Tuesday 10 December 2013

Persatuan Orang Bujang



Iye, benar. Ia nama sebuah persatuan atau nama ringkasnya POBUM (Persatuan Orang Bujang Universiti Malaya). Pertama kali saya mengetahui kewujudan persatuan ini adalah sewaktu saya masih di tahun kedua di Universiti Malaya. Kala itu, saya dan beberapa rakan lain berada di kedai serbaneka Kolej Tunku Kurshiah atau juga dikenali Kolej Ketiga. Kebetulan, ada dua jejaka mengenakan baju T berwarna hitam dengan cetakan POBUM di belakangnya, dan di barisan bawah tertera perkataan 'Persatuan Orang Bujang UM' jadi tahulah saya makna POBUM yang sebenarnya. Hati bagai digaru dan digeletek. Mahu ketawa tapi menahan sehabis daya.

Dan oh, penemuan itu tidak sudah di situ. Menjelang makan malam di dewan makan kolej (saya di Kolej Bestari atau Kolej Keempat), kami masih memperkatakan tentang POBUM. Mungkin kerana kala itu masing-masing masih bujang dan 'available' kewujudan POBUM menarik minat segelintir kami untuk turut sama menganggotainya! Malang sekali, hasil risikan rakan-rakan, kami mendapat tahu bahawa POBUM hanyalah persatuan yang khusus untuk siswa sahaja.

Hemm .. seperti tidak berpuas hati. Lalu sekonyong-konyongnya tercetuslah idea menubuhkan Single Lady Society (SLS) khusus untuk siswi dan setiap orang ada 'pangkatnya' tersendiri. Syarat keahlian pula mestilah betul-betul bujang dan tidak berpunya! Mana-mana ahli yang dikesan menjalin hubungan cinta, secara automatik gugur keahliannya. Jawatan Presiden pula haruslah yang paling 'tegar' dari sudut kebujangan (hahahah! bagaimana nak mengukur 'ketegaran' itu??). Saya sempat diangkat sebagai setiausaha sebelum mengambilalih jawatan presiden apabila presiden yang asal tergugur keahlian dengan sendiri setelah dikenalpasti mula menjalin hubungan dengan seorang pelajar senior di kolej yang sama! Duh .. gelihati benar kala mengimbau kembali kenangan lama di universiti kala menjalani kuliah Ijazah Pertama.

Bila diingat kembali wajah-wajah ahli SLS, rasanya kesemua mereka sudah punya keluarga sendiri. Namun ingatan kepada kenangan zaman gila-gila remaja pastinya tidak dapat dikekang dek waktu biar berapa lamapun masa sudah meninggalkan saat itu.

Adakah sekarang wujud juga persatuan 'atas angin' seperti zaman lampau saya? Namun yang pasti, ramai pelajar saya yang menganggotai Persatuan Kerja 'Last Minute'. (",)









2 comments:

  1. Izariza,
    Eh, aku tidak tahu pun ada POBUM, hahaha. Elok juga kau mencatat tentang kenangan pengalaman lalu; begitu mengimbau kenangan di kampus Lembah Pantai...memang membahagiakan pabila mengenang memori lalu...Oh, kau pun rupanya ada persatuan ya SLS lagi, hehe...ustazah oh ustazah...

    ReplyDelete
  2. Kamariah

    Oh oh .. mungkin tidak sempat kita berkongsi kisah POBUM apa lagi setelah kau pula asyik aku jadikan kaunselor merangkap Dr. Cinta hahahaha

    Itulah .. kenangan lalu manakan bisa terhakis dek masa ... aku terkadang heran bagaimana mereka yang lain sukar mengulang ingat kenangan lalu.

    ReplyDelete