Sunday 20 May 2012

Harga sebuah usaha

Bermula minggu ini, kelas tutorial menjadi medan para pelajar menunjukkan hasil kerja mereka. Itu perjanjian. Malah saya turut menjanjikan markah bonus bagi setiap individu yang membentangkan hasil tugasan degan cemerlang dan bersungguh-sungguh. Saya katakan begitu kerana ada dalam kalangan mereka yang seolah-olah kurang mengambil endah tentang tarikh penyerahan. Ada yang meminta masa penyerahan dipanjangkan atas sebab peribadi dan tidak kurang yang bersandar kepada alasan penglibatan mereka dalam acara persatuan dan kolej. Saya kira itu bukanlah sesuatu yang bijak untuk dilakukan kerana secara peribadi, ketika saya menjadi pelajar pra siswazah dahulu, meski terlibat dengan acara persatuan itu ini, masih tetap mampu menyiapkan tugasan tanpa sebarang alasan. 


"Budak-budak sekarang memang banyak songel." Begitu pendapat rakan saya F, ketika kami enak menjamu selera ikan bakar di UNIKEB, sambil jemarinya menonyoh-nonyoh cubitan ikan ke dalam priring air asam. Begitu berselera. 


"Kalau dulu, zaman kita .. mana berani telefon nak minta tunda tarikh penyerahan! dah lah tu alasan tak kukuh! Jangan bagi muka." sambungnya lagi. Teh limau suam diteguknya perlahan. 


Saya mengangguk-angguk. Malas menokok-tambah kerana menghayati aroma ikan pari bakar yang masih berbalutkan daun pisang itu. 


"Kau potong aje markah diorang. Habis cerita." 


Begitu. Fikirnya. Semudah itukah? 




Namun, kes yang saya nyatakan di atas hanya kes terpencil. Alhamdulillah, majoriti pelajar saya nyata berpegang pada janjinya. Malah kami berseronok ketika pembentangan dijalankan. Seorang pelajar telah saya minta untuk menjadi pengacara lalu bangunlah si Izza yang begitu bijak berpantun seloka, mempersila rakan-rakan seroang demi seorang ke hadapan. Setiap pengakhiran pembentangan dihadiahi tepukan gemuruh. Biar ada yang sederhana sahaja hasilnya, namun yang penting saya kira usaha mereka harus dihargai. Saya katakan yang mereka perlu bijak memberi pendapat. Be critical. Be precise, yet polite. Lalu ada yang mencuba dan melontarkan pandangan membina. Saya lihat mereka terbuka. Mungkin kerana pendapat itu lahir daripada lensa pandangan sahabat sebaya. Dan ternyata mereka berbangga dengan apa yang telah dihasilkan. Itulah matlamat saya. Bukan sekadar berkongsi ilmu agar dapat dipraktikkan mereka, namun lebih daripada itu saya ingin mereka menjadi diri mereka. Pelajar yang berilmu dan tahu menilai, menghargai setiap usaha. 


Rupanya bahang pantun di kelas tutorial terbawa-bawa pula ke laman Facebook mereka. Oh oh .. tidak dapat saya bayangkan bagaimana jika pada tahun-tahun di mana saya menjalani hidup sebagai mahasiswa prasiswazah di UM dahulu telah wujudnya Facebook dan laman Twitter! Atau blog yang ternyata memberi nafas baru dalam perkongsian ilmu. Tentu banyak idea dan sumber! Alangkah beruntungnya pelajar sekarang. Alangkah ruginya mereka yang tidak mahu mengambil manfaat daripada teknologi yang ada. Mudah-mudahan mereka tahu menilai cara bagaimana untuk memanfaatkannya. Bukan membuang masa menghadap komen-komen berjela di Facebook atau menatap filem-filem di monitor laptop di meja perpustakaan sahaja. 






budak baik ;) 


nota: Mood mendap :~

4 comments:

  1. salam,
    jarang-jarang Puan letak gambar dalam entry, sekali tengok seronok juga.
    Tak tahu mana satu Puan dalam gambar itu, jika ada sekalipun, nampak blend in sekali :D
    Oh ya, teringat zaman Fakulti Sains dulu, kalau laporan makmal dateline sebelum pukul 12, jangan mimpi nak minta tangguh pukul 2, memang ke tong sampah la report itu. Tapi bukan semua pensyarah macam tu. Hanya yang graduate dari Eropah sahaja. Kalau graduate dari USA, lagi santai. Pada mereka satu semester ambil 3 jam kreadit pun tak apa. Janji habis. Ppppfffttt.
    Saya seperti biasa, strategi mendampingi kawan perempuan untuk dijadikan pair menyebabkan saya tidak pernah terlepas dateline.

    ReplyDelete
  2. Salam Wira,

    Dlm foto paparan itu kesemuanya pelajar saya dari salah satu kumpulan kecil tutorial. Mereka ini kumpulan pertama yg membentang projek model 3D dan kalaupun ada saya di situ mmg sukar nak dibezakan hahaha!
    Ternyata strategi kamu berhasil ye. Begitulah .. Work smart to become smart :-)

    ReplyDelete
  3. Wah...maju jaya projek pelajar2 mu hehee, comel2 studentnya mcm lectnya juga...mate, mu boleh buat novel la, seronok aku baca kat atas tu, seolah2 aku pulak tgh cecah ikan dlm air asam hehee....

    ReplyDelete
  4. Mate,
    haha ni projek 3D .. minggu lepas diorang present projek individu dulu (blog, interaktif learning material, reka bentuk kulit buku & model 3D), next week bentang video dan penulisan berkumpulan. So far, oklah .. walaupun ada juga yang tak mengaplikasikan konsep asas reka bentuk dan tidak mengikut proses pembinaan bahan sebagaimana yang disarankan dalam instructional technology. Tapi selain daripada aspek itu, aku tengok juga kesungguhan (dan keikhlasan - boleh diukur ke? hehe) diorang semasa melaksanakan tugasan. Bagi yang culas, tak adalah aku nak bagi markah bonus .. kirim salam hahaha

    Novel? huuuu .. tu projek lama tak kunjung tiba juga! Entah mana pergi manuskrip aku tu alahai ... Jom ikan bakar mate! ;)

    ReplyDelete