saya ke dapur! Pernah juga di suatu musim Ramadhan bila mana saya ingin mencuba resepi puding karamel sebagai pelengkap hidangan berbukalah konon. Barangkali kerana kurangnnya kemahiran dan pengalaman, gula yang saya panaskan di periuk bukan setakat caramelised, tetapi sudah hangus berkerak. Seorang rakan saya masuk  ke dapur setelah mendengar suara saya yang bising di dapur. Lalu dia meminta saya terus sahaja mencampurkan gula di periuk itu ke dalam adunan telur serta susu cair yang telah saya sediakan terlebih dahulu itu.  Oh .. baiklah .. oleh kerana saya tahu dia pakar memasak, lalu saya menuruti segala arahannya.




Tiba waktu berbuka, saya agak teruja untuk merasa puding karamel hasil masakan saya buat julung kali itu. Aduhai ... luluh hati bila rasanya pahit dan tidak mampu saya telan :(
Rakan-rakan serumah mentertawakan saya! Namun sebenarnya memang agak lucu melihat wajah masing-masing yang tidak tahan dengan rasa pahit yang sudah masuk ke kerongkong.  Alahai .. lalu sudahnya saya terus sahaja mencapai kunci motorsikal usai solat Maghrib menuju kampus matrikulasi UIA di Seksyen 14 itu. Saya berterawih di surau blok Fatimah Az-Zahrah bersama rakan saya di sana, Na dan malam itu saya terus bermalam di katil kosong di bilik Na yang kebetulan tidak berpenghuni.

Rajuk saya agak panjang. Gelagat mereka yang mentertawakan puding karamel yang pahit hangus itu membuat saya kecil hati. Saya ceritakan kepada Na. Mendengar kisah itu dia mengeluarkan dekahan yang panjang. Bertuah punya teman! Dua kali saya ditertawakan! Namun, dengan Na saya OK.

Sudahnya saya bermalam di kampus UIA selama tiga malam. Motorsikal terpaksa saya 'sorokkkan' di ruang parkir bawah agar tidak ketahuan oleh 'pakcik guard' kerana jelas terpampang logo UM di situ. Saya hanya pulang ke rumah sewa untuk mengambil pakaian dan ketika semua orang tiada di rumah. Masih saya ingat, ada nota kecil diletakkan di atas meja saya, pastinya oleh rakan serumah yang mengajak saya pulang. Ada enam tanda tangan di situ. Oh oh .. hati saya tercuit pula. Antara ayat yang saya masih ingat - "Za, pulanglah. Kami rindukan mu."

Akhirnya malam itu saya tidak menyambung tidur di 'hotel' percuma itu lagi. Kepulangan saya disambut dengan sebekas nasi tomato masakan Mija! Sungguh indah. Itulah pengalaman dan persahabatan. Kedua-duanya harta yang tidak ternilai harganya.

Tamat tempoh pengajian, saya mula bertugas di pinggir Rompin - satu daerah asing namun penuh makna dan warna. Di sana, saya dilantik menjadi warden asrama. Tinggal bersama dua rakan guru yang lain sekali lagi membutuh tanggungjawab di dapur. Untunglah saya kerana saya ada Kak Yah, ketua panitia yang serba boleh di dapur. Lalu, koleksi resepi yang mudah sering saya saya dapatkan daripada beliau setiap kali ada waktu senggang di bilik guru. Saya mula berjinak dengan tomyam, nasi ayam, pajeri nenas, nasi minyak serta gulai. Dari situ, saya mula suka akan acara di dapur. Tambahan pula rakan serumah gemar membantu. Kami sama-sama bereskperimen di dapur kecil itu. Sama-sama pula ke pasar setiap hjung minggu untuk memenuhkan ruang dalam peti ais.

Sehingga akhirnya saya mendirikan rumah tangga, saya semakin percaya dengan diri sendiri. Malah kerana mudahnya untuk mendapatkan resepi-resepi baru melalui capaian di atas talian, saya sentiasa belajar mencuba sesuatu yang baru.

Anak saudara saya Icha, suatu hari, ketika menikmati nasi lemak bersama ayam goreng berempah di rumah berkata:

"Icha ni kan Cik Za, kalau lepas masak di dapur mesti rasa mual dan pening. Kadangkala boleh demam."

"Begitukah?"

"Ye! Sebab tu Icha tak gemar memasak. Lecehlah Cik Za tapi Icha suka akan masakan Cik Za." pujinya.

"Oh ya kah? Terima kasih .. tambah lagi .." saya menghulurkan mangkuk besar berisi nasi lemak.

Dia menambah satu senduk lagi.

"Nanti kalau dah kawin macamana? Takkan nak makan di kedai setiap hari?," usik saya.

"Itulah yang lecehnya .." wajahnya sedikit mendung. "Tak kahwinlah jawabnya." dia ketawa besar pula.

Di saat itu, saya terbayangkan diri saya dan kisah lama.
Benar, bukan mudah untuk menjiwai seni memasak 'dari hati' jika 'tiada hati'.
Perbualan ringkas dengan Icha itulah sebenarnya yang mendorong saya mencatat entri ini.