Friday 12 June 2015

Lesu

Tahun-tahun nan sudah, saya kira aktiviti memblog ini agak rancak saya uliti. Ada sahaja perkara yang hendak dicoret dari sekecil-kecil cerita hingga sebesar-besar isu. Namun kini, saya berfikir-fikir akan penyebabnya kenapa aktiviti ini begitu lesu, seolah-olah saya kematian idea untuk menyusun ayat.

Masa begitu deras pergi, umpama angin lalu yang tidak meninggalkan sebarang pesan. Rutin harian mengejar dan menghambat. Tau-tau Ramadhan sudah kian mampir lagi.

Senarai tugasan tidak pernah berkurangan. To-do-list sentiasa bertambah barisnya. oho! Malunya diri ini kerana menjadi hamba dunia! Apakah Ramadhan kali ini memberi ruang lebih luas untuk menabur benih di ladang pahala?




Rakan-rakan ramai yang mempelawa untuk mengikuti kembara ke luar negara sambil-sambil membentangkan hasil penyelidikan. Inilah saya kira keseronokan dalam peritnya dunia akademik. Meluaskan pandangan, mencedok pengalaman baru tentang budaya dan perbezaan masyarakat dunia luar, kiranya membentuk pemikiran yang leibh komprehensif.

Dan tiba-tiba saya rindukan nyamannya angin di Amsterdam!

p/s: Selambut menyambut datangnya Ramadhan .. mudah-mudahan ia memberi lebih makna dalam pencarian redha-Nya ..ameen..


Wednesday 1 April 2015

Yang indah itu budi



Kami bermesyuarat lagi untuk ke sekian kali. Itu rutin yang perlu dilalui sehinggalah majlis yang hendak dianjurkan itu selesai dengan jaya. Alkisah, salah seorang daripada ahli jawatankuasa yang diberi tanggungjawab (Si A) menghasilkan brosur seminar menyatakan yang beliau tidak mampu menghasilkan reka bentuk sebagai mana yang disarankan oleh beberapa ahli yang lain kerana ketiadaan perisian yang sesuai malah kurang berkemahiran dalam penggunaan perisian tersebut. Lalu orang kuat mesyuarat (Si B) menempelaknya "Pergilah dapatkan kemahiran itu!". Lalu si polan tadi mengangkat tangan, katanya dengan nada berseloroh: "Kalau begitu, saya mohon menarik diri sebagai ahli jawatankuasa." Dia ketawa kecil.

Saya cuma memerhati. Petang, kami bermesyuarat lagi. Kali ini melibatkan semua warga fakulti. Saya perhatikan Si B tadi menarik muka apabila berselisih dengan Si A. Barangkali kerana peristiwa kecil dalam mesyuarat tadi.

Apakah salah cara Si A memberi reaksi kepada Si B?
Adakah tidak wajar cara Si B mengeluarkan kenyataan sebegitu?

Saya tercari-cari jawapannya. *sigh*

Tuesday 31 March 2015

Hati nan alpa



Seperti tempoh-tempoh yang telah lama berlalu, dia masih dengan rutin gila; duduk-duduk di meja penjuru rumah kopi di hujung petang sambil jemari mengetuk aksara di papan kekunci sambil sesekali mulutnya terkumat-kamit membaca kuat ayat-ayat yang dibentuk. Maklum, bahasa yang digunakan dalam pengarangan bukan bahasa ibunda lalu sesekali memerlukan proses membaca kuat agar betul bunyi dan sususan bahasanya.

Hingar-bingar manusia di sekeliling sedikitpun tidak menjadi faktor ekstranus yang menggangu-gugat penulisan. Cuma sesekali dia mengangkat pandang ke kiri-kanan setiap kali kole berisi kopi panas itu diletak semula ke meja. 

Menulis dan terus menulis. Begitu banyak sekali perancangan untuk penghasilan karya-karya akademik namun dek kerana kurangnnya kosentrasi kepada yang satu, lalu fokus itu mencapah-capah jadinya. Implikasinya, setiap artikel bertompok sana-sini. 

