Wednesday 13 August 2014

Harga Silaturrahim

Syawal yang datang dengan begitu cepat, berlalu juga begitu pantas. Sama seperti Ramadhan yang pergi meninggalkan garis rindu yang mendalam kepada makna pengabdian serta ketaatan. Syukur kepada Ilahi kerana tahun ini kita masih lagi diberi ruang dan kesempatan untuk sama-sama melaungkan takbir membesarkan Yang Maha Esa, mensyukuri segenap ruang dari nikmat yang tidak terkira. Allah .. Allah .. 

Beberapa hari nan lepas, saya dihubungi seorang senior saya  ketika saya mula berjinak-jinak dalam dunia pendidikan. Datin Siti Hajar, yang saya anggap anggap sebagai seorang kakak, kini menetap di Kedah setelah persaraan beliau. Panggilan yang saya terima itu ternyata memberi khabar dan kejutan. Ujarnya, sementelah dia berada di Kuala Lumpur mengunjungi rumah anak menantu, dia ingin menjenguk saya di Putrajaya. 

Saya benar teruja. Barangkali, 2005 menjadi tahun terakhir kami bertentangan mata. Dan kini, Syawal 2014, akhirnya Allah memberi peluang untuk kami bertemu lagi. Saya tidak berfikir panjang, lantas terus menjemput beliau ke teratak saya. 

"Wajib datang!", tegas saya. 
"InsyaAllah jika sempat. Kak Ti akan berada di Putrajaya untuk kunjungan ke 2 lagi rumah sahabat lama. Rumah Zariza insyaAllah yang ketiga."
"Ok, save the best for the last!"oceh saya. 



Dan saya agak buru-buru pulang ke rumah petang itu. Hanya sekadar mee udang, fikir otak saya dengan cepat. Lalu singgah sebentar di kedai runcit berdekatan rumah untuk mencari keperluan untuk mee udang. 

Beliau diiringi anak dan menantu di sisi. Saya dapat melihat riak ketenangan dalam wajah beliau. Kala anak-anak sudah membesar dan punya profession sendiri, beliau pula mengisi masa senggang dengan bertamu di pondok-pondok untuk menadah kitab kuning. Banyak yang ingin saya bualkan namun masa terpaksa dihadkan kerana beliau terpaksa bergegas ke KLIA untuk pualng ke Kedah pula. 

Terima kasih Kak Ti, kerana sudi memanjangkan silaturahim ini. 
Kebaikan dan segala nasihatmu akan sentiasa kukenang dalam kantung memori sebagai pendinding diri :)

Tuesday 17 June 2014

Binjai itu






Binjai, Kemaman. Tapi saya pernah tahu yang di Kelantan juga ada tempat bernama Binjai. Mungin di daerah-daerah lain juga ada yang bernama Binjai, namun tiada dalam lembar pengetahuan saya.

Binjai, daerah sepi. Mungkin kerana bila berpeluang kembali ke sana, tiada lagi dapat saya dengar hilai tawa anak-anak saudara yang bocah bermain basikal atau zero point di laman rumah, atau mungkin juga kerana tiada lagi suara-suara kecil memberi salam dari beranda rumah untuk menghadiri kelas mengaji al-Quran di rumah bonda. Sepi kerana hanya beberapa kali dalam setahun saya berpeluang kembali ke laman kenangan itu. Namun Binjai tetap di hati. Kerana di situ saya membesar, di kelilingi kasih sayang ibu, ayah dan kakak-kakak, serta tidak kurang pula rakan-rakan yang penuh asyik dengan pembelajaran, dan sukan malah.

Ingatan kepada Binjai begitu membuak. Apatah lagi, seorang rakan baik saya dari daerah yang sama; Dr. Kamariah Kamarudin mempelawa saya menggeluti dunia penulisan dan paling mengesankan, beliau meminta saya menulis tentang zaman kanak-kanak serta remaja kami ketika ranah Binjai itu kami diami. Apa yang harus saya tulis?, soal saya bingung. Sementelah saya bukanlah terlahir dalam golongan penulis sastera moden seperti beliau. Lalu ungkapan itu merupakan persoalan yang wajar saya utarakan.

