Wednesday 2 May 2012

Ingatan buat ibu

Langit menangis.


Sesekali nyanyian guruh memenuhi atmosfera di luar sana. Sebentar tadi ada suara sang katak memanggil hujan. Lalu tidak hairanlah permaidani rumput basah dek manik-manik jernih dari atas sana ketika saya melangkah keluar dari perut kereta. Berlari-lari anak menuju lobi, membuatkan saya sedikit mengah, apa lagi dengan muatan beg di kiri kanan membuat larian anak saya agak perlahan. Saya baru sahaja selesai menghadiri satu sesi perbincangan dan saya tidak mahu menunggu lama di sana kerana ada perkara yang perlu dilangsai segera di bilik.


Oh oh,  saya perhatikan semua bilik ‘jiran-jiran’ saya ber’penghuni’. Buktinya, kelihatan sepatu kerja diletakkan di luar pintu menemani selipar jepun yang saban hari menjadi penunggu setia di setiap pintu bilik di aras satu itu. Sesuatu yang begitu jarang dapat disaksikan. Mungkin kerana langit yang menangis itu lalu kesemuanya mahu mendiam di sarang masing-masing.

Sebaik sahaja saya tiba di muka pintu bilik, guruh mengaum garang. Langit semakin sedih lalu rintik yang menyapu tingkap kaca jendela bilik saya semakin lama semakin hebat curahannya. Saya terdiam seketika kala ingin menarik bidai jendela. Melihat air yang mencurah-curah, tiba-tiba mengaut hiba di hati. Saya terkenangkan ma di kampung. Ujar ma, setiap kali selesai hujan, hatinya menjadi pilu, rasanya seperti mahu kembali ke rahim ibunya. Rindu sekali saya kepada ma. Tanpa sedar, manik jernih menyapu pipi. 


Hujan.


Satu kitaran dalam lumrah kejadian Allah. Itulah hukum alam. Tidak ada satupun kejadian-Nya yang sia-sia tiada makna. Meski pada dasarnya, air hujan memberi rahmat kepada tanaman, sesungguhnya curahan dari langit itu juga kadangkala bisa mengundang rasa dan menyuburkan jiwa. Terkadang dalam kesibukan mengejar hal-hal duniawi kita terlupa pada peringatan-Nya. Kita terlupa akan kehadiran seorang ibu yang jauh di desa yang saban waktu tidak pernah lupa mendoakan anaknya.





Saya ingin pulang bertemu ma sesegeranya.

9 comments:

  1. oh sahabatku
    rindumu pada ma turut membuatkan rinduku pada makku. namun apakan daya, kita punya komitmen besar di perantauan ini. moga kau kuat selalu kerana doa anak solehah untuk ibunya mengatasi rindu yang sarat pada orang tua di kampung halaman...

    ReplyDelete
  2. salam sahabatku iza...

    sebulan sudaa menunaikan tanggungjawab menjaga ma yg kurang sihat...terasa sangat2...ma masih di depan mata...tapi pelbagai persoalan yg timbul jika...

    **moge sihat**

    ReplyDelete
  3. Kay, sahabatku ..
    Begitulah .. kita ini sering terpisah dek ruang jarak dan masa sehingga terkadang aku menjadi hiba kerana tidak dapat 'memberi'sebanyak mungkin buat ma :(
    Ye, mudah2an doa juga menjadi ikatan.

    p/s; dah lama kau tak ketemu mak teh, rindu juga :)

    ReplyDelete
  4. Cun yang manis,
    alhamdulillah .. alangkah besarnya pahala menantimu atas pengorbanan menjaga ibu di kala usia yang lanjut dan uzur. Semoga Allah memberkati hidup kamu sekeluarga Cun, amin :)

    ReplyDelete
  5. Mate,

    tersentuhnya hati melihat gambar dan tulisan mu, satunya gambar tadi membuat aku teringat kenangan pahit manis kita di perantauan, satu tempoh yg cukup dgn pelbagai kenangan, dan rezeki yg Tuhan berikan utk kita menikmati hidup di bumi empat musim, suatu kenangan terindah tapi sayu yg pastinya sentiasa melekat diingatan.... satu lagi esok adalah ulangtahun ayahandaku yg ke-80, hati sangat2 terpanggil utk pulang...sangat2...tapi takut juga kepulanganku akan disambut dgn banjir sekali lagi.... (ini lawak kakak aku lah ni)...

    ReplyDelete
  6. Mate,

    tentu sekali gambar dari jendela kaca menghadap Colonel Burnaby begitu dekat di hati, tapi aku tak ada gambar-gambar menjelang malam di musim panas seperti mana mu!Kebetulan sewaktu aku duduk bekerja di meja, hujan rintik di luar, jadi aku tidak lepaskan peluang merakam emosi yang terkepung saat itu dengan menjadikan di beruang hijau sebagai pelakonnya :)

    Oh .. selamat panjang umur untuk ayahanda mu mate, semoga Allah memberi kesihatan buatnya. Jangan sedih-sedih mate, semoga doamu buat ayahanda akan terus 'sampai' kepadanya.

    oh oh trajedi banjir pun satu hal kan .. insyaAllah tak akan berulang lagi banjir seteruk itu di Langat, amin ..

    ReplyDelete
  7. Kamu seorang IBU yang CANTIK!

    Btw, dah dapat PhD ... dah konvo? Maaf bertanya saya agak ketinggalan.

    Salam Datin,
    Melihat hujan turun membuat hati senang apa lagi ketika turunnya renyai. Namun, melihat hujan turun lebat beberapa jam membuat hati gentar! Begitulah setiap titis hujan membawa pesanNya. Wallahu'alam.

    Minum? ;)

    ReplyDelete
  8. Datuk Seri,
    Sememangnya peristiwa hujan banyak memberi warna dalam kanvas kehidupan kita malah membeti banyak pengertian bermakna. Mandi-manda kala hujan di zaman kanak-kanak juga adakah sbhgn daripadanya. Jom main hujan! :-)

    ReplyDelete
  9. Oh oh ada soalan yang belum saya jawab, mungkin gara-gara tadi berblog menggunakan handphone (monitor kecik sangat .. dah tua-tua ni macam nak rabun dekat la pulak hahaha)

    hmm.. cuti belajar saya sudah tamat, namun demikian proses membuat pembetulan bab-bab terakhir masih berlangsung .. selow melow kan? apapun doakan saya ye :)

    ReplyDelete