Wednesday 11 April 2012

Cinta kekasih berair mata, cinta sahabat penawar hati

Salam.


Sudah lebih setahun rupanya semenjak kali terakhir saya bertemu dengan sahabat akrab saya nan seorang ini. Persahabatan yang dimeterai sekian lama semenjak di bangku sekolah rendah, darjah empat secara tepatnya. Jarak antara kami tidaklah jauh namun masa seringkali membatasi jadual pertemuan. Dia dengan dunianya dan saya juga dengan dunia saya. Masing-masing sarat dengan tugasan yang datang dan pergi, silih berganti. Ibarat hari yang berlalu, siang berganti malam, malam berganti siang, saling bersapaan. Begitulah, putaran masa yang tidak pernah berhenti walau sepicingpun, kecuali apabila tibanya janji Allah - apabila putaran alam tidak lagi mengikut sunnahtullah.


Lama nian saya mengepung rindu sebenarnya. Namun saya akui, saya lebih banyak mendiam dalam kepompong justeru hajat saya memetik bintang di malam purnama belum jua kesampaian. Lalu niat untuk bersosial secara sendirinya bukan lagi menjadi satu keseronokan yang dicari. Namun, kerana persahabatan dan nilai ukhuwwah kami sudah melebihi saudara kandung, lalu ingatan saya kepadanya tidak pernah luntur. Suatu hari, saya menggagahi diri untuk mendail nombor telefon bimbitnya. Terkejut barangkali dia, apabila menerima panggilan saya itu setelah sekian lama beruzlah dan menyendiri dalam dunia sepi seorang abdi kepada tuntutan ilmi.


"Kamu, tetap dalam ingatan. Walau jauh, walau dekat - kerana kamu itu tidak bisa aku luputkan dalam ingatan. Kamu itu penuang semangat yang menyalakan dian perjuangan. Kamu itu penasihat aku kala diri ini dalam ruang keliru," ujar saya.


Kala itu, dia baru sahaja memulakan cuti sabatikalnya selama sembilan bulan. Mahu lari seketika dari kekelutan kerja di kampus hijau, di samping mencari ruang untuk diri sendiri - penyelidikan dan hal-hal penulisan kreatif yang telah sekian lama dia geluti, begitu terangnya. Itulah sahabat saya, Dr. K. Sahabat semenajk zaman bocah. Keakraban itu tidak pernah goyah. Saya mengenali hati budinya, walaupun mungkin tidak sampai ke akar umbi, namun saya berani menyatakan yang cara pemikiran dan tatacaranya sungguh saya mengerti. Dalam keseriusan dan ketegasan, dia berjiwa halus. Pekerti mulia sering menjadi hiasan diri. Sifat manja juga turut mewarnai peribadi sahabat saya ini. Dia anak emak! :)


Dia justeru menanyakan kapan kami boleh bersua kembali, mengulangi pertemuan lebih setahun yang sudah - pada tarikh dia menyambut ulang tahun kelahiran. Saya katakan, saya harus menunggu. Sekurang-kurangnya sebulan lebih sebelum benar-benar bersedia menemuinya. Saya sebenarnya rusuh jiwa, lelah minda. Tidak mampu saya untuk berdepan manusia lain di kala saya bergelut dengan kesukaran yang saya hadapi sepanjang menyiapkan penulisan ilmiah saya ini. Mudah-mudahan dia mengerti kala itu bahawa saya memerlukan waktu senggang sebelum saya mampu mengembangkan kelopak.



Baru-baru ini, dia menghubungi saya.  "Bila agaknya kita boleh bersua?"
Saya tidak berfikir panjang, kerana tempoh sebulan sudah lepas lalu janji harus saya kotakan. Ditambah pula saya memang berhajat menemui dia, sekurang-kurangnya untuk 'mengecas' semangat untuk terus berlari, atau paling tidak untuk  terus merangkak menuju destinasi bintang di sebalik bulan.


"Kita jumpa Isnin depan." Jawab saya seraya mengesyorkan tempat pertemuan di Laman Pujangga. Tentunya untuk para pujangga mengukir idea, memahat kenangan dan syair mesra :). Dia bersetuju.


Isnin itu tiba jua.
Atas beberapa sebab, kami menukar tempat pertemuan. Kali ini menuju restoran nasi beriyani. Namun hampa kerana kerja-kerja penyelenggaraan sedang dijalankan pada hari tersebut lalu kami terus melabuhkan punggung di Little Perak. Dan oh, kebetulan juga, suami saya dan suami dia berasal dari Perak!


Kay oh Kay.
Saya lihat dia sedikit berisi. Namun itu tidaklah menghairankan kerana dia kini sedang berbadan dua. Alhamdulillah, rezeki Allah .. Saya tumpang gembira. Meski perut berisi, itu tidak membataskan kami menikmati hidangan tengahari yang disulami bicara mesra - dari sekecil perkara sehingga yang sebesarnya. Banyak perkembangannya yang tidak sempat saya ikuti. Dia turut berkongsi tentang perancangannya di sepanjang dia bercuti sabatikal ini dengan saya. Saya kagum dengan semangatnya. Saya turut berbangga punya sahabat yang berjiwa kental seperti dia. Di kala usia menginjak dewasa, dia jelas seorang pejuang kewanitaan. Sahabat, kamu memang tidak berubah! Kedegilanmu itulah sebenarnya yang menjadikan dirimu sebagaimana engkau sekarang. Faham maksud aku? Kedegilan yang sebenarnya memandu semangat dan jiwamu menjadi segaring matahari, segah gunung. Itulah.


