Sunday 29 April 2012

Facebook dan SkyDrive

Salam.
Pejam celik, pejam celik, Mei sudah hampir memberi lambaian selamat tinggal. Fuh .. berapa banyak produktiviti di sepanjang bulan kelima di kalendar Masehi ini yang telah kita saya laksanakan? Hati digigit kerisauan. Esok, Jun pula menjenguk tiba. Satu lagi helaian kalendar akan diselak ke belakang.

Rupanya, kerisauan kerana tugas yang belum terlangsai bukan dirasai oleh saya seorang. Semenjak minggu lepas, ramai pelajar yang mengambil kursus teknologi pendidikan menghubungi saya. Pesanan ringkas di telefon bimbit, peti masuk email dan tidak ketinggalan mesej di Facebook bertanyakan tentang tugasan dan deadline.  

Panik. Mungkin itu perkataan yang sesuai sebagai gambaran perasaan mereka. Sementelah bilangan tugasan di bawah kursus ini meski tidaklah terlalu banyak tetapi menuntut komitmen yang tinggi. Semasa perjumpaan minggu nan sudah, mereka jelas kerisauan. Pertama, kerana projek penghasilan video mereka masih belum dimulakan. Manakan tidak, skrip videopun masih belum sempurna. Apabila saya menerangkan bahawa tugasan fotografi hanya akan saya nilai di bawah tugasan reka bentuk kulit buku, ramai menarik nafas lega kerana sekurang-kurangnya mereka hanya perlu menyediakan satu gambar terbaik untuk diintegrasi dalam tugasan tersebut. Saya tegaskan juga bahawa saya tidak akan membuat penilaian terhadap penggunaan Flickr atau Picasa atau apa juga ruang penstoran gambar di atas talian, walaupun perkara tersebut pernah disentuh sebagai sebahagian daripada tugasan semasa kuliah pertama dan kedua dahulu.

Selari dengan kursus yang banyak melibatkan penggunaan teknologi terutama untuk tujuan pengajaran, saya lebih banyak berhubung dengan pelajar menerusi talian Internet. Berbanding aplikasi Spin atau portal pengajaran dan pembelajaran, saya sebenarnya lebih banyak menggunakan 'group' atau kumpulan yang saya cipta di ruang Facebook. Segala perkongsian nota, artikel, pengumuman dan tidak ketinggalan jawapan kepada kemusykilan para pelajar semuanya saya lakukan di Facebook. Pelajar juga sebenarnya setuju benar bila mana saya nyatakan yang saya akan lebih banyak menggunakan Facebook sebagai pengantara. Apakan tidak; dia, dia, dia, dia, dia dan dia .. kesemuanya hantu Kak Limah Facebook! Dan sebagai respon kepada kerisauan mereka tentang tugasan yang tidak berapa jelas dari segi arahan sebagaimana tercatat dalam proforma kursus itu, sayapun menyenaraikan tugasan individu serta berkumpulan itu secara 'detail' terutama untuk aspek kriteria pemarkahan. Ini saya kira penting kerana pelajar harus tahu apakah elemen yang perlu mereka sediakan andai ingin mengaut 'markah asas' di samping markah 'tpo up' kerana tanpa adanya aspek-aspek asas dalam bahan yang dihantar, mana mungkin saya akan memberi markah yang lebih walaupun untuk tugasan yang disempurnakan dengan baik dan bersungguh-sungguh. Saya kira, perkara ini menjadi sesuatu yang perlu dititikberatkan oleh seorang pengajar. Adalah kejam jika kita banyak memberi pelajar tugasan, tetapi tidak pula mengemukakan aspek untuk penilaian. Oh, tapi bukanlah bermakna saya menentang konstrukvitisme dalam pengajaran! Saya melihat bantuan sebegini lebih bersifat 'scaffolding'. Bukankah 'scaffolding' juga merupakan cabang konstruktivisme? :)

Sahabat sefakulti saya pernah meminta saya terangkan bagaimana saya berkongsi dokumen dengan para pelajar di ruangan Facebook selain dari meletakkannya dalam format 'notes'. Salah satu jalan pintas yang boleh digunakan untuk tujuan sedemikian boleh dicapai dengan penggunaan SkyDrive. Sebenarnya selama ini, saya hanya menggunakan SkyDrive untuk menyimpan tesis selain daripada Dropbox. Sediakan payung sebelum hujan ... Kadangkala, perkara yang tidak diingini boleh saja berlaku  yang akhirnya memberi implikasi yang merugikan kita. Tidak dapat saya bayangkan jika suatu hari tiba-tiba komputer riba hilang, atau rosak serta segala dokumen sedia ada gagal di'back up'! Atau 'external hard disk' tiba-tiba meragam! Oucchhh... sakit perut makcik!!! Mahu menangis tak berlagu gamaknya! Jadi di atas pertimbangan itu saya menjadi pengguna setia kedua-dua aplikasi ini.

