Saturday 14 December 2013

Catatan penyair lara




Assalamualaikum,

Apa khabar sahabatku Hana? Semoga kau sentiasa dalam redha-Nya sepanjang masa. Maaf andai coretan ini tiba-tiba saja datangnya; selepas bertahun-tahun lamanya tiada kita berceloteh. Aku tahu, engkau tidak akan bisa membalas apa yang sering aku catatkan, namun cukuplah sekadar engkau tahu apa yang aku rasa. Itu sudah cukup memberi aku kepuasan, dan percaya atau tidak, menulis untukmu cukup untuk memberi aku sedikit kekuatan untuk lebih percaya kepada diri. Terima kasih Hana. 

Tidak layak aku menyumpah masa itu sebagai kejam kerana putarannya yang terlalu laju sehingga lelah aku mengejarnya. Tidak layak juga aku menempelak masa justeru lariannya yang pantas sehingga hampir luluh harapanku menggapainya. Duduk sendiri, merenung ke dalam diri, menilai apa yang berlaku di sekeliling, membuat aku sendu. Benar Hana, aku jadi malu sendiri kerana sebenarnya akulah yang harus dibicarakan di atas rasa ini. Bukan masa, bukan waktu dan bukan orang lain, sebaliknya akulah. 

Akur diri ini bahawa kitalah yang bertanggungjawab ke atas kehidupan kita. Menuding jari kepada manusia lain hanyalah perbuatan manusia pengecut yang tidak mahu mengakui kelemahan diri. Aku sudah mengerti kini Hana. Mengerti bahawa Allah itu sentiasa ada, terlalu dekat dengan kita. Mengerti akan luasnya maghfirah Ilahi! Yang perlu hanyalah kesediaan untuk merenung ke dalam diri, mencari di mana nur-Nya. 

Kau aminkanlah doaku. Dalam doaku aku menyebut kesemua mereka yang kusahabati, aku memohon rahmat dan pertolongan-Nya agar segala urusan kami dipermudahkan, serta niat kami disucikan, dan segala perbuatan kami menjadi buah-buah pahala yang lazat. 

Langit senja sudah tiba. Garis-garis merah di horizon semakin pekat di atas sana. Riuh sekawan burung yang terbang rendah tadi membisik bahasa angin. Aku perlu segera pulang. 

Sahabatmu,
Penyair lara





Tuesday 10 December 2013

Hidup berbudi


Hidup ini ada timbal baliknya. Perkara baik dibalas kebaikan dan begitu sebaliknya. Namun sejauh mana kita mahu berbuat baik - berbuat baik yang dilandasi pula dengan aspal keikhlasan kerana-Nya?

Kadangkala kita terlupa bahawa kebaikan yang kecil, akhirnya dibalasi dengan rahmat dan balasan yang tiada disangka-sangka. Balasan itu pula bukanlah dalam bentuk wang ringgit, tetapi jauh lebih bererti daripada itu. Pernahkah kita dalam satu-satu masa mendapat faedah kesenangan yang tidak pernah kita fikirkan - semua  urusan kita menjadi lurus, atau sekonyong-konyongnya datang 'solution' yang tidak kita sangka kepada apa juga bentuk masalah kita pada hari tersebut. Dan kebaikan dalam bentuk sebegitu rupa tidak datang sendiri tanpa redha-Nya, dan itulah balasan ke atas kebaikan (biar kecil) yang pernah kita lakukan (kerana-Nya). Pembalasan baik itu sungguhpun tidak berlaku secara langsung atau terus, ia barangkali terjadi lama setelah semua itu berlaku. Hal ini juga membabitkan keburukan atau kebejatan yang pernah kita lakukan - lambat laun keburukan juga menanti kita. Lalu jika mata hati kita terbuka, kita akan menyantuni hakikat bahawa, apa yang kita perolehi adalah sebenarnya hasilan daripada apa yang kita 'beri'.

