Tuesday 10 December 2013

Hidup berbudi


Hidup ini ada timbal baliknya. Perkara baik dibalas kebaikan dan begitu sebaliknya. Namun sejauh mana kita mahu berbuat baik - berbuat baik yang dilandasi pula dengan aspal keikhlasan kerana-Nya?

Kadangkala kita terlupa bahawa kebaikan yang kecil, akhirnya dibalasi dengan rahmat dan balasan yang tiada disangka-sangka. Balasan itu pula bukanlah dalam bentuk wang ringgit, tetapi jauh lebih bererti daripada itu. Pernahkah kita dalam satu-satu masa mendapat faedah kesenangan yang tidak pernah kita fikirkan - semua  urusan kita menjadi lurus, atau sekonyong-konyongnya datang 'solution' yang tidak kita sangka kepada apa juga bentuk masalah kita pada hari tersebut. Dan kebaikan dalam bentuk sebegitu rupa tidak datang sendiri tanpa redha-Nya, dan itulah balasan ke atas kebaikan (biar kecil) yang pernah kita lakukan (kerana-Nya). Pembalasan baik itu sungguhpun tidak berlaku secara langsung atau terus, ia barangkali terjadi lama setelah semua itu berlaku. Hal ini juga membabitkan keburukan atau kebejatan yang pernah kita lakukan - lambat laun keburukan juga menanti kita. Lalu jika mata hati kita terbuka, kita akan menyantuni hakikat bahawa, apa yang kita perolehi adalah sebenarnya hasilan daripada apa yang kita 'beri'.

Oh! Saya merenung jauh ke dalam diri, mencari sifat ikhlas untuk membantu dan di sudut mana ia berada. Sukarkah mengeluarkan sifat itu dari ruangnya, untuk diterjemahkan dalam perbuatan untuk kebaikan sesama manusia? Begitulah, sebelum menghukum orang lain, kita semaklah diri sendiri kerana hanya dengan mendalami makna diri, kita tidak akan merungut lagi. Sibukkanlah diri dengan memperkukuh iman dan peribadi, bukan menjaja keburukan orang walau hakikatnya kita sendiri yang merasa kesannya :)

Seorang sahabat pernah berkata: "Hadiah kebaikan paling berharga adalah doa kesejahteraan untuk kita daripada mereka yang pernah kita tolongi".





4 comments:

  1. Fariza sahabatku,
    Ya, musabab itu Islam mendorong umat-Nya menjadi seorang yang "budiman"; sentiasa memberi budi walau kekadang diri terluka dan dilukakan. Tetapi pasti ada imbuhan dan ganjaran yang muluk diberikan-Nya walau bukan hari ini, pasti hari esok. Begitu hayat hidup ini sebelum kita dipanggil pulang,,,

    ReplyDelete
  2. tuai padi di waktu pagi
    petang nanti berseloka di serambi
    seikhlas hati hidup berbudi
    berbalas nanti reda Ilahi

    cewwaaah! :-D

    Salam Datin,
    Agak beku otak pagi ini untuk saya berceloteh... lalu saya berpantun ;-)
    Barangkali saya perlu berehat seketika dan minum jus serai suam suam panas untuk menyegarkan minda... jom!

    ReplyDelete
  3. Kay,
    Begitulah pesananku buat diri sendiri .. agar tidak terlalu 'meminta' sedangkan aku mungkin kurang 'memberi'. Namun alangkah molek dan indahnya jika kedua-duanya dapat diimbangi kan?




    ReplyDelete
  4. Datuk Seri, (sambil bersimpuh di tikar mengkuang sambil membetul-betulkan hujung selendang):

    Berseloka ria anak kembara
    Merawat luka rawan di hati
    Redha Ilahi dambaan hamba
    Kekal terpelihara silaturahmi

    eh eh .. macam tak comell je! macam tak cantikk jee pantun hamba!

    Jus serai? Nak!

    ReplyDelete