Monday 21 May 2012

Everything starts somewhere




Sabtu baru-baru ini. Sengaja saya meluangkan sedikit masa untuk menjenguk pembentangan para pelajar siswazah sempena Kolokium Fakulti. Tujuan sebenar kolokium ini adalah sebagai platform untuk para pelajar sama ada di peringkat Sarjana mahupun Doktor Falsafah untuk mendapatkan maklum balas serta buah fikiran daripada pembaca dan khalayak yang ada. Proses ini sebenarnya melibatkan aktiviti refleksi yang bakal disusuli proses pemurnian dari sudut sama ada methodologi, analisis data, penulisan, malah turut melibatkan peringkat perancangan sesebuah penyelidikan.


Menurut pandangan sesetengah pelajar, proses pembentangan wajib ini seolah-olah suatu 'beban' kepada mereka kerana perlu bersiap sedia menghadapi hari yang ditetapkan untuk di'bantai' dan di'basuh' oleh pembaca dan tidak kurang juga khalayak yang mendengar. Namun, dari sisi yang positifnya, saya kira proses ini sangat membantu kerana perjalanan sesebuah penyelidikan di peringkat siswazah sememangnya bersifat 'lonely' yang kadangkala boleh membawa seseorang itu ke 'lorong yang sesat lagi menyesatkan'. Apa lagi jika hubungan baik dengan penyelia tidak diambil berat. Lalu, terjadilah peristiwa di mana pelajar dengan bangga mengatakan yang dia sebenarnya 'menyelia dirinya sendiri'. Duh.


Melihat beberapa pembentangan di hadapan mata, membuat saya berfikir. Memang beruntunglah mereka yang melanjutkan pengajian di sini. Pengalaman saya bergelumang dengan penyelidikan di kampus Nottingham, sebenarnya amat berbeza. Semuanya sendiri-sendiri. Hanya saya dan mereka - dua penyelia. Tiada pembentangan rasmi seperti yang mereka ini lalui. Hanya semangat dan perkongsian dengan sahabat-sahabat sekapal sahaja menjadi sumber utama kekuatan untuk terus melangkah.


Entah kenapa kaki saya ringan melangkah ke bilik itu. Mungkin kerana tajuknya sedikit sebanyak berkait dengan bidang saya dan mungkin juga kerana saya sebenarnya mengenali pembentang tersebut. Lalu saya menyertai yang lain di situ. Pembentang sebenarnya masih dalam peringkat usulan, lalu tidak hairanlah isinya masih boleh dipersoalkan. Hipotesisnya yang panjang lebar itu seharusnya digabungkan sahaja dengan objektif kajian. Manakala sorotan literaturnya masih belum benar-benar menyentuh isu utama kajian beliau. Itu pendapat saya.


40 minit berlalu. Beberapa persoalan dibangkitkan. Pembentang agak tenang, namun kadangkala tidak memahami soalan yang dikemukakan. Seorang professor meminta beliau mengemukakan pandangan tentang apa itu 'penyataan masalah' dalam sesebuah kajian. Jawapannya begitu santai - bahawa penyataan masalah adalah sesuatu yang amat penting dalam sesebuah kajian lalu disambut tawa kecil para hadirin. Oh oh .. saya cuba meletakkan diri di tempatnya. Jikalaulah saya yang berada di situ, membentang usulan penyelidikan pada peringkat di mana dia berada, adakah mampu untuk saya menangani kesemua persoalan itu dengan bijaksana. Saya tidak memandang rendah kepadanya. Tidak sekali-kali kerana saya pasti everything starts somewhere! Namun saya begitu simpati kerana professor si pembaca usulan tadi memutuskan agar beliau mengulangi pembentangan pada kolokium akan datang kerana tidak berpuas hati dengan apa yang dibentangkan - tidak fokus, dangkal, tiada contribution bla bla bla .. sesuatu yang amat jarang berlaku.


Kebetulan ketika saya melangkah keluar dari bilik pembentangan, saya berpapasan dengan sahabat lama saya itu. Dia menyalami saya dan saya lihat matanya berkaca.