Baik. Berbalik kepada soalan sahabat saya tadi.
Saya terangkan kepadanya bahawa dengan memuatnaik dokumen yang hendak dikongsi ke ruang SkyDrive, dia boleh meletakkan pautan kepada dokumen tersebut di ruang Facebook (kumpulan untuk pelajar yang telah dia cipta itu). Pelajar boleh membaca dokumen tersebut dengan sekali 'klik' sahaja. Perkara yang sama boleh dilaksanakan di blog, terutama yang menggunakan Blogger. Namun bagi yang menggunakan Wordpress atau Weebly barangkali lebih mudah kerana terdapat kemudahan untuk memuatnaik dokumen disediakan di situ. Saya kurang menggunakan Scribd untuk tujuan ini kerana apa yang kongsikan ini lebih sesuai saya kategorikan sebagai 'private' atau lebih khusus kepada sasaran pelajar saya sahaja, malah sebahagiannya lebih bersifat sementara contohnya penerangan tentang tugasan terbabit itulah. Tetapi, jika bahan itu bersifat umum dan 'evergreen' dari sudut inputnya maka dalam hal ini penggunaan Scribd bolehlah dipertimbangkan.







Oh oh sebelum saya merapu dan jadikan ini sebagai kuliah, rasanya elok saya mengundurkan diri :)

Friday 27 April 2012

Dari dapur ke meja makan (entah relevant atau tidak tajuk ni? :p)

Saya bukanlah seorang pakar bila bercakap tentang aspek memasak di dapur. Namun sekadar 'cukup' untuk memenuhi selera keluarga, biarpun barangkali jika 'orang luar' mencuba masakan hasil air tangan saya, belum tentu dapat mencapai 'standard' selera mereka.

Meski bukan seorang suri rumah sepenuh masa, saya kira adalah penting untuk seorang yang bergelar isteri atau ibu meluangkan masa 'bersilat' di dapur demi suami dan anak-anak. Saya pernah teringat satu pesanan, bahawa air tangan isteri boleh 'mengikat' perut suami. Malah air tangan seorang ibu boleh membawa 'berkah' kepada anak-anak dengan kondisi bahawa proses di dapur dijalankan dengan perasaan yang ikhlas dan dilandasi rasa kasih sayang serta tidak lupa pula diringi dengan kalimah Allah ketika menumis, menggaul kuah dan sebagainya.

Menyingkap sejarah lampau, saya bukanlah terdidik dalam 'suasana' dapur. Mungkin ramai di luar sana yang sempat melalui pengalaman bertugas di dapur membantu ibu dan dalam masa yang sama menerima segala ilmu dan petua yang diperturunkan semasa proses praktikal tersebut. Saya katakan demikian kerana semenjak melangkah ke zaman persekolahan menengah saya sudah terlontar jauh di asrama bersama rakan-rakan yang lain. Ketika itu jiwa masih hijau. Pulang ke rumah hanya kala cuti sekolah panjang atau sesekali mencuri peluang mengubat rindu pada ma dan pak kala hujung minggu. Jadi kurang sekali peluang untuk saya mempelajari selok-belok seni memasak ini daripada tukang masak paling istimewa dalam hidup saya ini.

Habis persekolahan menengah, terus pula ke matrikulasi, kemudian ke universiti pula. Rasa saya, saat pertama saya 'terpaksa' serius dalam mengurusi dapur adalah ketika saya mula menyewa rumah di Pantai Dalam bersama rakan-rakan sekuliah di pertengahan pengajian ijazah pertama. Sebagai anggota rumah, masing-masing ditaklifkan dengan tugasan memasak - bergantung kepada jadual kuliah dan tutorial. Saya bertugas di dapur pada setiap hari Rabu, jika saya tidak tersilap ingat. Waktu itu, tercuit juga rasa kesal dengan kemampuan diri beraksi di dapur! Rata-rata ahli rumah saya itu rakan-rakan yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang - dan oh kebetulan pula kesemuanya mahir di dapur! Self-esteem saya begitu menurun. Terasa kerdilnya saya yang cuba berdiri di tengah-tengah wirawati dapur itu. Namun, saya terima keadaan itu sebagai satu cabaran. Panggilan telefon menjadi penghubung antara saya dengan ma di kampung - sambil tangan memegang sebatang pen, mulut pula kencang bertanya resepi-resepi yang 'praktikal'. Nasi minyak atau nasi tomato? Oh jangan bermimpilah!