Biarlah. Dia lebih senang bekerja seperti lebah. Sedikit demi sedikit. Mudah-mudahan akhirnya siaplah juga. Dia tidak mahu terlalu menggila dalam penulisan, biarpun ibu dekannya sesekali mengaum juga ketika musyawarah peringkat fakulti akan kecilnya jumlah penerbitan ahli. 

Tahun 2015 ini merupakan satu pengalaman baru kerana dia, bersama rakan rapatnya, mereka kembali menjadi pelajar. Bukan. Bukan PhD. Oh tidak sanggup ingin diulangi lagi fasa PhD. Bukan. Kali ini dia dan rakannya bersama-sama menadah kitab bersama tuan guru yang penuh hikmah dalam mengatur ayat setiap kali kuliah di malam Selasa itu. Barangkali kerana kuatnya aura tuan guru, lalu kehadiran saban minggu itu tidak pernah dirasakan berat, malah ketibaan hari kuliah sentiasa dinantikan. 

Hujan rahmat turun tiba-tiba. Dia, melempar pandang ke luar jendela kaca dari meja tempat duduknya. Allahku, masa yang pergi terpaksa kulepaskan pergi, namun waktu yang bakal kutempuhi ini, Kau berkatilah ia. Limpahi kami dengan redha dan maghfirah-Mu, kurniai kami ilmu yang bermanfaat serta amalan yang berganda. 

Telefon di sebelah tiba-tiba mendecit. 

"Jangan lupa tarikh akhir penyerahan bab penuh, Jumaat ini.
                                                                                      Dr. R" 

Oh oh .. dunia ini terlalu mengejar sehingga bisa menghambat kita ke pintu neraka! Allahku, aku memohon pengampunan daripada-Mu jika diri ini terlalu cintakan dunia, sehingga lupa akhirat yang menanti itu sesuatu yang abadi, pasti. 






Monday 23 March 2015

Yang manis dalam ingatan

Saya menjadi begitu malu kerana membiarkan ruang ini seperti perempuan yang ditalak tiga. Bukan. Saya masih sayangkan ruang ini, namun sering sahaja saya menjadi mangsa ketidakpandaian diri sendiri membahagi masa. Namun saya tidak mahu menjadi seperti orang lain yang sering sahaja menyalahkan masa yang begitu cepat berlari, sedangkan ternyata kaki sendiri yang terlalu berat mengejar! Saya termangu-mangu melihat hari kerana banyak perkara menanti untuk diberesi. Tapi, nyah lah seketika fikiran itu. Sesekali, perih itu perlu diulit dengan hal-hal menggembirakan lagi menyenangkan hati. Ah, entah bagaimana harus saya bersyukur kerana baru-baru ini kesempatan untuk bertemu rakan lama mengetuk pintu masa. Kay dan Yanti, sahabat karib semenjak zaman sekolah rendah. Kebetulan Yanti datang ke Kuala Lumpur kerana menemani sang suami yang bertugas disini lalu ruang yang ada sempat kami curi untuk bersua muka. Air mata mengiringi pertemuan. Entah, macam-macam rasa menerpa. Banyak sekali perkara yang dibincangkan, dari sekecil-kecil cerita hingga yang besar-besar. Tentunya, hal-hal batas pokok di penjuru pagar Sekolah Kebangsaan Binjai masih dalam ingatan padu. Apa lagi khabarnya Yanti bertemu dengan ramai rakan lama yang masih kekal di kampung halaman, meminta untuk diadakan pertemuan semula (reunion). Saya dan Kay melonjak gembira. "Uruskanlah. Pasti kami pulang!" ujar saya dan Kay. Kami tidak putus ketawa mengenangkan watak-watak pelbagai di sekolah rendah dahulu. Namun, seiring masa, identiti berubah, pembawakan turut terserlah. Tiada lagi istilah samseng tahi minyak, tiada lagi sepak terajang di betis. Semua itu kisah lama, terlalu lama ditinggalkan. Terima kasih ya Allah di atas ruang kesempatan itu.