Oh! Saya merenung jauh ke dalam diri, mencari sifat ikhlas untuk membantu dan di sudut mana ia berada. Sukarkah mengeluarkan sifat itu dari ruangnya, untuk diterjemahkan dalam perbuatan untuk kebaikan sesama manusia? Begitulah, sebelum menghukum orang lain, kita semaklah diri sendiri kerana hanya dengan mendalami makna diri, kita tidak akan merungut lagi. Sibukkanlah diri dengan memperkukuh iman dan peribadi, bukan menjaja keburukan orang walau hakikatnya kita sendiri yang merasa kesannya :)

Seorang sahabat pernah berkata: "Hadiah kebaikan paling berharga adalah doa kesejahteraan untuk kita daripada mereka yang pernah kita tolongi".





Persatuan Orang Bujang



Iye, benar. Ia nama sebuah persatuan atau nama ringkasnya POBUM (Persatuan Orang Bujang Universiti Malaya). Pertama kali saya mengetahui kewujudan persatuan ini adalah sewaktu saya masih di tahun kedua di Universiti Malaya. Kala itu, saya dan beberapa rakan lain berada di kedai serbaneka Kolej Tunku Kurshiah atau juga dikenali Kolej Ketiga. Kebetulan, ada dua jejaka mengenakan baju T berwarna hitam dengan cetakan POBUM di belakangnya, dan di barisan bawah tertera perkataan 'Persatuan Orang Bujang UM' jadi tahulah saya makna POBUM yang sebenarnya. Hati bagai digaru dan digeletek. Mahu ketawa tapi menahan sehabis daya.

Dan oh, penemuan itu tidak sudah di situ. Menjelang makan malam di dewan makan kolej (saya di Kolej Bestari atau Kolej Keempat), kami masih memperkatakan tentang POBUM. Mungkin kerana kala itu masing-masing masih bujang dan 'available' kewujudan POBUM menarik minat segelintir kami untuk turut sama menganggotainya! Malang sekali, hasil risikan rakan-rakan, kami mendapat tahu bahawa POBUM hanyalah persatuan yang khusus untuk siswa sahaja.

Hemm .. seperti tidak berpuas hati. Lalu sekonyong-konyongnya tercetuslah idea menubuhkan Single Lady Society (SLS) khusus untuk siswi dan setiap orang ada 'pangkatnya' tersendiri. Syarat keahlian pula mestilah betul-betul bujang dan tidak berpunya! Mana-mana ahli yang dikesan menjalin hubungan cinta, secara automatik gugur keahliannya. Jawatan Presiden pula haruslah yang paling 'tegar' dari sudut kebujangan (hahahah! bagaimana nak mengukur 'ketegaran' itu??). Saya sempat diangkat sebagai setiausaha sebelum mengambilalih jawatan presiden apabila presiden yang asal tergugur keahlian dengan sendiri setelah dikenalpasti mula menjalin hubungan dengan seorang pelajar senior di kolej yang sama! Duh .. gelihati benar kala mengimbau kembali kenangan lama di universiti kala menjalani kuliah Ijazah Pertama.

Bila diingat kembali wajah-wajah ahli SLS, rasanya kesemua mereka sudah punya keluarga sendiri. Namun ingatan kepada kenangan zaman gila-gila remaja pastinya tidak dapat dikekang dek waktu biar berapa lamapun masa sudah meninggalkan saat itu.

Adakah sekarang wujud juga persatuan 'atas angin' seperti zaman lampau saya? Namun yang pasti, ramai pelajar saya yang menganggotai Persatuan Kerja 'Last Minute'. (",)









Thursday 5 December 2013

Tengkujuh yang membawa pesan




Cuti sekolah dan tengkujuh - seperti dua unsur saling berkait rapat. Itu pengertian lewat pengalaman zaman lampau - kala saya masih di sekolah rendah. Berteduhkan langit yang redup atau kadangkala gelap, bertemankan rima hujan yang luruh pada atap zink rumah serta orkestra sang katak sahut-menyahut - merupakan hiasan terindah hadiah daripada alam. Dan saya membesar dalam rutin sebegitu bertahun-tahun lamanya.