Rakan-rakan turut menjadi sumber rujukan setiap kali saya mahu ke dapur. Oh memang stressful apabila tiba giliran saya ke dapur! Pernah juga di suatu musim Ramadhan bila mana saya ingin mencuba resepi puding karamel sebagai pelengkap hidangan berbukalah konon. Barangkali kerana kurangnnya kemahiran dan pengalaman, gula yang saya panaskan di periuk bukan setakat caramelised, tetapi sudah hangus berkerak. Seorang rakan saya masuk  ke dapur setelah mendengar suara saya yang bising di dapur. Lalu dia meminta saya terus sahaja mencampurkan gula di periuk itu ke dalam adunan telur serta susu cair yang telah saya sediakan terlebih dahulu itu.  Oh .. baiklah .. oleh kerana saya tahu dia pakar memasak, lalu saya menuruti segala arahannya.




Tiba waktu berbuka, saya agak teruja untuk merasa puding karamel hasil masakan saya buat julung kali itu. Aduhai ... luluh hati bila rasanya pahit dan tidak mampu saya telan :(
Rakan-rakan serumah mentertawakan saya! Namun sebenarnya memang agak lucu melihat wajah masing-masing yang tidak tahan dengan rasa pahit yang sudah masuk ke kerongkong.  Alahai .. lalu sudahnya saya terus sahaja mencapai kunci motorsikal usai solat Maghrib menuju kampus matrikulasi UIA di Seksyen 14 itu. Saya berterawih di surau blok Fatimah Az-Zahrah bersama rakan saya di sana, Na dan malam itu saya terus bermalam di katil kosong di bilik Na yang kebetulan tidak berpenghuni.

Rajuk saya agak panjang. Gelagat mereka yang mentertawakan puding karamel yang pahit hangus itu membuat saya kecil hati. Saya ceritakan kepada Na. Mendengar kisah itu dia mengeluarkan dekahan yang panjang. Bertuah punya teman! Dua kali saya ditertawakan! Namun, dengan Na saya OK.

Sudahnya saya bermalam di kampus UIA selama tiga malam. Motorsikal terpaksa saya 'sorokkkan' di ruang parkir bawah agar tidak ketahuan oleh 'pakcik guard' kerana jelas terpampang logo UM di situ. Saya hanya pulang ke rumah sewa untuk mengambil pakaian dan ketika semua orang tiada di rumah. Masih saya ingat, ada nota kecil diletakkan di atas meja saya, pastinya oleh rakan serumah yang mengajak saya pulang. Ada enam tanda tangan di situ. Oh oh .. hati saya tercuit pula. Antara ayat yang saya masih ingat - "Za, pulanglah. Kami rindukan mu."

Akhirnya malam itu saya tidak menyambung tidur di 'hotel' percuma itu lagi. Kepulangan saya disambut dengan sebekas nasi tomato masakan Mija! Sungguh indah. Itulah pengalaman dan persahabatan. Kedua-duanya harta yang tidak ternilai harganya.

Tamat tempoh pengajian, saya mula bertugas di pinggir Rompin - satu daerah asing namun penuh makna dan warna. Di sana, saya dilantik menjadi warden asrama. Tinggal bersama dua rakan guru yang lain sekali lagi membutuh tanggungjawab di dapur. Untunglah saya kerana saya ada Kak Yah, ketua panitia yang serba boleh di dapur. Lalu, koleksi resepi yang mudah sering saya saya dapatkan daripada beliau setiap kali ada waktu senggang di bilik guru. Saya mula berjinak dengan tomyam, nasi ayam, pajeri nenas, nasi minyak serta gulai. Dari situ, saya mula suka akan acara di dapur. Tambahan pula rakan serumah gemar membantu. Kami sama-sama bereskperimen di dapur kecil itu. Sama-sama pula ke pasar setiap hjung minggu untuk memenuhkan ruang dalam peti ais.

Sehingga akhirnya saya mendirikan rumah tangga, saya semakin percaya dengan diri sendiri. Malah kerana mudahnya untuk mendapatkan resepi-resepi baru melalui capaian di atas talian, saya sentiasa belajar mencuba sesuatu yang baru.

Anak saudara saya Icha, suatu hari, ketika menikmati nasi lemak bersama ayam goreng berempah di rumah berkata:

"Icha ni kan Cik Za, kalau lepas masak di dapur mesti rasa mual dan pening. Kadangkala boleh demam."

"Begitukah?"

"Ye! Sebab tu Icha tak gemar memasak. Lecehlah Cik Za tapi Icha suka akan masakan Cik Za." pujinya.

"Oh ya kah? Terima kasih .. tambah lagi .." saya menghulurkan mangkuk besar berisi nasi lemak.

Dia menambah satu senduk lagi.

