Monday 14 May 2012

Kenangan itu bertamu lagi

Alhamdulillah. Apa lagi tanda rasa yang harus saya kongsi selain kesyukuran atas kesempatan yang diberikan Allah untuk menjenguk bonda di kampung halaman pada penghujung minggu baru-baru ini. Sejuk pipi ibu sentiasa meneduh jiwa. Senyum manis di bibirnya meski penuh dengan kedutan tetap memancarkan rasa tenang malah omelannya yang panjang ketika tangan sibuk memotong bawang di dapur tetap menjadi irama paling indah di kuping telinga.


Pulang ke desa tempat bermain, jatuh dan bangun sentiasa memberi rasa nan membekas di jiwa.
Jalan dan lorong yang disusuri tidak pernah gagal membisikkan nostalgia zaman bocah. Langit itu tetap saja membiru dan udara selepas hujan yang turun itu tetap sama baunya seperti dulu.


source: flickr




Laut China Selatan - Pantai Chendor yang tidak jauh dari kediaman desa tidak pernah dilupakan. Anak-anak dibawa untuk sama-sama menghargai khazanah alam dan bermesra dengan ombak petang sambil menebar pandang melihat saujana langit nan terbentang yang perlahan-lahan meneduh tirai mengundang rona-rona kuning merah kala senja mula bertandang. Sesekali kumpulan burung pulang petang melayang riang di udara memberi salam rindu dan berterima kasih di atas kepulangan.




source: SKB Facebook




Melewati bangunan sekolah Binjai di sebelah kanan jalan pula membuat jiwa tiba-tiba kembali muda! Seakan terbayang di sana - di hadapan bangunan utama, barisan pelajar memenuhi ruang jalan bertar kala perhimpunan diadakan. Barisan paling kiri dipenuhi pelajar darjah enam, diikuti darjah lima, empat dan seterusnya.


Pengawas-pengawas garang berbaju dan berskirt putih serta bertali leher merah seakan-akan hidup dalam ingatan. Pelajar yang tidak mahu mendengar cakap atau berbual-bual semasa guru berucap di hadapan pasti akan menerima penangan - sama ada cubitan atau sepakan di betis. Duh! Ganas. Namun berkesan.


Di padang sebelah bangunan bilik guru yang baru itu pula adalah tempat pelajar-pelajar menghabiskan ruang senggang ketika waktu rehat. Ternampak-nampak bagaimana mereka yang kecil besar berbondong-bondong menjinjit bekal masing-masing untuk mencari sudut yang sesuai untuk melabuhkan sila. Kala loceng berdering nyaring, kumpulan itu akan mula segera meninggalkan birai padang untuk menyambung pembelajaran. Namun padang nan indah itu sudah tiada kini. Yang ada hanya deretan bangunan empat tingkat tersergam berbaris-baris. Duh. Nostalgia saya mati di situ.


Namun apabila menyoroti susuk bangunan surau yang kian uzur di tengah-tengah kawasan berpagar itu membuat hati tiba-tiba disapa syahdu. Sudah lama benar rupanya saya meninggalkan alam itu. Dan sudah berapa banyak peristiwa besar kecil yang berlaku sudah mula saya lupai. Melewati usia yang semakin menuju senja membuat jiwa luluh. Saya mendongak ke atas.  Awan yang tadi bergumpal-gumpal akhirnya berserakan lalu menipis pergi. Hati saya tersentuh bukan sedikit. Alangkah kerdilnya diri ini, seorang hamba yang menumpang hidup di penjuru dunia, tiba masa kan kembali jua.


Alhamdulillah, kepulangan saya kali ini membawa lebih banyak makna.
Pipi ibu saya kucup mesra, mudah-mudahan hadiah kecil di dapur itu akan sentiasa dimanfaatkannya.

10 comments:

  1. Alamak, nostalgianya.
    Lagi cemburu saya bila tak dapat balik ke kampung..lama sangat dah tak balik ke kampung..owh, Terengganu kampung kamu..lama juga tak jejak ke sana. Biasa jadi tempat transit saja sebelum ke pulau-pulau di sana.
    Oh ya, nak jadi cerita, hujung minggu lepas berbulan madu lagi kami. Kali ini di Bukit Tinggi sahaja. Jangan cemburu, Puan.

