Tuesday 31 March 2015

Hati nan alpa



Seperti tempoh-tempoh yang telah lama berlalu, dia masih dengan rutin gila; duduk-duduk di meja penjuru rumah kopi di hujung petang sambil jemari mengetuk aksara di papan kekunci sambil sesekali mulutnya terkumat-kamit membaca kuat ayat-ayat yang dibentuk. Maklum, bahasa yang digunakan dalam pengarangan bukan bahasa ibunda lalu sesekali memerlukan proses membaca kuat agar betul bunyi dan sususan bahasanya.

Hingar-bingar manusia di sekeliling sedikitpun tidak menjadi faktor ekstranus yang menggangu-gugat penulisan. Cuma sesekali dia mengangkat pandang ke kiri-kanan setiap kali kole berisi kopi panas itu diletak semula ke meja. 

Menulis dan terus menulis. Begitu banyak sekali perancangan untuk penghasilan karya-karya akademik namun dek kerana kurangnnya kosentrasi kepada yang satu, lalu fokus itu mencapah-capah jadinya. Implikasinya, setiap artikel bertompok sana-sini. 

Biarlah. Dia lebih senang bekerja seperti lebah. Sedikit demi sedikit. Mudah-mudahan akhirnya siaplah juga. Dia tidak mahu terlalu menggila dalam penulisan, biarpun ibu dekannya sesekali mengaum juga ketika musyawarah peringkat fakulti akan kecilnya jumlah penerbitan ahli. 

Tahun 2015 ini merupakan satu pengalaman baru kerana dia, bersama rakan rapatnya, mereka kembali menjadi pelajar. Bukan. Bukan PhD. Oh tidak sanggup ingin diulangi lagi fasa PhD. Bukan. Kali ini dia dan rakannya bersama-sama menadah kitab bersama tuan guru yang penuh hikmah dalam mengatur ayat setiap kali kuliah di malam Selasa itu. Barangkali kerana kuatnya aura tuan guru, lalu kehadiran saban minggu itu tidak pernah dirasakan berat, malah ketibaan hari kuliah sentiasa dinantikan. 

Hujan rahmat turun tiba-tiba. Dia, melempar pandang ke luar jendela kaca dari meja tempat duduknya. Allahku, masa yang pergi terpaksa kulepaskan pergi, namun waktu yang bakal kutempuhi ini, Kau berkatilah ia. Limpahi kami dengan redha dan maghfirah-Mu, kurniai kami ilmu yang bermanfaat serta amalan yang berganda. 

Telefon di sebelah tiba-tiba mendecit. 

"Jangan lupa tarikh akhir penyerahan bab penuh, Jumaat ini.
                                                                                      Dr. R" 

Oh oh .. dunia ini terlalu mengejar sehingga bisa menghambat kita ke pintu neraka! Allahku, aku memohon pengampunan daripada-Mu jika diri ini terlalu cintakan dunia, sehingga lupa akhirat yang menanti itu sesuatu yang abadi, pasti. 






2 comments:

  1. Hati bagaikan obor. Sering ditiup angin. Melintuk kiri kanan. Adakala obor itu menyala terang, ada waktunya ia mengecil. Biasalah tu. Tapi jangan biarkan obor itu padam terus.

    Datin Zariza, doa saya moga apa jua yang dipelajari mendapat berkat dariNya. Ilmu perisai iman. Insyallah.

    Eh, apa pulak pepagi ni saya serius banget ???
    Oh, belum sarapan rupanya!
    Jom sarapan... :-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Datuk .. hehehe .. hanya beberapa pagi sahaja lagi berkesempatan minum pagi sebelum Ramadhan menjenguk tiba! Jom .. Nasi Dagang di Pintu 1 Putrajaya sungguh mengasyikkan! :)

      Delete