"Nanti kalau dah kawin macamana? Takkan nak makan di kedai setiap hari?," usik saya.

"Itulah yang lecehnya .." wajahnya sedikit mendung. "Tak kahwinlah jawabnya." dia ketawa besar pula.

Di saat itu, saya terbayangkan diri saya dan kisah lama.
Benar, bukan mudah untuk menjiwai seni memasak 'dari hati' jika 'tiada hati'.
Perbualan ringkas dengan Icha itulah sebenarnya yang mendorong saya mencatat entri ini.

Monday 23 April 2012

Lain padang lain belalang

Jika dalam konteks epistemologi dalam penyelidikan, terdapat dua mazhab utama yang seringkali dibahaskan, malah menjadi asas penting untuk difahami dan dicerna sebelum seseorang penyelidik itu menjerumuskan diri dalam penyelidikan secara ilmiah. Namun di sini, saya tiada niat untuk mengupas kedua-dua mazhab atau 'epistemological considerations' secara panjang lebar kayak di kelas saya setiap Jumaat itu.

Saya hanya ingin memetik betapa golongan interpretivis banyak berpegang pada kepercayaan bahawa setiap manusia itu adalah berbeza antara satu sama lain. Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Lain padang lain belalang. Lain lubuk lain ikannya. Mungkin ini antara peribahasa yang memberi gambaran maksud yang lebih kurang sama, meski penggunaannya barangkali menyusup ke dalam konteks atau pemahaman yang berbeda. Apa-apalah .. yang utama, saya cuma sekadar mahu menulis tentang sikap menusia yang berbeza. Banyak contoh perbezaan manusia, namun ingin sekali saya 'zoom' kan lensa penulisan saya hanya kepada satu skop kecil dalam kehidupan. (Rational saya menyebut tentang interpritivisme di awal tadi kerana saya ingin menegaskan bahawa dek kerana perbezaan antara individu manusia, maka tidaklah boleh sesuatu kejadian atau dapatan itu digeneralisasikan kepada 'semua' individu .. kerana apa yang terjadi hari ini mungkin kerana individu itu sahaja .. dan bukan bermaksud saya mengatakan semua orang adalah sama :) )

Seorang sahabat, pernah datang bertemu saya untuk menanyakan tentang satu bahan penulisan saya. Katanya, dia mohon jasa baik untuk meminjam bahan tersebut. 'Urgent' katanya. 'Penting' pula untuk satu sebab yang membuat saya cukup prihatin untuk membantu. Lalu janjinya, sekadar seminggu. Itupun jika saya izinkan. Paling minimum dia meminta tiga hari. Oh, saya katakan bahawa bahan itu boleh saja dia rujuki dan saya tidak ada sebarang perancangan untuk merujuk bahan penyelidikan saya itu dalam tempoh terdekat, dan dia pula meyakinkankan saya bahawa seminggu sudah lebih dari cukup.

Namun itu cerita tiga bulan yang lalu.
Hari ini, saya memerlukan bahan tersebut kerana beberapa pelajar sarjana datang mengetuk pintu bilik untuk mendapatkan bahan tersebut sebagai panduan penulisan usulan kajian ilmiah mereka. Malang nasib mereka kerana bahan tersebut masih di tangan peminjam pertama.

Saya katakan kepada mereka bahawa saya akan mendapatkan semula bahan tersebut sebelum Selasa minggu ini. Lalu tadi saya menelefon sahabat budiman itu. Beberapa kali saya mencuba, tiada juga dijawabnya. Saya menghantar teks pesanan ringkas. Semenjak pagi hari, sehingga ke saat ini, tiada juga mendapat respon.

Barusan saya menelefonnya sekali lagi dengan harapan agar dapat juga saya menyampaikan niat dan hajat di hati untuk menyunting semula bahan pinjamannya  yang sudah menjangkau tempoh tiga bulan itu.
Tup-tup .. satu pesanan ringkas saya terima.
"Aku ada hal. Tak dapat jawab telefon. Telefon aku balik esok."

Aduh. Begitukah gayanya? Manis sungguh. Beginikah caranya dia menjawab pesanan saya. Sekurang-kurang maklumkanlah bila saya boleh mendapatkan bahan itu semula. Hmm ... terganggu sedikit emosi saya.  Seboleh mungkin saya tidak mahu merencatkan tugasan yang sedang saya usahakan semenjak pagi tadi ini. Masih ada berbaki satu jam lebih rakaman audio yang memuatkan perbincangan saya dengan penyelia, Linda  yang turun ke Malaysia seminggu yang sudah. Saya perlu menyiapkan laporan perjumpaan untuk tatapan penyelia pertama, Gordon sebelum meneruskan apa yang perlu saya teruskan dalam penulisan tesis (yang belum berpenghujung iniiii!!!!)

