Saturday 8 June 2013

Seuncang Zamrud Buat Penawar Hati



Saya sudah lama tidak menjenguk toko buku yang menjadi kegemaran ketika masih tinggal di kawasan perumahan yang lama. Baru-baru ini, saya berkesempatan berkunjung lagi ke situ. Hati terus menjadi teduh, jiwa gundah menjadi kendur. Begitu apa yang saya rasa kala menjejakkan kaki masuk ke ruang toko itu. Bukan kerana indahnya hiasan dalaman, atau rekabentuk dan susun letak (meskipun itu juga satu faktor) namun yang lebih memberi kesan adalah kerana alunan merdu bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang tidak putus diperdengarkan. Saya percaya, itulah yang membentuk 'aura' di ruang toko buku tersebut. Jiwa halus terus sahaja tenang dan seolah-olah mendapat 'dzuuk' yang tersendiri. Sama seperti perasaan bila mana duduk-duduk beriktikaf di penjuru masjid, apatah lagi kalau lokasinya di Masjidil Haram. Mendongak ke langit luas dalam pekat malam, bertemankan butiran bintang serta kejora yang bersinar sesungguhnya begitu meneduh jiwa. Jiwa yang sentiasa dahagakan kasih sayang dan rahmat-Nya. Dan oh, tiba-tiba rindu saya kepada haramain begitu menggamit jiwa. 
Saya ke toko buku itu dengan satu misi - untuk mencari beberapa buku untuk santapan jiwa - satu perkara yang juga sudah agak lama saya tinggalkan! Renyah meniti hari-hari dengan mengendong tesis ke sana ke mari menguji istiqamah hati. Benar, saya hampir lemas dalam simfoni penulisan tesis hingga saya leka dengan tanggungjawab untuk berdampingan dengan-Nya .. Ketika saya menyusur deretan rak buku, saya tertarik dengan beberapa buah buku kecil yang disusun kemas. Lalu saya ambil dan belek seketika. 

"Buku adalah sahabat. Berdampinganlah dengan buku. Bersahabatlah dengan ilmu dan bertemanlah dengan makrifat [pengetahuan]". 

"Perbaharuilah hidup anda. Jadikan hidup anda lebih bertenaga dan sesekali ubah kebiasaan hidup anda seharian." 

Begitu antara ayat-ayat ringkas yang dimuatkan sebagai pengubat hati yang gundah dan luka. Saya terus membelek lagi. Buku itu kecil, ringkas tapi penuh makna bagi saya. Lalu saya mengmabil keputusan untuk memilikinya.  Biar kecil - mudah dikhatam. Biar ringkas tapi membekas. 
Begitulah. Ia membuat saya menemui sedikit penawar. 
Seuncang Zamrud untuk orang yang paling bahagia :) 

Manisnya silaturahim





Alhamdulillah, masa yang datang dan pergi bersulam rasa nan pllbagai rencah. Biarpun begitu, kesibukan yang melanda tidak pernah saya kesali kerana pengalaman mengenali mereka, pelajar dewasa di kelas sarjana begitu mengubat rasa. Ini merupakan semester ketiga saya bertanggungjawab sebagai pengajar di kelas Research Method dan kumpulan ketiga inilah yang paling membekas di jiwa. 

Rata-rata mereka guru di sekolah yang datangnya ke fakulti atas tajaan sendiri. Saya senang berkongsi cerita dan sedikit pengalaman dalam menjalankan penyelidikan dengan mereka. Saya bercerita sepenuh jiwa dengan harapan menggunung bahawa mereka bakal mengadaptasi segala cerita suka duka saya dalam perjalanan penyelidikan mereka pula. 

Biar bagi sesetengah rakan fakulti berpendapat bahawa tugas mengajar Kaedah Penyelidikan sebagai satu beban berat, namun saya sukacita menyanggahnya. Malah, pengalaman ini sebenarnya memupuk kefahaman saya dengan lebih mendalam tentang aspek reka bentuk penyelidikan. Hasil soal jawab, rujukan dan diskusi yang berterusan sekaligus melahirkan seorang saya yang lebih yakin dengan pemahaman yang ada. Alhamdulillah. 

saya terima tugasan ini dengan hati terbuka, jiwa redha sepenuhnya dan tidak sesekali akan saya tolak peluang untuk memegang kuliah seumpama itu lagi pada semester mendatang. 

Di kuliah terakhir, tidak semena-mena saya dihadiahi sesuatu yang istimewa. Sesuatu yang tidak pernah saya harapkan dan impikan. Wakil kelas menelefon saya, bertanya di mana saya pada tika itu. Kebetulan saya di foyer fakulti lalu saya diminta menunggu sebentar. Saya akur kerana terfikirkan yang mungkin ada perkara hendak mereka tanyakan. 

Salah seorang mereka menghulurkan beg kertas merah. Katanya sebagai tanda ingatan di atas ilmu yang dikongsi, sekaligua kerana silaturahim yang terbina. Alhamdulillah, perkataan silaturahim itu membekas di hati saya. Terima kasih semua, kerana menerima saya seadanya. 

Ya Allah, permudahkanlah segala urusan pembelajaran kami dan tetapkanlah hati kami dalam keimanan.