    ReplyDelete
  2. Wira,
    kenangan lalu takkan bisa mati berkubur .. ia akan tetap hidup selagi nafas masih ada :)

    Ye, dengan bangganya saya mengaku saya anak Ganu. Oh? Pulau di sebelah timur sememangnya indah nyaman. Pernah ke Pulau Bidung? selain pulau-pulau 'mainstream' (Kapas, Redang, Perhentian dll)

    Bukit Tinggi? Colmar Tropicale? Sudah. Esok juga aku mahu ke sana hahaha!

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum zariza...kembali ke kampong halaman pasti.mengundang nostalgia zaman kanak2 yg telah.lama ditinggalkan...

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam Kak Anie,
    begitulah .. banyak betul ingatan dan kenangan yang terimbau setiap kali plang ke kampung .. rindu juga pada kawan2 lama :)

    ReplyDelete
  5. Sahabatku
    Alhamdulillah, terlerai sudah rindumu pada kampung halaman, dan yang paling utama kucupan mesra untuk mama tercinta. Membaca catatanmu turut mengundang rinduku pada nostalgia alam persekolahan kita, oh, sekolah kebangsaan binjai, semuanya bagai berlari mengapung kenangan yang sesungguhnya tidak akan pernah pergi daripada memori yang menjadikan kita dewasa kini.

    sahabat, alangkah indahnya pengalaman yang kita bina bersama memang tidak akan berulang, pun semuanya tetap membugar di jiwa; moga generasi kita kelak memahami warna perjalanan yang kita lalui, dan moga mereka benar menghargai khazanah warisan bondanya (kau dan aku), insya Allah.

    hey, sesekali gunakan sahaja dialek Ganu kita dan sedikit banyak kau jelaskan pada mereka apakah maksudnya, insya Allah mereka boleh memahami dan menuturkannya:-)

    ReplyDelete
  6. Sahabatku Kay,

    syukurlah setelah beberapa bulan tidak kembali, akhirnya dapat juga bertemu bonda dan kakak-kakakku semuanya.

    Memang, saat melewati SKB hati aku begitu tersentuh. Bayang susuk tubuh kau dan Yanti seakan kembali hidup! Kenangan zaman persekolahan yg begitu manis untuk dikenang bukan?

    haha .. aku sebenarnya memang selalu mempraktikkan 'bahasa ibunda' di rumah .. Alieya rasanya boleh faham tapi masaelohnya dok reti nok ccakak macang mok ye hahahaha .. weh sedak balik baghu ni .. lawah buleh ccakak teganu :P

    Kamila guane? Pahang ke dok? hehe

    ReplyDelete
  7. alhamdulillah kami di kerteh je.. senang nak jengok mak kat kuantan...

    kalau byk masa ketika pulang ke rumah ibu, langsung2 lah ke kerteh ya..

    ReplyDelete
  8. Mulan,

    oh oh pulang hanya dua atau tiga malam lali seringkali tidak punya lebih waktu untuk ke sana sini .. tapi kalau musim raya adalah jugak turun ke Kemasik mencari lemang. Ok nanti kalau betul ke Kerteh bolehlah singgah ke rumah Mulan ye .. apa hidangan istimewa menanti saya agaknya hehehe

    ReplyDelete
  9. Ombak petang bisa bisa aje mengombak rindu kepada kenangan lalu menyebak rasa...

    Salam Datin... terasa benar akan kebeningan hatimu dalam tulisan ini. Saya merasakan keindahan setiap kenangan yang dipaparkan. Mudah mudahan kenangan tidak hanya tinggal kenangan tetapi dipupuk untuk generasi baru agar mereka memahami dan menghargai kehidupan ini.

    Tak nak minum. Tulisan ini telah menghilangkan dahaga saya ;)

    ReplyDelete
  10. Sahabatku Bunga Rampai nan harum,

    Syukurlah, kiranya ada sekeping hati yang dapat merasa sentuhan dari jiwa ini :) Sungguh, kenangan itu membugar dalam kotak fikir namun bila mengenangkan jauhnya perjalanan hidup yang telah ditempuh, terasa hiba pula ..

    Janganlah begitu, kerana secangkir teh mawar sudah siap saya hidangkan, jemputlah :D

    ReplyDelete