Lihat.
Saya sudah melakukan 'procrastination'!
Gara-gara manusia yang bergelar sahabat budiman itu, tidak semena-mena saya meng'update' blog pula! Alahai ..


Inilah belalang .. tak percaya??? :P

Thursday 19 April 2012

Ulang tahun



Sekadar memperingati dan tanda syukur.

Kelmarin, saya meraikan ulang tahun kelahiran suami bersama keluarga, secara bersederhana namun cukup bermakna.

Suamiku,

Terima kasih kerana memilih aku antara beribu, meski diri ini bukanlah insan yang sempurna lantaran banyak sekali kekurangan dan kekhilafan yang kadangkala bisa menjadi tuba dalam perhubungan kita. Terima kasih kerana masih menerima diri ini meski isterimu ini sering saja menambah luka di dada. Malah kerana kekurangan diri ini juga, tidak bisa aku menjadi suri terbaik mengikut landas Deen yang suci.

Alhamdullah ya Allah, segala kesyukuran dirafa’kan kepada-Mu jua kerana memelihara ikatan suci kami serta menebarkan benih-benih bahagia ..

Abang, insyaAllah akan kuhadiahkan sebuah kejayaan kelak .. sebagai hadiah terindah di atas segala pengorbanan sucimu. Amin …  

Monday 16 April 2012

QRAM dan aktiviti

Pagi tadi saya menerima satu pelawaan daripada Dr. Anisah Baharom - sekretariat QRAM (Qualitative Research Association Malaysia) untuk menghadiri seminar dan bengkel Kajian Tindakan du kampus Lembah Pantai. Maklumat lanjut seminar/bengkel tersebut boleh dicapai di sini.

QRAM sendiri sebenarnya merupakan satu kesatuan yang menghimpunkan para sarjana yang terlibat secara langsung atau tidak dengan pengendalian penyelidikan secara kualitatif. Saya secara peribadi mula menjadi ahli QRAM semenjak tahun 2007, bermula sebagai student-member. Akhirnya saya mendaftar sebagai ahli seumur hidup kerana saya percaya dengan penglibatan dalam program-program anjuran QRAM banyak memberi manfaat kepada saya selaku insan yang masih bertatih dalam dunia penyelidikan kualitatif. Penghujung Mac yang lalu, saya juga menghadiri seminar anjuran QRAM yang dilangsungkan di Ambang Asuhan Jepun, UM. Rata-rata yang hadir merupakan pelajar ijazah kedoktoran yang sedang bergelut dengan penyelidikan secara kualitatif. Namun, ada juga misalnya, dua orang peserta yang merupakan pelajar PhD dari Indonesia yang masih membuat pertimbangan sama ada hendak mengendalikan kajian kualitatif atau kuantitatif. Katanya, dia sedang 'window shopping'. Apapun istilahnya, saya kira tujuan peserta ke seminar ini tidak lain tidak bukan ialah untuk nenimba ilmu serta mendengar perkongsian pengalaman daripada mereka yang lebih lama menggeluti dunia kualitatif ini.

Kata Dr. Sharan Bong dari Monash University selalu pengucaputama seminar itu, tanpa pengalaman mengendalikan kajian kualitatif, tidak mungkin seseorang itu akan dapat menceritakan secara 'vivid'  keindahan rekabentuk kajian ini. Istilah 2M agak mencuit hati. Kualitatif seringkali dikaitkan dengan 2M - 'Messy' dan 'Massive'. Oh oh saya setuju seratus peratus! Pengalaman saya senditi bergelumang dengan proses transkripsi yang memakan masa lebih empat bulan serta proses 'coding' menggunakan Nvivo serta penghasilan matrix yang tidak berkesudahan cukup membuat jiwa tertekan. Belum lagi menyentuh soal bagaimana membangunkan 'conceptual findings' untuk dipersembahkan dalam bab analisis. Kadangkala saya berasakan yang saya seperti 'lemas' berenang di lautan data yang tidak bertepian. Bayang-bayang wajah penyelia saya - Gordon dan Linda hanya muncul di penghujung daratan sana, begitu jauh dari jangkauan. Namun kerana bayang-bayang itu masih ada di situlah, makan perjuangan ini saya teruskan. Meski kapasiti diri tercabar bukan kepalang. Itulah pengalaman. Pedih namun indah.










