Friday 27 April 2012

Dari dapur ke meja makan (entah relevant atau tidak tajuk ni? :p)

Saya bukanlah seorang pakar bila bercakap tentang aspek memasak di dapur. Namun sekadar 'cukup' untuk memenuhi selera keluarga, biarpun barangkali jika 'orang luar' mencuba masakan hasil air tangan saya, belum tentu dapat mencapai 'standard' selera mereka.

Meski bukan seorang suri rumah sepenuh masa, saya kira adalah penting untuk seorang yang bergelar isteri atau ibu meluangkan masa 'bersilat' di dapur demi suami dan anak-anak. Saya pernah teringat satu pesanan, bahawa air tangan isteri boleh 'mengikat' perut suami. Malah air tangan seorang ibu boleh membawa 'berkah' kepada anak-anak dengan kondisi bahawa proses di dapur dijalankan dengan perasaan yang ikhlas dan dilandasi rasa kasih sayang serta tidak lupa pula diringi dengan kalimah Allah ketika menumis, menggaul kuah dan sebagainya.

Menyingkap sejarah lampau, saya bukanlah terdidik dalam 'suasana' dapur. Mungkin ramai di luar sana yang sempat melalui pengalaman bertugas di dapur membantu ibu dan dalam masa yang sama menerima segala ilmu dan petua yang diperturunkan semasa proses praktikal tersebut. Saya katakan demikian kerana semenjak melangkah ke zaman persekolahan menengah saya sudah terlontar jauh di asrama bersama rakan-rakan yang lain. Ketika itu jiwa masih hijau. Pulang ke rumah hanya kala cuti sekolah panjang atau sesekali mencuri peluang mengubat rindu pada ma dan pak kala hujung minggu. Jadi kurang sekali peluang untuk saya mempelajari selok-belok seni memasak ini daripada tukang masak paling istimewa dalam hidup saya ini.

Habis persekolahan menengah, terus pula ke matrikulasi, kemudian ke universiti pula. Rasa saya, saat pertama saya 'terpaksa' serius dalam mengurusi dapur adalah ketika saya mula menyewa rumah di Pantai Dalam bersama rakan-rakan sekuliah di pertengahan pengajian ijazah pertama. Sebagai anggota rumah, masing-masing ditaklifkan dengan tugasan memasak - bergantung kepada jadual kuliah dan tutorial. Saya bertugas di dapur pada setiap hari Rabu, jika saya tidak tersilap ingat. Waktu itu, tercuit juga rasa kesal dengan kemampuan diri beraksi di dapur! Rata-rata ahli rumah saya itu rakan-rakan yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang - dan oh kebetulan pula kesemuanya mahir di dapur! Self-esteem saya begitu menurun. Terasa kerdilnya saya yang cuba berdiri di tengah-tengah wirawati dapur itu. Namun, saya terima keadaan itu sebagai satu cabaran. Panggilan telefon menjadi penghubung antara saya dengan ma di kampung - sambil tangan memegang sebatang pen, mulut pula kencang bertanya resepi-resepi yang 'praktikal'. Nasi minyak atau nasi tomato? Oh jangan bermimpilah!

Rakan-rakan turut menjadi sumber rujukan setiap kali saya mahu ke dapur. Oh memang stressful apabila tiba giliran saya ke dapur! Pernah juga di suatu musim Ramadhan bila mana saya ingin mencuba resepi puding karamel sebagai pelengkap hidangan berbukalah konon. Barangkali kerana kurangnnya kemahiran dan pengalaman, gula yang saya panaskan di periuk bukan setakat caramelised, tetapi sudah hangus berkerak. Seorang rakan saya masuk  ke dapur setelah mendengar suara saya yang bising di dapur. Lalu dia meminta saya terus sahaja mencampurkan gula di periuk itu ke dalam adunan telur serta susu cair yang telah saya sediakan terlebih dahulu itu.  Oh .. baiklah .. oleh kerana saya tahu dia pakar memasak, lalu saya menuruti segala arahannya.




Tiba waktu berbuka, saya agak teruja untuk merasa puding karamel hasil masakan saya buat julung kali itu. Aduhai ... luluh hati bila rasanya pahit dan tidak mampu saya telan :(
Rakan-rakan serumah mentertawakan saya! Namun sebenarnya memang agak lucu melihat wajah masing-masing yang tidak tahan dengan rasa pahit yang sudah masuk ke kerongkong.  Alahai .. lalu sudahnya saya terus sahaja mencapai kunci motorsikal usai solat Maghrib menuju kampus matrikulasi UIA di Seksyen 14 itu. Saya berterawih di surau blok Fatimah Az-Zahrah bersama rakan saya di sana, Na dan malam itu saya terus bermalam di katil kosong di bilik Na yang kebetulan tidak berpenghuni.

Rajuk saya agak panjang. Gelagat mereka yang mentertawakan puding karamel yang pahit hangus itu membuat saya kecil hati. Saya ceritakan kepada Na. Mendengar kisah itu dia mengeluarkan dekahan yang panjang. Bertuah punya teman! Dua kali saya ditertawakan! Namun, dengan Na saya OK.

