Hati tiba-tiba tercuit bila membaca refleksi metakognitif para pelajar yang saya terima lewat petang semalam tentang proses yang mereka lalui di sepanjang aktiviti mereka dalam menyiapkan tugasan untuk kursus yang mereka pelajari itu. Maklumlah, pembentangan kesemua tugasan telah berjaya mereka laksanakan jadi moleklah kiranya saya meminta mereka menulis sebanyak mana yang mereka mahu tentang refleksi terhadap setiap pengalaman tersebut.
Kisah berkaitan pembinaan video saya kira paling menarik kerana di situ banyak cerita - ada yang lucu ada yang serius - ditulis mereka. Sesekali pecah juga dekahan kecil apabila membaca cerita-cerita yang mencuit hati. Apatah lagi bila saya dapat mengaitkan kisah yang ditulis dengan hasil video yang telah mereka tayangkan minggu nan lepas.
Ada satu bahagian di mana beberapa pelajar menulis tentang bagaimana mereka mencipta 'nama karya' atau nama pena. Ada yang mengakui asal usul nama pena mereka itu datangnya daripada gelaran semasa kecil, atau ada juga yang mengaitkannya dengan pengaruh filem serta novel yang pernah dibaca.
Hmm .. saya sendiri kala remaja dahulu sebenarnya ada satu nama pena. AFFARIZU BIJAYA.
Seorang rakan saya berkata, bunyinya kayak dari seberang! Mungkin sahaja kerana ada perkataan Bijaya di belakang. Hahaha .. Sebenarnya ada kisah lucu juga di sebalik kemunculan nama itu. Namun rasanya tidak perlu saya ceritakan di sini kerana itu akan membuat perut saya pecah mahu menghambur tawa bila mengenang kenakalan saya ketika itu!
Namun, saya juga punya sahabat lain yang punya nama pena yang unik. Misalnya, Zusharul Aminahairimi, atau Yushamiza Suzimar atau Kamozaid. Malah saya pernah membayangkan akan membuka satu toko buku bernama KAMARIZA bersama sahabat baik saya itu. Hahaha .. Kay, entah bilakan tercapai agaknya impian murni itu?
Begitulah.
Kata orang apa ada pada nama.
Namun nama itu sebenarnya identiti yang memberi refleksi kepada pemilik nama tersebut.
Saya pasti setiap kita ada kisah berkaitan nama dan semua itu sebenarnya memberi percikan warna kepada pengalaman dan kisah hidup kita. Apatah lagi jika ada peristiwa mencuit hati di sebalik semuanya itu :)
Sedikit renungan:
Hadis riwayat daripada Ibnu Hibban:
'Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, maka perelokkanlah nama-nama kamu".
Wallahu a'lam ..