Beberapa orang rakan saya berminat untuk menjadi ahli seumur hidup QRAM ini. Saya mengalu-alukan pertambahan ahli baru malah berasa teruja melihat gerombolan rakan-rakan sekapal bersama-sama memacu tenaga ke arah peningkatan ilmu. Jom!! :)

Friday 13 April 2012

Yang indah itu bahasa





Sekian lama rasanya saya tidak mengikuti mana-mana bengkel yang bertunjangkan bahasa sebagai kandungan utama. Mungkin paling hampir adalah bengkel-bengkel berkaitan penulisan tesis tetapi itupun, lebih kepada perkara-perkara teknikal bagaimana untuk menguruskan data serta mempersembahkannya dalam bentuk laporan manakala penekanan sampingan adalah berkaitan isu-isu seperti plagiarisme serta disiplin yang perlu ada dalam diri setiap orang penyelidik agar dapat menyiapkan penulisan mengikut garis masa yang ditentukan .. (pun, masih tidak berjaya mencapai target penyerahan keseluruhan bab mengikut tempoh! *sigh*)




Baru-baru ini saya berkesempatan menjadi peserta Bengkel Penataran Manuskrip atas pelawaan daripada pihak kedekanan. Tidak ramai yang mahu hadir. Barangkali masing-masing sudah mempunyai jadual yang ketat beserta komitmen di tempat lain. Namun itu tidak menghalang kami yang ada (sekitar 25 orang) untuk menghadam setiap butir yang dikongsi sepanjang tempoh bengkel sehari itu. Oh oh .. terasa seperti kembali ke bangku sekolah pula bila kami 'diperkenalkan semula' dengan isu-isu berkaitan morfologi serta sintaksis dalam  bahasa Melayu.


Sesi di awal pagi sehingga menjelang waktu tengahari itu dikendalikan oleh seorang guru pakar dalam bahasa Melayu, Puan Salina dari SMK Aminudin Baki. Saya tabik kepada wanita ini. Meskipun sentiasa merendah diri, namun percikan ilmunya sememangnya menggambarkan kedalaman ilmu yang dimiliki. Duh, lucu sekali rasanya kerana banyak perkara yang seringkali digunapakai dalam komunikasi atau percakapan harian kita tidak menepati kaedah sebenar. Malu rasanya hendak mengaku saya ini berbangsa Melayu, yang menggunakan bahasa ini sebagai bahasa ibunda!


Meskipun pengisiannya padat dan sarat dengan maklumat, oleh kerana pada malam sebelum saya tidur agak lewat iaitu sekitar jam tiga pagi, menjelang jam sebelas mata saya diserang kantuk yang amat sangat! Hampir tersengguk di meja! Aduhai .. saya berpaling ke arah belakang. Dr. R di bangku belakang sedang 'beratib'. Rapat matanya dipejam. Oh, saya tidak sendirian! Ketawa kecil di dalam hati. Benar-benar mengingatkan saya kenangan di zaman sekolah menengah dahulu bila mana guru di hadapan sedang bercakap, pelajar di bangku melayan mimpi.


Usai menjamah hidangan tengahari dan mendirikan solat Zohor, barulah terasa mata cerah kembali. Sesi petang pula dikendalikan seorang pegawai dari DBP, En. Karim yang juga merupakan mantan guru di sekitar tahun tujuh puluhan dahulu. Istimewanya En. Karim ini seorang yang lucu sekali. Tidak kering gusi kami melayan leluconnya itu. Ada-ada sahaja idea kreatifnya untuk memancing dekahan ketawa hadirin. Namun dalam gelak ketawa, sekurang-kurangnya ada juga ilmu baharu yang ditimba. Umpamanya, perbezaan antara baru dengan baharu, untuk dengan bagi, tentang dengan mengenai, kesal dengan sesal, jemput dengan undang dan sebagainya lagi.


Alhamdulillah.
Ilmu Allah itu sememangnya luas. Tidak mampu seorang hamba itu untuk menguasai kesemua ilmu yang ada. Semoga Allah memberkati para guru saya itu atas perkongsian ilmu yang penuh makna.


p/s: kenangan di tingkatan empat dahulu tiba-tiba sahaja menerjah sangkar ingatan. Guru bahasa Melayu saya, Munsyi Talib pernah meminta kami membina ayat menggunakan perkataan 'kesiangan'. Oleh kerana sebahagian besar kami berasal dari Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu) maka banyak jugalah ayat-ayat yang terhasil yang menggeletek perut. Antaranya seperti:


"Melihat ibu yang kematian anak itu menangis teresak-esak, hati Pak Hashim kesiangan."
(merujuk kepada rasa kasihan - orang Terengganu menyebut kasihan itu "ssiang" kah kah kah)


"Ikan-ikan yang kesiangan itu akhirnya direbus dengan api perlahan."
(merujuk kepada perbuatan membuang tulang ikan - disebut 'siang ikang' kah kah kah)  


Jelas. Kami sangat kreatif namun tiada kepersisan dalam penggunaan kosa kata (^^,)

Wednesday 11 April 2012

Cinta kekasih berair mata, cinta sahabat penawar hati

Salam.


