Tuesday 17 June 2014

Binjai itu






Binjai, Kemaman. Tapi saya pernah tahu yang di Kelantan juga ada tempat bernama Binjai. Mungin di daerah-daerah lain juga ada yang bernama Binjai, namun tiada dalam lembar pengetahuan saya.

Binjai, daerah sepi. Mungkin kerana bila berpeluang kembali ke sana, tiada lagi dapat saya dengar hilai tawa anak-anak saudara yang bocah bermain basikal atau zero point di laman rumah, atau mungkin juga kerana tiada lagi suara-suara kecil memberi salam dari beranda rumah untuk menghadiri kelas mengaji al-Quran di rumah bonda. Sepi kerana hanya beberapa kali dalam setahun saya berpeluang kembali ke laman kenangan itu. Namun Binjai tetap di hati. Kerana di situ saya membesar, di kelilingi kasih sayang ibu, ayah dan kakak-kakak, serta tidak kurang pula rakan-rakan yang penuh asyik dengan pembelajaran, dan sukan malah.

Ingatan kepada Binjai begitu membuak. Apatah lagi, seorang rakan baik saya dari daerah yang sama; Dr. Kamariah Kamarudin mempelawa saya menggeluti dunia penulisan dan paling mengesankan, beliau meminta saya menulis tentang zaman kanak-kanak serta remaja kami ketika ranah Binjai itu kami diami. Apa yang harus saya tulis?, soal saya bingung. Sementelah saya bukanlah terlahir dalam golongan penulis sastera moden seperti beliau. Lalu ungkapan itu merupakan persoalan yang wajar saya utarakan.

"Kau tulis sahaja setiap yang terlintas di benak fikir."

"Hatta hal-hal kecil tapi signifikan."

"Aku cuba inshaAllah." Lalu kulit kepala yang tidak gatal tiba-tiba minta digaru. Heh!

"Setiap impian, jika disusuli usaha, doa dan tawakkal pasti berbuahkan hasil." Suara bonda tiba-tiba singgah di bahu fikir. Teduh angin petang yang menyapu pipi terasa dingin dan selembut sentuhan bonda.

"Binjai itu."  Saya mula merangka-rangka. Aneh. Banyak sekali yang ingin saya perkatakan rupanya!
 

2 comments:

  1. Belum habis beraya nampaknya seorang Datin ini ;-P
    Senyap sepi ruang blognya :-)

    Binjai juga sebuah nama buah kan? (soalan larut malam yg entah apa apa. aah...sebenarnya ia penghangat bicara antara kita)

    Salam Aidilfitri buatmu sahabat. Mohon maaf zahir dan batin.

    ReplyDelete
  2. Salam Eid MUbarak jua buat sahabatku Datuk Seri yang wangi heheh
    Lama nian menyepi - saya dan dirimu! Barangkali banyak menelusuri makna hidup sebagai bekalan diri Datuk?

    Umur sebegini, berseronok di Aidil Fitri tidak lagi menjadi prioriti .. sebaliknya lebih kepada refleksi .. tentnag tahap hubungan dengan Pencipta serta makhluk-Nya. Semoga yang idnah-indah buatmu Datuk ^__^, maaf jua zahir dan batin ye!

    ReplyDelete