Cuti panjang di bulan-bulan November dan Disember kadangkala menjadi satu tempoh yang ditunggu-tunggu. Bukan semata-mata kerana cuti yang merehatkan diri dari berulang-alik menaiki basikal ke sekolah tetapi kerana tengkujuh yang menumpang lalu itulah. 

Mana bisa saya lupakan pengalaman mandi pagi pada jam sebelas atau dua belas - gara-gara cuaca di luar yang begitu dingin menggigit kulit, semilir angin yang tajam menusuk roma. Atau bemain-main di pinggir kali dengan kakak saya sambil memerhati anak mata air yang baru terhasil - dari lubang kecil itu keluarnya air nan jernih mengalir melewati umbut keladi yang melata tumbuhnya di sisi tapak perigi. 

Suatu masa dahulu juga, air melimpah membentuk banjir kecil di sekeliling kampung. Kebetulan di hadapan rumah lama kami ada lembah yang bersambung dengan terowong laluan air, lalu tempat itu menjadi tumpuan anak-anak kampung baya saya bermain air. Besen besar milik emak yang digunakan untuk membilas basuhan kain kami jadikan sampan kecil dan oh, sempat pula bermain perang air! 

Cuti panjang November-Disember itu juga banyak saya habiskan dengan membaca buku-buku cerita atau novel yang dibekalkan arwah ayah. Kadangkala saya mengulang baca majalah lama dan klasik milik kakak sulung seperti Dewan Pelajar dan Salina. Aktiviti membuat buku skrap juga menjadi pilihan. Antara yang saya ingat adalah buku skrap tentang jenis-jenis tumbuhan serta ikan. 

Mengulit kenangan lalu yang tidak mungkin dapat saya ulangi lagi membuat rusuh hati merindu kampung halaman serta zaman kanak-kanak yang lama ditinggalkan. Sementelah pula saya baharu saja mendapat berita tentang keadaan banjir yang semakin teruk di Kemaman, tanah kelahiran. Ujar anak saudara saya yang tinggal di Pandan melalui talian telefon sebentar tadi, bukan sahaja bekalan air dan elektri terputus, malah talian telefon juga tidak berfungsi lagi di Kemaman. Mujurlah semalam saya sempat berbual dengan bonda dan kakak saya bertanya khabar. Allah .. Allah .. Engkau rahmatilah sekalian ahli keluarga dan mereka yang menghadapi ujianmu di sana. Sesungguhnya, banjir kali ini suatu 'pesanan' buat kita - bahawa dunia sudah semakin tua, justeru siap siagalah dengan bekal yang sebaiknya. 

p/s: Di rumah kakak sulung saya katanya cuma tinggal empat batang lilin lalu terpaksa dicatu sebatang untuk satu malam :(  

Lalu terputus di bandar Chukai (Sumber di sini)

Tuesday 3 December 2013

Saya mahu duit halal

I don't care about motivation. I care about credibility (Eliot Spitzer)

Dua puluh empat. Tidak berlebih dan tidak berkurang. Ya, dua puluh empat jam - pinjaman masa yang diberikan Allah buat semua manusia tidak kira siapa, di manapun dia berada. Sama ada kita bijak mengurusinya, atau kecundang di batas masa, jawapannya tentu ada pada diri sendiri.

Minggu ini merupakan minggu ke 12 kuliah mengikut hukum semester, bermakna tinggal lagi dua minggu berbaki untuk menyempurnakan semester pengajian sesi 1 2013-2014 ini. Rata-rata pelajar saya sudah mempamer seribu riak wajah apabila ditanya tentang tugasan. Pembentangan pula kian rancak dijalankan sebagai syarat yang dipersetujui sebelum ini. Hari ini sahaja, saya menilai lapan pembentangan.

