Saturday 14 December 2013

Catatan penyair lara




Assalamualaikum,

Apa khabar sahabatku Hana? Semoga kau sentiasa dalam redha-Nya sepanjang masa. Maaf andai coretan ini tiba-tiba saja datangnya; selepas bertahun-tahun lamanya tiada kita berceloteh. Aku tahu, engkau tidak akan bisa membalas apa yang sering aku catatkan, namun cukuplah sekadar engkau tahu apa yang aku rasa. Itu sudah cukup memberi aku kepuasan, dan percaya atau tidak, menulis untukmu cukup untuk memberi aku sedikit kekuatan untuk lebih percaya kepada diri. Terima kasih Hana. 

Tidak layak aku menyumpah masa itu sebagai kejam kerana putarannya yang terlalu laju sehingga lelah aku mengejarnya. Tidak layak juga aku menempelak masa justeru lariannya yang pantas sehingga hampir luluh harapanku menggapainya. Duduk sendiri, merenung ke dalam diri, menilai apa yang berlaku di sekeliling, membuat aku sendu. Benar Hana, aku jadi malu sendiri kerana sebenarnya akulah yang harus dibicarakan di atas rasa ini. Bukan masa, bukan waktu dan bukan orang lain, sebaliknya akulah. 

Akur diri ini bahawa kitalah yang bertanggungjawab ke atas kehidupan kita. Menuding jari kepada manusia lain hanyalah perbuatan manusia pengecut yang tidak mahu mengakui kelemahan diri. Aku sudah mengerti kini Hana. Mengerti bahawa Allah itu sentiasa ada, terlalu dekat dengan kita. Mengerti akan luasnya maghfirah Ilahi! Yang perlu hanyalah kesediaan untuk merenung ke dalam diri, mencari di mana nur-Nya. 

Kau aminkanlah doaku. Dalam doaku aku menyebut kesemua mereka yang kusahabati, aku memohon rahmat dan pertolongan-Nya agar segala urusan kami dipermudahkan, serta niat kami disucikan, dan segala perbuatan kami menjadi buah-buah pahala yang lazat. 

Langit senja sudah tiba. Garis-garis merah di horizon semakin pekat di atas sana. Riuh sekawan burung yang terbang rendah tadi membisik bahasa angin. Aku perlu segera pulang. 

Sahabatmu,
Penyair lara





2 comments:

  1. Hati saya menjadi lara usai membaca catatan ini. Menyoal diri kemudiannya, mencari letak diri di mata Ilahi. Terima kasih Penyair Lara atas catatanmu ini. Saya bisa menimbang kembali diri yang sangat daif ini. Alhamdulillah.

    Salam Datin Zariza sahabat mayaku, maaf kerana sedikit tulisan di atas itu agak emo bunyinya. Semoga kita semua sentiasa istiqamah membaiki diri dalam perjalanan pulang kembali kepadaNya. Aamiin.

    Tak rasa nak minum apa-apa :-(

    ReplyDelete
  2. Salam penuh kemesraan sahabatku Rampai,
    Nah .. begitulah laranya rasa hari penulis itu kala merah langit di remang senja mengusik jiwa lalu terkenangkan soal diri dalam perangnya bersama masa .. bukankah kitak suci kita sudan menyentuh tentang bagaimana kita harus berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran dan bagaimana manusia itu penuh kerugian kala membiarkan masa mudanya kosong, masa sihatnya lohong tanpa butir input untuk meraih seuncang pahala .. mudah-mudahan sahaja jiwa kita sentiasa diingatkan, justeru kerana kita ini manusia yang sentiasa lupa!

    Jemputlah minum Ribena .. mudah-mudahan kembali keceriaanmu :-)

    ReplyDelete