Saturday 8 June 2013

Manisnya silaturahim





Alhamdulillah, masa yang datang dan pergi bersulam rasa nan pllbagai rencah. Biarpun begitu, kesibukan yang melanda tidak pernah saya kesali kerana pengalaman mengenali mereka, pelajar dewasa di kelas sarjana begitu mengubat rasa. Ini merupakan semester ketiga saya bertanggungjawab sebagai pengajar di kelas Research Method dan kumpulan ketiga inilah yang paling membekas di jiwa. 

Rata-rata mereka guru di sekolah yang datangnya ke fakulti atas tajaan sendiri. Saya senang berkongsi cerita dan sedikit pengalaman dalam menjalankan penyelidikan dengan mereka. Saya bercerita sepenuh jiwa dengan harapan menggunung bahawa mereka bakal mengadaptasi segala cerita suka duka saya dalam perjalanan penyelidikan mereka pula. 

Biar bagi sesetengah rakan fakulti berpendapat bahawa tugas mengajar Kaedah Penyelidikan sebagai satu beban berat, namun saya sukacita menyanggahnya. Malah, pengalaman ini sebenarnya memupuk kefahaman saya dengan lebih mendalam tentang aspek reka bentuk penyelidikan. Hasil soal jawab, rujukan dan diskusi yang berterusan sekaligus melahirkan seorang saya yang lebih yakin dengan pemahaman yang ada. Alhamdulillah. 

saya terima tugasan ini dengan hati terbuka, jiwa redha sepenuhnya dan tidak sesekali akan saya tolak peluang untuk memegang kuliah seumpama itu lagi pada semester mendatang. 

Di kuliah terakhir, tidak semena-mena saya dihadiahi sesuatu yang istimewa. Sesuatu yang tidak pernah saya harapkan dan impikan. Wakil kelas menelefon saya, bertanya di mana saya pada tika itu. Kebetulan saya di foyer fakulti lalu saya diminta menunggu sebentar. Saya akur kerana terfikirkan yang mungkin ada perkara hendak mereka tanyakan. 

Salah seorang mereka menghulurkan beg kertas merah. Katanya sebagai tanda ingatan di atas ilmu yang dikongsi, sekaligua kerana silaturahim yang terbina. Alhamdulillah, perkataan silaturahim itu membekas di hati saya. Terima kasih semua, kerana menerima saya seadanya. 

Ya Allah, permudahkanlah segala urusan pembelajaran kami dan tetapkanlah hati kami dalam keimanan. 


No comments:

Post a Comment