Sudahnya saya bermalam di kampus UIA selama tiga malam. Motorsikal terpaksa saya 'sorokkkan' di ruang parkir bawah agar tidak ketahuan oleh 'pakcik guard' kerana jelas terpampang logo UM di situ. Saya hanya pulang ke rumah sewa untuk mengambil pakaian dan ketika semua orang tiada di rumah. Masih saya ingat, ada nota kecil diletakkan di atas meja saya, pastinya oleh rakan serumah yang mengajak saya pulang. Ada enam tanda tangan di situ. Oh oh .. hati saya tercuit pula. Antara ayat yang saya masih ingat - "Za, pulanglah. Kami rindukan mu."

Akhirnya malam itu saya tidak menyambung tidur di 'hotel' percuma itu lagi. Kepulangan saya disambut dengan sebekas nasi tomato masakan Mija! Sungguh indah. Itulah pengalaman dan persahabatan. Kedua-duanya harta yang tidak ternilai harganya.

Tamat tempoh pengajian, saya mula bertugas di pinggir Rompin - satu daerah asing namun penuh makna dan warna. Di sana, saya dilantik menjadi warden asrama. Tinggal bersama dua rakan guru yang lain sekali lagi membutuh tanggungjawab di dapur. Untunglah saya kerana saya ada Kak Yah, ketua panitia yang serba boleh di dapur. Lalu, koleksi resepi yang mudah sering saya saya dapatkan daripada beliau setiap kali ada waktu senggang di bilik guru. Saya mula berjinak dengan tomyam, nasi ayam, pajeri nenas, nasi minyak serta gulai. Dari situ, saya mula suka akan acara di dapur. Tambahan pula rakan serumah gemar membantu. Kami sama-sama bereskperimen di dapur kecil itu. Sama-sama pula ke pasar setiap hjung minggu untuk memenuhkan ruang dalam peti ais.

Sehingga akhirnya saya mendirikan rumah tangga, saya semakin percaya dengan diri sendiri. Malah kerana mudahnya untuk mendapatkan resepi-resepi baru melalui capaian di atas talian, saya sentiasa belajar mencuba sesuatu yang baru.

Anak saudara saya Icha, suatu hari, ketika menikmati nasi lemak bersama ayam goreng berempah di rumah berkata:

"Icha ni kan Cik Za, kalau lepas masak di dapur mesti rasa mual dan pening. Kadangkala boleh demam."

"Begitukah?"

"Ye! Sebab tu Icha tak gemar memasak. Lecehlah Cik Za tapi Icha suka akan masakan Cik Za." pujinya.

"Oh ya kah? Terima kasih .. tambah lagi .." saya menghulurkan mangkuk besar berisi nasi lemak.

Dia menambah satu senduk lagi.

"Nanti kalau dah kawin macamana? Takkan nak makan di kedai setiap hari?," usik saya.

"Itulah yang lecehnya .." wajahnya sedikit mendung. "Tak kahwinlah jawabnya." dia ketawa besar pula.

Di saat itu, saya terbayangkan diri saya dan kisah lama.
Benar, bukan mudah untuk menjiwai seni memasak 'dari hati' jika 'tiada hati'.
Perbualan ringkas dengan Icha itulah sebenarnya yang mendorong saya mencatat entri ini.

4 comments:

  1. Lucu..menyewa di Pantai Dalam puan pastinya graduan dari UM. Saya juga dari UM.tinggal di kolej sejak semester pertama hingga graduate. Langsung tak memasak. Hinggakan kerja, baru menyewa dgn rakan2 bujang. Disitu mula berjinak dgn dapur. Hingga sekarang, dapur merupakan acara menarik untuk saya dan isteri. Channel AFC dan TLC memang kegemaran saya.

    ReplyDelete
  2. mate, puding caramel mu di UK sangat menjadi! sampaikan dpt dijadikan buah tangan di rumah Zac waktu kita buka puasa dulu...agaknya berkat pengalaman dulu yg membuatkan mu dah jadi pakar puding caramel hehee...nak satu!

    ReplyDelete
  3. Wira,
    ye betul tu memang saya bekas siswi UM .. kenangan indah di kampus lembah pantai memang tak dapat nak dilupakan :)
    Flat Seri Angkasa, 4th College sentiasa dalam nostalgia, begitu juga Bangsar, Seksyen 14, tak ketingglaan pasar malam di Kampung Kerinchi! Kedai makan Pak Abu tempat dating! Hahaha ..

    Baguslah Wira, agenda di dapur menjadi aktiviti bersama, tak semua suami mahu bersilat di ruang itu. Dan oh .. AFC dan TLC juga seringkali menjadi bahan tontonan saya.

    ReplyDelete
  4. Mate! hehehe .. yang dihasilkan di dapur kita di Hartley Road tu adalah hasil drill and practice hahahaha ... anyway yg dalam gambar tu puding karamel yang kita bawak ke rumah Nadim masa iftar Ramadhan .. yg kat rumah Zac rasanya tak de gambar kan .. cuma gmbr muka kita je yang happy kekenyangan :D

    nak? haaa mu kena mari rumah aku dulu! (eh bila nak jumpa lagi ni mate? dulu mu turun KL tak jodoh la pulak ....)

    ReplyDelete