"Kau tulis sahaja setiap yang terlintas di benak fikir."

"Hatta hal-hal kecil tapi signifikan."

"Aku cuba inshaAllah." Lalu kulit kepala yang tidak gatal tiba-tiba minta digaru. Heh!

"Setiap impian, jika disusuli usaha, doa dan tawakkal pasti berbuahkan hasil." Suara bonda tiba-tiba singgah di bahu fikir. Teduh angin petang yang menyapu pipi terasa dingin dan selembut sentuhan bonda.

"Binjai itu."  Saya mula merangka-rangka. Aneh. Banyak sekali yang ingin saya perkatakan rupanya!
 

Tuesday 4 February 2014

Alhamdulillah



Alhamdulillah, untuk segala-galanya wahai Allah.. untuk udara segar yang masih bisa dihela, untuk segala rezeki yang dikurniakan, untuk segaris keriangan yang menghiasi hari-hariku .. dan tidak terkecuali untuk puing-puing kesedihan yang kadangkala meranap kekuatan jiwaku di sepanjang kembara di dunia.. Alhamdulillah!

Ah! Agak bersenggang tempoh saya 'bermain' di laman ini. Barangkali kerana rantaian waktu banyak yang tidak memihak untuk penulisan dalam mood santai kala senang. Namun, alhamdulillah sekali lagi di atas segenap peristiwa jatuh bangun, suka ria yang berlaku kebelakangan ini.

Segala cerita dalam hidup, bisa saja saya ringkaskan bahawa hidup kita memang tidak boleh bersendiri-sendiri, kerana lingkungan hidup dan perhubungan kita dengan manusia sejagat sememangnya terlarut dalam fitrah kehidupan itu sendiri. Kerana itu disebutkan bahawa kewajipan manusia bukan setakat menjaga 'hablum minalLah' (hubungan dengan Allah) semata-mata, malah merupakan tanggunjawab kita juga sebagai makhluk di dunia untuk memelihara 'hablum minannaas' (hubungan dengan manusia).

Beberapa ketika dahulu saya pernah berbicara dengan beberapa orang rakan tentang apa yang disebut sebagai rangkaian doa dan keajaibannya. Betapa pentingnya kita saling mendoakan, dan doa itu haruslah untuk kebaikan dan perkara-perkara yang positif sahaja. Justeru, kerana kita ini manusia lemah, lalu, kita membutuhkan doa daripada orang lain untuk kita. Namun, kata seorang teman - tiada kuasanya untuk mendoakan manusia yang berbuat dajal pada dirinya, dan alangkah bagus jika didoakan manusia keji itu mati dengan cepat. Allah .. Allah .. Allah .. saya terkesima mendengar ujaran lantang itu. Lalu seusai pertemuan, saya cuba teduhkan jiwa .. ampunkanlah Allah .. segala perbuatan, perkataan mahupun lintasan dalam hatiku andai aku juga pernah mendoakan perkara-perkara bejat buat orang lain ... mohon dijauhkanlah ya Allah daripada lintasan yang tidak baik .. luaskanlah ya Allah unsur pemaaf dalam diriku .. perkayakanlah ya Allah, akan kesucian peribadi, hati dan jiwaku agar berputik dari situ nur keimanan yang bakal membawa kesejahteraan buat diriku dan manusia-manusia dalam lingkungan hidupku - keluargaku, sahabat handaiku, pelajar-pelajarku ..

Alhamdulillah, syukurku tidak pernah bertepi. Kerana langit rahmat-Mu terlalu luas, laut Rahim-Mu tidak pernah mampu kuselami hingga ke dasarnya.