Tuesday 3 December 2013

Saya mahu duit halal

I don't care about motivation. I care about credibility (Eliot Spitzer)

Dua puluh empat. Tidak berlebih dan tidak berkurang. Ya, dua puluh empat jam - pinjaman masa yang diberikan Allah buat semua manusia tidak kira siapa, di manapun dia berada. Sama ada kita bijak mengurusinya, atau kecundang di batas masa, jawapannya tentu ada pada diri sendiri.

Minggu ini merupakan minggu ke 12 kuliah mengikut hukum semester, bermakna tinggal lagi dua minggu berbaki untuk menyempurnakan semester pengajian sesi 1 2013-2014 ini. Rata-rata pelajar saya sudah mempamer seribu riak wajah apabila ditanya tentang tugasan. Pembentangan pula kian rancak dijalankan sebagai syarat yang dipersetujui sebelum ini. Hari ini sahaja, saya menilai lapan pembentangan.

Jam 1 tadi saya didatangi pelajar tahun akhir yang mana saya ditaklifkan sebagai penyelia untuk projek penulisan ilmiah. Beliau baharu sahaja menghantar penulisan Bab Duanya dan pertemuan tadi menjurus kepada maklum balas saya seputar penulisannya itu. Beberapa perubahan kecil saya cadangkan khususnya dalam mengkategori dapatan-dapatan terdahulu agar lebih bertema serta tidak 'berserak' di sana-sini. Saya juga minta dia bentangkan cadangan sub topik untuk bab metodologi kajian secara lisan agar saya dapat mengetahui sejauh mana persediaannya untuk melangkah ke bab seterusnya. Meski tersekat-sekat namun dia mencuba. Beberapa kali dia menutup wajah dengan helaian kertas nota di tangannya kala saya memberi beberapa soalan menduga.

Hampir satu jam menekuni penulisannya, akhirnya kami tiba di penyudahan. Ujarnya, ada sebilangan daripada rakannya masih terkial-kial mencari tajuk penyelidikan; penyelia sukar ditemui; janji tidak ditepati penyelia. Malah seorang pelajar lain pernah membilang kepada saya bahawa penyelianya tidak memberi bimbingan khusus malah tiada maklumbalas membina - melainkan komentar negatif belaka. Saya pasti perkara-perkara ini membuat mangsa menangis tidak berlagu.

Saya tidak memberi komen panjang tentang itu kepada pelajar saya. Sejurus selepas dia menyalami saya, saya bisikkan kepada diri : 'Saya mahu gaji yang halal - lalu segala tugas harus saya ladeni sebaiknya, segala hak pelajar harus saya berikan sepenuhnya. Kalau pelajar tidak redha dengan saya, dan merasa diri mereka dizalimi, saya khuatir mereka akan mendoakan perkara-perkara buruk buat saya, sedang saya tahu doa orang yang dizalimi makbul di sisi-Nya.Allahu Rabbi!'

Mata saya tiba-tiba berair.

2 comments:

  1. Izariza,

    Sememangnya mencari yang halal itu penuh duga yang menuntut pengorbanan dan redha. Moga kita tergolong dalam "pendidik" yang berusaha memberikan yang terbaik buat ummah serata raya, dan segala ilmu yang dikongsi menjadi amal jariah setelah kita pulang bertemu Yang Maha Pencipta.

    Ayuh, kita tulis sebagaimana yang dijanjikan ya:-)

    ReplyDelete
  2. Sahabatku Kamariah

    Mencari redha Ilahi bukan perkara enteng .. mudah-mudahan hati-hati kita sentiasa ingat dan diingatkan

    InsyaAllah, jika ada izin-Nya :)

    ReplyDelete