Jam 1 tadi saya didatangi pelajar tahun akhir yang mana saya ditaklifkan sebagai penyelia untuk projek penulisan ilmiah. Beliau baharu sahaja menghantar penulisan Bab Duanya dan pertemuan tadi menjurus kepada maklum balas saya seputar penulisannya itu. Beberapa perubahan kecil saya cadangkan khususnya dalam mengkategori dapatan-dapatan terdahulu agar lebih bertema serta tidak 'berserak' di sana-sini. Saya juga minta dia bentangkan cadangan sub topik untuk bab metodologi kajian secara lisan agar saya dapat mengetahui sejauh mana persediaannya untuk melangkah ke bab seterusnya. Meski tersekat-sekat namun dia mencuba. Beberapa kali dia menutup wajah dengan helaian kertas nota di tangannya kala saya memberi beberapa soalan menduga.

Hampir satu jam menekuni penulisannya, akhirnya kami tiba di penyudahan. Ujarnya, ada sebilangan daripada rakannya masih terkial-kial mencari tajuk penyelidikan; penyelia sukar ditemui; janji tidak ditepati penyelia. Malah seorang pelajar lain pernah membilang kepada saya bahawa penyelianya tidak memberi bimbingan khusus malah tiada maklumbalas membina - melainkan komentar negatif belaka. Saya pasti perkara-perkara ini membuat mangsa menangis tidak berlagu.

Saya tidak memberi komen panjang tentang itu kepada pelajar saya. Sejurus selepas dia menyalami saya, saya bisikkan kepada diri : 'Saya mahu gaji yang halal - lalu segala tugas harus saya ladeni sebaiknya, segala hak pelajar harus saya berikan sepenuhnya. Kalau pelajar tidak redha dengan saya, dan merasa diri mereka dizalimi, saya khuatir mereka akan mendoakan perkara-perkara buruk buat saya, sedang saya tahu doa orang yang dizalimi makbul di sisi-Nya.Allahu Rabbi!'

Mata saya tiba-tiba berair.

Sunday 1 December 2013

... dan masa terus berlalu






Banyak. Terlalu banyak perkara berlingkar dalam susuk jiwa. Terlalu sarat rasa menjamah nadi usia. Sehingga kerana terlalu banyak itu, saya hilang kata-kata. Untuk memulakan entri ini pun, banyak perkara yang datang dan pergi sehingga akhirnya hanyut jua saya dalam arus masa.

Pelik. Memang saya menjadi pelik kerana keinginan, minat, kecintaan dan hobi menulis-nulis di blog menjadi sesuatu yang terasing dari rutin hidup saya kini. Mencari makna dalam diri untuk dikongsi seperti tahun-tahun nan sudah, seperti di blog-blog yang lalu, membuat fikiran saya terlalu sarat dengan buah fikir.

Ah, lupakan intro yang sukar ini. Mungkin kerana lama tidak menulis-nulis, cara pemikiran saya sudah menjadi begitu kompleks untuk dirungkai satu-persatu! Heh!

Disember datang lagi menjengah kamar masa dan 2014 sudah hampir pulang! Oh! Banyak perkara yang berselang-seli datang dalam rutin seharian namun akhirnya kita sedar kita masih diri kita seperti dulu. Kita mengejar banyak perkara, namun akhirnya kita insaf bahawa kita masih hamba Allah yang sentiasa mendambakan redha-Nya.

Pagi tadi saya berbual dengan seorang rakan karib lama perihal manusia-manusia selingkar kisah kehidupan. Pengalaman yang datang dan pergi, memberi gambaran jelas tentang siapa sebenarnya sahabat sejati, dan siapa sebenarnya sahabat yang hanya datang 'bertujuan'. Malah, mengupas kesedaran bahawa setiap yang berlaku pasti ada maksud dan mesej tertentu yang hanya akan dapat dimengerti apabila kita berfikir menggunakan mata hati.

Hidup ini memang begitu. Banyak pancawarna, yang indah yang bejat, semua ada. Lalu hantarkan waras pada akalmu, tanyalah dinding iman serta bermusyawarahlah dengan sahabat yang bukan sahaja mampu merasai empati, tetapi yang juga mampu mengingatkan kita tentang makna diri dan hikmah setiap perkara yang terjadi.

Salam di penghujung 2014 .. semoga kita dipanjangkan umur dan diberi kelapangan masa untuk bersua-sua lagi di alam maya :)