Thursday 5 December 2013

Tengkujuh yang membawa pesan




Cuti sekolah dan tengkujuh - seperti dua unsur saling berkait rapat. Itu pengertian lewat pengalaman zaman lampau - kala saya masih di sekolah rendah. Berteduhkan langit yang redup atau kadangkala gelap, bertemankan rima hujan yang luruh pada atap zink rumah serta orkestra sang katak sahut-menyahut - merupakan hiasan terindah hadiah daripada alam. Dan saya membesar dalam rutin sebegitu bertahun-tahun lamanya.

Cuti panjang di bulan-bulan November dan Disember kadangkala menjadi satu tempoh yang ditunggu-tunggu. Bukan semata-mata kerana cuti yang merehatkan diri dari berulang-alik menaiki basikal ke sekolah tetapi kerana tengkujuh yang menumpang lalu itulah. 

Mana bisa saya lupakan pengalaman mandi pagi pada jam sebelas atau dua belas - gara-gara cuaca di luar yang begitu dingin menggigit kulit, semilir angin yang tajam menusuk roma. Atau bemain-main di pinggir kali dengan kakak saya sambil memerhati anak mata air yang baru terhasil - dari lubang kecil itu keluarnya air nan jernih mengalir melewati umbut keladi yang melata tumbuhnya di sisi tapak perigi. 

Suatu masa dahulu juga, air melimpah membentuk banjir kecil di sekeliling kampung. Kebetulan di hadapan rumah lama kami ada lembah yang bersambung dengan terowong laluan air, lalu tempat itu menjadi tumpuan anak-anak kampung baya saya bermain air. Besen besar milik emak yang digunakan untuk membilas basuhan kain kami jadikan sampan kecil dan oh, sempat pula bermain perang air! 

Cuti panjang November-Disember itu juga banyak saya habiskan dengan membaca buku-buku cerita atau novel yang dibekalkan arwah ayah. Kadangkala saya mengulang baca majalah lama dan klasik milik kakak sulung seperti Dewan Pelajar dan Salina. Aktiviti membuat buku skrap juga menjadi pilihan. Antara yang saya ingat adalah buku skrap tentang jenis-jenis tumbuhan serta ikan. 

Mengulit kenangan lalu yang tidak mungkin dapat saya ulangi lagi membuat rusuh hati merindu kampung halaman serta zaman kanak-kanak yang lama ditinggalkan. Sementelah pula saya baharu saja mendapat berita tentang keadaan banjir yang semakin teruk di Kemaman, tanah kelahiran. Ujar anak saudara saya yang tinggal di Pandan melalui talian telefon sebentar tadi, bukan sahaja bekalan air dan elektri terputus, malah talian telefon juga tidak berfungsi lagi di Kemaman. Mujurlah semalam saya sempat berbual dengan bonda dan kakak saya bertanya khabar. Allah .. Allah .. Engkau rahmatilah sekalian ahli keluarga dan mereka yang menghadapi ujianmu di sana. Sesungguhnya, banjir kali ini suatu 'pesanan' buat kita - bahawa dunia sudah semakin tua, justeru siap siagalah dengan bekal yang sebaiknya. 

p/s: Di rumah kakak sulung saya katanya cuma tinggal empat batang lilin lalu terpaksa dicatu sebatang untuk satu malam :(  

Lalu terputus di bandar Chukai (Sumber di sini)

4 comments:

  1. Fariza,
    Ya, tengkujuh begitu memberikan memori nan indah; dan musim bah kali ini tentunya membawa muhasabah yang bukan sedikit buat kita sebagai ibrah. Mendoakan ranah kelahiran kita sentiasa dalam perlindungan Allah. Dan tetiba sahaja ada sebak yang mengepung dada mengenang rindunya aku pada bumi bernama kelahiran yang begitu menggugah!

    ReplyDelete
  2. Ada waktu waktunya hujan yang turun itu adalah air mata langit yang lelah membendung kekecewaan kerana melihat keingkaran manusia... lalu air mata itu mencurah curah membanjiri bumi memusnahkan kehidupan. Tingkah hujan itu bukan sia sia. Ia berbicara memberi pesan kepada manusia namun adakah kita memahaminya atau sengaja tidak mahu memahaminya? Benarlah kata katamu itu Datin!

    Eh, emo pulak saya kali ini ;)

    Jom makan kek kurma!

    Salam :)

    ReplyDelete
  3. Kamariah,

    Rindu itu memang sentiasa mengepung ruang dada, apalagi mengingatkan bonda yang kian uzur di sana .. sesekali menjejak pulang ke tanah kelahiran, tempat bermain dan jatuh membuat kita sedar betapa waktu sudah terlalu lama pergi .. semoga ingatan ini menjadi ikatan yang mengukuhkan silaturahim kita ye !!

    ReplyDelete
  4. Datuk Seri Rampai,

    Duh, Datuk gembira kerana berpelaung lagi kita berceloteh! Lama nian menyepi diri (sayalah tu) namun yang pasti silaturahim kita masih terpelihara insyaAllah!
    Oh! Benar sekali Datuk, hujan turun membawa pesan .. untuk di'postmortem'kan oleh mata-mata hati yang masih terbuka ..

    Enaknya kek kurma! :D

    ReplyDelete