Monday 23 April 2012

Lain padang lain belalang

Jika dalam konteks epistemologi dalam penyelidikan, terdapat dua mazhab utama yang seringkali dibahaskan, malah menjadi asas penting untuk difahami dan dicerna sebelum seseorang penyelidik itu menjerumuskan diri dalam penyelidikan secara ilmiah. Namun di sini, saya tiada niat untuk mengupas kedua-dua mazhab atau 'epistemological considerations' secara panjang lebar kayak di kelas saya setiap Jumaat itu.

Saya hanya ingin memetik betapa golongan interpretivis banyak berpegang pada kepercayaan bahawa setiap manusia itu adalah berbeza antara satu sama lain. Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Lain padang lain belalang. Lain lubuk lain ikannya. Mungkin ini antara peribahasa yang memberi gambaran maksud yang lebih kurang sama, meski penggunaannya barangkali menyusup ke dalam konteks atau pemahaman yang berbeda. Apa-apalah .. yang utama, saya cuma sekadar mahu menulis tentang sikap menusia yang berbeza. Banyak contoh perbezaan manusia, namun ingin sekali saya 'zoom' kan lensa penulisan saya hanya kepada satu skop kecil dalam kehidupan. (Rational saya menyebut tentang interpritivisme di awal tadi kerana saya ingin menegaskan bahawa dek kerana perbezaan antara individu manusia, maka tidaklah boleh sesuatu kejadian atau dapatan itu digeneralisasikan kepada 'semua' individu .. kerana apa yang terjadi hari ini mungkin kerana individu itu sahaja .. dan bukan bermaksud saya mengatakan semua orang adalah sama :) )

Seorang sahabat, pernah datang bertemu saya untuk menanyakan tentang satu bahan penulisan saya. Katanya, dia mohon jasa baik untuk meminjam bahan tersebut. 'Urgent' katanya. 'Penting' pula untuk satu sebab yang membuat saya cukup prihatin untuk membantu. Lalu janjinya, sekadar seminggu. Itupun jika saya izinkan. Paling minimum dia meminta tiga hari. Oh, saya katakan bahawa bahan itu boleh saja dia rujuki dan saya tidak ada sebarang perancangan untuk merujuk bahan penyelidikan saya itu dalam tempoh terdekat, dan dia pula meyakinkankan saya bahawa seminggu sudah lebih dari cukup.

Namun itu cerita tiga bulan yang lalu.
Hari ini, saya memerlukan bahan tersebut kerana beberapa pelajar sarjana datang mengetuk pintu bilik untuk mendapatkan bahan tersebut sebagai panduan penulisan usulan kajian ilmiah mereka. Malang nasib mereka kerana bahan tersebut masih di tangan peminjam pertama.

Saya katakan kepada mereka bahawa saya akan mendapatkan semula bahan tersebut sebelum Selasa minggu ini. Lalu tadi saya menelefon sahabat budiman itu. Beberapa kali saya mencuba, tiada juga dijawabnya. Saya menghantar teks pesanan ringkas. Semenjak pagi hari, sehingga ke saat ini, tiada juga mendapat respon.

Barusan saya menelefonnya sekali lagi dengan harapan agar dapat juga saya menyampaikan niat dan hajat di hati untuk menyunting semula bahan pinjamannya  yang sudah menjangkau tempoh tiga bulan itu.
Tup-tup .. satu pesanan ringkas saya terima.
"Aku ada hal. Tak dapat jawab telefon. Telefon aku balik esok."

Aduh. Begitukah gayanya? Manis sungguh. Beginikah caranya dia menjawab pesanan saya. Sekurang-kurang maklumkanlah bila saya boleh mendapatkan bahan itu semula. Hmm ... terganggu sedikit emosi saya.  Seboleh mungkin saya tidak mahu merencatkan tugasan yang sedang saya usahakan semenjak pagi tadi ini. Masih ada berbaki satu jam lebih rakaman audio yang memuatkan perbincangan saya dengan penyelia, Linda  yang turun ke Malaysia seminggu yang sudah. Saya perlu menyiapkan laporan perjumpaan untuk tatapan penyelia pertama, Gordon sebelum meneruskan apa yang perlu saya teruskan dalam penulisan tesis (yang belum berpenghujung iniiii!!!!)

Lihat.
Saya sudah melakukan 'procrastination'!
Gara-gara manusia yang bergelar sahabat budiman itu, tidak semena-mena saya meng'update' blog pula! Alahai ..


Inilah belalang .. tak percaya??? :P

4 comments:

  1. suka saya baca penulisan penulis penulis yg menulis dgn hati..
    penuh makna..
    salam kenal puan.

    ReplyDelete
  2. Salam Wira,
    Terima kasih kerana sudi mampir ke teratak sederhana ini. Begitulah, kadangkala hati kita ini libang-libu, justeru, menulis bisa saja meredakan segalanya :)

    ReplyDelete
  3. salam sahabatku
    memang lumrah kehidupan terpaksa berdepan dengan rencam sikap manusia yang kekadang membuatkan diri kita merona marah; moga kau tetapkan kesabaran kerana persahabatan yang dibina atas dasar tidak luhur, tidak menepati janji dan tidak prihatin memang tidak akan kekal lama. dia akan menyisih daripada kita dan Allah akan gantikan manusia yang lebih secocok dengan jiwa, insya Allah. bukankah ini warna pengalaman hidup?

    ayuh, teruskan langkah mengurusi penulisan tesismu sehingga jaya. anggaplah segala cabaran yang datang hanya untuk menguji keutuhan diri dan keteguhan hati seorang pengembara ilmu dan khalifah-Nya di muka bumi ini untuk menjadi segagah mentari...

    ReplyDelete
  4. Kay,

    Ucapan semangatmu datang tepat pada tikanya, sungguh! Aku jadi keliru kala penyelia kedua meminta aku memasukkan semula satu bab yang pernah aku siapkan setahun yang sudah tetapi terpaksa digugurkan daripada tesis kerana saiznya yang tidak munasabah! Benar ucapmu sahabat, perjalanan hidup masing-masing punya plot yang tersendiri .. kepada-Nya jualah kita kembali ...

    ReplyDelete