"Aku kurang bersedia sebenarnya!" terangnya tanpa dipinta.


"Sabarlah. Anggap ini satu proses pembelajaran yang mematangkan," jawab saya pula.


"Alangkah bagus jika aku tidak mendaftar sebagai pelajar di sini!" dia melempar pandangan yang jauh.


"Oh oh jangan kau berfikir begitu sahabat. Kau lebih beruntung kerana 'dipimpin' dalam bentuk sedemikian. It's for your own good!"


"Nanti aku jumpa kau di bilik, boleh? Tolong betulkan usulan ni!"


"Penyelia kau mana?", entah kasar barangkali jawapan saya.


"Susah.. susah .." dia menggeleng kepala.


Buat sahabat ini, dan mereka yang sekapal, saya kongsikan sedikit kata semangat sebagai pemangkin buat kita semua untuk terus bangun dan jangan cepat mengundur diri. Sesungguhnya perjalanan PhD setiap individu tidak akan sama, percayalah. Hanya kepada Allah juga kita mengadu. Selebihnya, bijaksanalah dalam menangani isu yang datang dan pergi, selain lestarikan hubungan anda dengan penyelia.


Dipetik dari pengalaman mereka yang telahpun tiba ke destinasi:

- The best way to learn is to ask people to criticize your work. Excellence is not perfection. Don't be afraid to show your weakness (Wang, Z.)

- Keep an open mind and don't be afraid to take risks. Putting yourself in uncomfortable and challenging positions can lead to more satisfying results in the long term (Gopinath, A.)

- Work as hard as you can to finish your dissertation as fast as you can (Pattichis, M.)

- The quality of interaction with your advisers is proportional to your willingness to interact with them (Kite, T.)

Selamat mengayuh! ;)









3 comments:

  1. Salam Puan,
    Teringin sebenarnya nak melanjutkan pelajaran. Dengki tengok orang lain bersusah payah. Rindukan cabaran itu.

    Memang lumrah saya sendiri kadang-kadang terlepas pandang hikmah sesuatu itu. Hatta zaman bekerja pun kadangkala hati kecil nak pertikaikan keputusan/arahan pihak atasan. Kononnya cara kita sahaja yang betul. Namun bila sudah berada di tempat lebih tinggi, arahan/keputusan pihak atasan sebelum ini sebenarnya 'guru' yang paling banyak membantu.

    Jadi sekarang, jika ada 'kesusahan' yang perlu ditempuh, saya redha dan menganggap mungkin ini merupakan 'guru' bila saya sampai ke destinasi saya nanti.

    ReplyDelete
  2. Salam kembali Wira,

    Tahu tak .. bagi yang sedang bergelumang dengan sepak terajang dunia penyelidikan dan pembelajaran ni pula kadangkala rasa tak sabar nak 'lepas' keluar! aduyaii ..

    Memang sepanjang tempoh pengajian kita akan berhadapan dengan asakan yang bertimpa-timpa sehingga sering menggoyahkan kecekalan. Tapi itulah, sebenarnya keperihan itulah guru yang terbaik. To me personally, tahun-tahun sepanjang pengajian PhD ni memang terlalu sarat dengan refleksi diri .. kita sedar tinggi rendahnya langit, kita sedar kekerdilan ilmu yang kita miliki, kita belajar menghargai orang lain, kita tahu bagaimana mengimbangi kehidupan berkeluarga dengan kehidupan sebagai pelajar, kita belajar juga tentang warna-warni sikap manusia dan banyak lagilah! :)

    Kehidupan itu sendiri adalah guru dan pengalaman pahit manis itu anggap sahaja sebagai 'syllabus'nya. Hey, masih belum terlambat untuk kamu menyambung pengajian tau! Seorang rakan saya - bapanya kini berusia dalam 60-an, baru sahaja tamat ijazah pertama dan sekarang dalam semester kedua pengajian sarjana!

    ReplyDelete
  3. Madam, ingat nak juga buat master tapi macam malas hii .. insyaaallh kalu ada rezeki saya nak buat jugee

    ReplyDelete