Friday 13 April 2012

Yang indah itu bahasa





Sekian lama rasanya saya tidak mengikuti mana-mana bengkel yang bertunjangkan bahasa sebagai kandungan utama. Mungkin paling hampir adalah bengkel-bengkel berkaitan penulisan tesis tetapi itupun, lebih kepada perkara-perkara teknikal bagaimana untuk menguruskan data serta mempersembahkannya dalam bentuk laporan manakala penekanan sampingan adalah berkaitan isu-isu seperti plagiarisme serta disiplin yang perlu ada dalam diri setiap orang penyelidik agar dapat menyiapkan penulisan mengikut garis masa yang ditentukan .. (pun, masih tidak berjaya mencapai target penyerahan keseluruhan bab mengikut tempoh! *sigh*)




Baru-baru ini saya berkesempatan menjadi peserta Bengkel Penataran Manuskrip atas pelawaan daripada pihak kedekanan. Tidak ramai yang mahu hadir. Barangkali masing-masing sudah mempunyai jadual yang ketat beserta komitmen di tempat lain. Namun itu tidak menghalang kami yang ada (sekitar 25 orang) untuk menghadam setiap butir yang dikongsi sepanjang tempoh bengkel sehari itu. Oh oh .. terasa seperti kembali ke bangku sekolah pula bila kami 'diperkenalkan semula' dengan isu-isu berkaitan morfologi serta sintaksis dalam  bahasa Melayu.


Sesi di awal pagi sehingga menjelang waktu tengahari itu dikendalikan oleh seorang guru pakar dalam bahasa Melayu, Puan Salina dari SMK Aminudin Baki. Saya tabik kepada wanita ini. Meskipun sentiasa merendah diri, namun percikan ilmunya sememangnya menggambarkan kedalaman ilmu yang dimiliki. Duh, lucu sekali rasanya kerana banyak perkara yang seringkali digunapakai dalam komunikasi atau percakapan harian kita tidak menepati kaedah sebenar. Malu rasanya hendak mengaku saya ini berbangsa Melayu, yang menggunakan bahasa ini sebagai bahasa ibunda!


Meskipun pengisiannya padat dan sarat dengan maklumat, oleh kerana pada malam sebelum saya tidur agak lewat iaitu sekitar jam tiga pagi, menjelang jam sebelas mata saya diserang kantuk yang amat sangat! Hampir tersengguk di meja! Aduhai .. saya berpaling ke arah belakang. Dr. R di bangku belakang sedang 'beratib'. Rapat matanya dipejam. Oh, saya tidak sendirian! Ketawa kecil di dalam hati. Benar-benar mengingatkan saya kenangan di zaman sekolah menengah dahulu bila mana guru di hadapan sedang bercakap, pelajar di bangku melayan mimpi.


Usai menjamah hidangan tengahari dan mendirikan solat Zohor, barulah terasa mata cerah kembali. Sesi petang pula dikendalikan seorang pegawai dari DBP, En. Karim yang juga merupakan mantan guru di sekitar tahun tujuh puluhan dahulu. Istimewanya En. Karim ini seorang yang lucu sekali. Tidak kering gusi kami melayan leluconnya itu. Ada-ada sahaja idea kreatifnya untuk memancing dekahan ketawa hadirin. Namun dalam gelak ketawa, sekurang-kurangnya ada juga ilmu baharu yang ditimba. Umpamanya, perbezaan antara baru dengan baharu, untuk dengan bagi, tentang dengan mengenai, kesal dengan sesal, jemput dengan undang dan sebagainya lagi.


Alhamdulillah.
Ilmu Allah itu sememangnya luas. Tidak mampu seorang hamba itu untuk menguasai kesemua ilmu yang ada. Semoga Allah memberkati para guru saya itu atas perkongsian ilmu yang penuh makna.


p/s: kenangan di tingkatan empat dahulu tiba-tiba sahaja menerjah sangkar ingatan. Guru bahasa Melayu saya, Munsyi Talib pernah meminta kami membina ayat menggunakan perkataan 'kesiangan'. Oleh kerana sebahagian besar kami berasal dari Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu) maka banyak jugalah ayat-ayat yang terhasil yang menggeletek perut. Antaranya seperti:


"Melihat ibu yang kematian anak itu menangis teresak-esak, hati Pak Hashim kesiangan."
(merujuk kepada rasa kasihan - orang Terengganu menyebut kasihan itu "ssiang" kah kah kah)


"Ikan-ikan yang kesiangan itu akhirnya direbus dengan api perlahan."
(merujuk kepada perbuatan membuang tulang ikan - disebut 'siang ikang' kah kah kah)  


Jelas. Kami sangat kreatif namun tiada kepersisan dalam penggunaan kosa kata (^^,)

2 comments:

  1. Mate, bagus dpt peluang menggilap bahasa kebangsaan kita, aku pun dah mcm lost bahasa melayu, nampaknya lebih mahir melayu swak dah sekarang...

    haishhh...kena cakap bahasa standard dgn anak2...kalau trengganu ada lucunya, swak pun sama...kalau tikam (maksudnya buang)...jadi kalau tajuk berita...lelaki cedera ditikam (dibuang!!!!) rakan...hehee...

    ReplyDelete
  2. Mate, memang terasa sangat teruknya penggunaan bahasa ibunda kita bila dah dengar penjelasan pakar. Dah lah kitapun buat writing dalam bahasa Inggeris kan. Aku nak buat paper dalam BM rasa kekok nak tulis..mengajar research method pun rasa pelik guna istilah yang diterjemah. Apapun, bahasa kita harus dilazimi insyaAllah.. Hehe tikam tu buang ke? Memang lucu kan mate bila ada pktn yg berlainan maknanya ni digunakan dlm konteks berbeza mengikut kefahaman masing2.. "acu mu duk cccacang!" hahaha

    ReplyDelete