Sudah lebih setahun rupanya semenjak kali terakhir saya bertemu dengan sahabat akrab saya nan seorang ini. Persahabatan yang dimeterai sekian lama semenjak di bangku sekolah rendah, darjah empat secara tepatnya. Jarak antara kami tidaklah jauh namun masa seringkali membatasi jadual pertemuan. Dia dengan dunianya dan saya juga dengan dunia saya. Masing-masing sarat dengan tugasan yang datang dan pergi, silih berganti. Ibarat hari yang berlalu, siang berganti malam, malam berganti siang, saling bersapaan. Begitulah, putaran masa yang tidak pernah berhenti walau sepicingpun, kecuali apabila tibanya janji Allah - apabila putaran alam tidak lagi mengikut sunnahtullah.


Lama nian saya mengepung rindu sebenarnya. Namun saya akui, saya lebih banyak mendiam dalam kepompong justeru hajat saya memetik bintang di malam purnama belum jua kesampaian. Lalu niat untuk bersosial secara sendirinya bukan lagi menjadi satu keseronokan yang dicari. Namun, kerana persahabatan dan nilai ukhuwwah kami sudah melebihi saudara kandung, lalu ingatan saya kepadanya tidak pernah luntur. Suatu hari, saya menggagahi diri untuk mendail nombor telefon bimbitnya. Terkejut barangkali dia, apabila menerima panggilan saya itu setelah sekian lama beruzlah dan menyendiri dalam dunia sepi seorang abdi kepada tuntutan ilmi.


"Kamu, tetap dalam ingatan. Walau jauh, walau dekat - kerana kamu itu tidak bisa aku luputkan dalam ingatan. Kamu itu penuang semangat yang menyalakan dian perjuangan. Kamu itu penasihat aku kala diri ini dalam ruang keliru," ujar saya.


Kala itu, dia baru sahaja memulakan cuti sabatikalnya selama sembilan bulan. Mahu lari seketika dari kekelutan kerja di kampus hijau, di samping mencari ruang untuk diri sendiri - penyelidikan dan hal-hal penulisan kreatif yang telah sekian lama dia geluti, begitu terangnya. Itulah sahabat saya, Dr. K. Sahabat semenajk zaman bocah. Keakraban itu tidak pernah goyah. Saya mengenali hati budinya, walaupun mungkin tidak sampai ke akar umbi, namun saya berani menyatakan yang cara pemikiran dan tatacaranya sungguh saya mengerti. Dalam keseriusan dan ketegasan, dia berjiwa halus. Pekerti mulia sering menjadi hiasan diri. Sifat manja juga turut mewarnai peribadi sahabat saya ini. Dia anak emak! :)


Dia justeru menanyakan kapan kami boleh bersua kembali, mengulangi pertemuan lebih setahun yang sudah - pada tarikh dia menyambut ulang tahun kelahiran. Saya katakan, saya harus menunggu. Sekurang-kurangnya sebulan lebih sebelum benar-benar bersedia menemuinya. Saya sebenarnya rusuh jiwa, lelah minda. Tidak mampu saya untuk berdepan manusia lain di kala saya bergelut dengan kesukaran yang saya hadapi sepanjang menyiapkan penulisan ilmiah saya ini. Mudah-mudahan dia mengerti kala itu bahawa saya memerlukan waktu senggang sebelum saya mampu mengembangkan kelopak.



Baru-baru ini, dia menghubungi saya.  "Bila agaknya kita boleh bersua?"
Saya tidak berfikir panjang, kerana tempoh sebulan sudah lepas lalu janji harus saya kotakan. Ditambah pula saya memang berhajat menemui dia, sekurang-kurangnya untuk 'mengecas' semangat untuk terus berlari, atau paling tidak untuk  terus merangkak menuju destinasi bintang di sebalik bulan.


"Kita jumpa Isnin depan." Jawab saya seraya mengesyorkan tempat pertemuan di Laman Pujangga. Tentunya untuk para pujangga mengukir idea, memahat kenangan dan syair mesra :). Dia bersetuju.


Isnin itu tiba jua.
Atas beberapa sebab, kami menukar tempat pertemuan. Kali ini menuju restoran nasi beriyani. Namun hampa kerana kerja-kerja penyelenggaraan sedang dijalankan pada hari tersebut lalu kami terus melabuhkan punggung di Little Perak. Dan oh, kebetulan juga, suami saya dan suami dia berasal dari Perak!


