Saya sudah lama tidak menjenguk toko buku yang menjadi kegemaran ketika masih tinggal di kawasan perumahan yang lama. Baru-baru ini, saya berkesempatan berkunjung lagi ke situ. Hati terus menjadi teduh, jiwa gundah menjadi kendur. Begitu apa yang saya rasa kala menjejakkan kaki masuk ke ruang toko itu. Bukan kerana indahnya hiasan dalaman, atau rekabentuk dan susun letak (meskipun itu juga satu faktor) namun yang lebih memberi kesan adalah kerana alunan merdu bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang tidak putus diperdengarkan. Saya percaya, itulah yang membentuk 'aura' di ruang toko buku tersebut. Jiwa halus terus sahaja tenang dan seolah-olah mendapat 'dzuuk' yang tersendiri. Sama seperti perasaan bila mana duduk-duduk beriktikaf di penjuru masjid, apatah lagi kalau lokasinya di Masjidil Haram. Mendongak ke langit luas dalam pekat malam, bertemankan butiran bintang serta kejora yang bersinar sesungguhnya begitu meneduh jiwa. Jiwa yang sentiasa dahagakan kasih sayang dan rahmat-Nya. Dan oh, tiba-tiba rindu saya kepada haramain begitu menggamit jiwa. Saya ke toko buku itu dengan satu misi - untuk mencari beberapa buku untuk santapan jiwa - satu perkara yang juga sudah agak lama saya tinggalkan! Renyah meniti hari-hari dengan mengendong tesis ke sana ke mari menguji istiqamah hati. Benar, saya hampir lemas dalam simfoni penulisan tesis hingga saya leka dengan tanggungjawab untuk berdampingan dengan-Nya .. Ketika saya menyusur deretan rak buku, saya tertarik dengan beberapa buah buku kecil yang disusun kemas. Lalu saya ambil dan belek seketika.
"Buku adalah sahabat. Berdampinganlah dengan buku. Bersahabatlah dengan ilmu dan bertemanlah dengan makrifat [pengetahuan]".
"Perbaharuilah hidup anda. Jadikan hidup anda lebih bertenaga dan sesekali ubah kebiasaan hidup anda seharian."
Begitu antara ayat-ayat ringkas yang dimuatkan sebagai pengubat hati yang gundah dan luka. Saya terus membelek lagi. Buku itu kecil, ringkas tapi penuh makna bagi saya. Lalu saya mengmabil keputusan untuk memilikinya. Biar kecil - mudah dikhatam. Biar ringkas tapi membekas.
Begitulah. Ia membuat saya menemui sedikit penawar.
Seuncang Zamrud untuk orang yang paling bahagia :)