Sewaktu bercerita itu-ini dan ini-itu, dia menghulur lembaran kertas. Cadangan untuk satu projek penulisan katanya dan tanpa duga saya, nama saya tersenarai dalam kelompok penulis. Lucu ah! Namun dia meyakinkan saya agar mencuba. Sememangnya jauh di sudut hati, memang terniat di kabad saya ini untuk menulis sesuatu tentang jerih-perih laluan PhD. Namun tidak pernah saya terfikir ruang itu tiba-tiba terbantang di hadapan mata. Namun saya masih ragu-ragu, bukan kerana soal untuk menyiapkan penulisan bab dalam buku tersebut tetapi kerana hal tesis saya yang belum berkesudahan. Itulah sebenarnya yang menjadi sebongkah beban yang sedang saya pikul di bahu kini. Saya jelaskan juga, jika di saat tarikh akhir penyerahan manuskrip itu saya belum selesai penulisan, maka tergugurlah nama saya daripada senarai yang sepuluh itu. Saya tidak mahu menerbitkan penulisan saya, sedangkan laluan sebeanr belum juga saya bolosi dengan jaya.


Motivasi.
Tentu sahaja perkara tersebut sebenarnya sedikit-sebanyak menyuntik motivasi saya untuk menyiapkan segalanya menjelang Ogos yang sudah tidak berapa jauh lagi itu.
Ya Rahmaan Ya Rahiim .. aku pohon secebis rahmah dan pertolongan-Mu agar perjalanan ini mampu kusudahi kerana aku sudah tidak kuat berdiri lagi...


Sahabat, doakan aku. Perjuangan ini belum berkesudahan lalu apalah yang mampu kulakukan selain terus mengayuh dan mendaki.


Pertemuan kita, meski terbatas dek masa, tetap menjadi penawar. Terima kasih di atas perkongsian cerita dan pengalaman, tidak lupa atas semangat yang sering kau tebarkan. Semoga Allah memberkati ukhuwwah kita selamanya. Titipanmu buat aku dan anak-anak sungguh istimewa sahabat, berbanding ingatan kecilku yang tiada harga. Terima kasih sekali lagi.


Matahari garing di pundak kala kami melangkah keluar menuju ruang parkir.
Berpisah kami di situ. Mudah-mudahan akan ada pertemuan menyusul kemudian hari, insyaAllah ..


Sengaja aku membawa pantun ini sebagai menghargai persahabatan yang kita bina, Kay:




Laman istana berbatu-batu,
Laman ditanam si pohon ara;
Teman ketawa beribu-ribu,
Teman berduka boleh dikira.

Mawar berduri di dalam taman,
Indah kembang bersama dahlia;
Bila sendiri ku damba teman,
Derita melayang berganti bahagia.

Kota merintih ditimpa sengketa,
Kota berdebat berhasad dengki;
Cinta kekasih berair mata,
Cinta sahabat penawar hati.

Pohon amra buahnya lebat,
Dipetik sebiji si dara sunti;
Mekarlah cinta dua sahabat,
Semerbak seri penyejuk hati.



  

4 comments:

  1. sahabat
    terima kasih atas kenangan yang tercipta, terima kasih atas manisnya ikatan persahabatan yang utuh sentiasa!

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah, dengan rahmat Allahlah jua silaturahim kita menjadi seutuh ini. Mudah-mudahan saja ia kekal hingga ke hujung nyawa. Akupun sama, terima kasih di atas segalanya! :)

    ReplyDelete
  3. salam sahabat...

    Al-Qamah dalam wasiat kepada anaknya ketika menjelang wafatnya:

    " wahai anakku,jika engkau perlu bersahabat dengan seseorang,maka bersahabatlah dengan orang yang jika engkau berkhidmat kepadanya,dia memeliharamu,jika engkau menemaninya dia menghiasimu,dan jika engkau kehilangan kehidupan,dia mengasihimu."

    " Bersahabatlah dengan orang yang jika engkau hulurkan tanganmu untuk kebaikkan,dia menyambutnya,jika dia melihat kebaikan padamu,dia menghitungnya,dan jika melihat kejelekan padamu,dia menutupinya ".

    " Bersahabatlah dengan orang yang jika engkau meminta kepadanya,dia memberi,jika engkau diam,dia datang padamu,dan jika engkau ditimpa musibah dia menolongmu ".

    " Bersahabatlah dengan orang yang jika engkau berkata,dia membenarkan perkataanmu,jika engkau berusaha mencapai sesuatu dengan tipu daya,dia menasihatimu,dan jika kamu berselisih dengannya,dia lebih mengutamakanmu.."

    indahnyeee bersahabat kerana ALLAH ^__~

    ReplyDelete
  4. Salam sahabat saya Cun,
    Aduhai ... sungguh indah lagi bererti titipanmu itu Cun. Terima kasih dan saya benar-benar menghargainya .. memang, nilai sahabat itu umpama permata .. kerana dialah juga yang membentuk diri kita, sama ada bisa tergolong sebagai ahli syurga atau sebaliknya, nauzubillah ...

    Terima kasih jua atas persahabatan kita, mudah-mudahan ia mendapat rahmat Ilahi :))

    ReplyDelete