Kay oh Kay.
Saya lihat dia sedikit berisi. Namun itu tidaklah menghairankan kerana dia kini sedang berbadan dua. Alhamdulillah, rezeki Allah .. Saya tumpang gembira. Meski perut berisi, itu tidak membataskan kami menikmati hidangan tengahari yang disulami bicara mesra - dari sekecil perkara sehingga yang sebesarnya. Banyak perkembangannya yang tidak sempat saya ikuti. Dia turut berkongsi tentang perancangannya di sepanjang dia bercuti sabatikal ini dengan saya. Saya kagum dengan semangatnya. Saya turut berbangga punya sahabat yang berjiwa kental seperti dia. Di kala usia menginjak dewasa, dia jelas seorang pejuang kewanitaan. Sahabat, kamu memang tidak berubah! Kedegilanmu itulah sebenarnya yang menjadikan dirimu sebagaimana engkau sekarang. Faham maksud aku? Kedegilan yang sebenarnya memandu semangat dan jiwamu menjadi segaring matahari, segah gunung. Itulah.


Sewaktu bercerita itu-ini dan ini-itu, dia menghulur lembaran kertas. Cadangan untuk satu projek penulisan katanya dan tanpa duga saya, nama saya tersenarai dalam kelompok penulis. Lucu ah! Namun dia meyakinkan saya agar mencuba. Sememangnya jauh di sudut hati, memang terniat di kabad saya ini untuk menulis sesuatu tentang jerih-perih laluan PhD. Namun tidak pernah saya terfikir ruang itu tiba-tiba terbantang di hadapan mata. Namun saya masih ragu-ragu, bukan kerana soal untuk menyiapkan penulisan bab dalam buku tersebut tetapi kerana hal tesis saya yang belum berkesudahan. Itulah sebenarnya yang menjadi sebongkah beban yang sedang saya pikul di bahu kini. Saya jelaskan juga, jika di saat tarikh akhir penyerahan manuskrip itu saya belum selesai penulisan, maka tergugurlah nama saya daripada senarai yang sepuluh itu. Saya tidak mahu menerbitkan penulisan saya, sedangkan laluan sebeanr belum juga saya bolosi dengan jaya.


Motivasi.
Tentu sahaja perkara tersebut sebenarnya sedikit-sebanyak menyuntik motivasi saya untuk menyiapkan segalanya menjelang Ogos yang sudah tidak berapa jauh lagi itu.
Ya Rahmaan Ya Rahiim .. aku pohon secebis rahmah dan pertolongan-Mu agar perjalanan ini mampu kusudahi kerana aku sudah tidak kuat berdiri lagi...


Sahabat, doakan aku. Perjuangan ini belum berkesudahan lalu apalah yang mampu kulakukan selain terus mengayuh dan mendaki.


Pertemuan kita, meski terbatas dek masa, tetap menjadi penawar. Terima kasih di atas perkongsian cerita dan pengalaman, tidak lupa atas semangat yang sering kau tebarkan. Semoga Allah memberkati ukhuwwah kita selamanya. Titipanmu buat aku dan anak-anak sungguh istimewa sahabat, berbanding ingatan kecilku yang tiada harga. Terima kasih sekali lagi.


Matahari garing di pundak kala kami melangkah keluar menuju ruang parkir.
Berpisah kami di situ. Mudah-mudahan akan ada pertemuan menyusul kemudian hari, insyaAllah ..


Sengaja aku membawa pantun ini sebagai menghargai persahabatan yang kita bina, Kay:




Laman istana berbatu-batu,
Laman ditanam si pohon ara;
Teman ketawa beribu-ribu,
Teman berduka boleh dikira.

Mawar berduri di dalam taman,
Indah kembang bersama dahlia;
Bila sendiri ku damba teman,
Derita melayang berganti bahagia.

Kota merintih ditimpa sengketa,
Kota berdebat berhasad dengki;
Cinta kekasih berair mata,
Cinta sahabat penawar hati.

Pohon amra buahnya lebat,
Dipetik sebiji si dara sunti;
Mekarlah cinta dua sahabat,
Semerbak seri penyejuk hati.



  

Wednesday 4 April 2012

Nottingham City in memory ..



Seketika menjengah tanah ratu, beberapa purnama menghuni daerah Nottingham, justeru kerana tuntutan ilmu. Meski tidak lama di sini, suasana yang tidak pernah dilalui mengajar saya erti kehidupan dan juga kebesaran-Nya. Maha Suci Allah dan Maha Bijaksana .. sehingga terciptanya hamba-hamba yang pelbagai bangsa, bahasa dan budaya.

Suara latar di belakang itu sebenarnya suara emas sahabat akrab saya - Sally yang turut sama-sama menjadi tamu Nottingham untuk tempoh beberapa purnama itu. Hahaha .. tentu saja kita bisa menebak bila rakaman ini dijalankan .. kerana ada 'hint' di situ.

Benar. Kala itu Ramadhan sudah mula berengsot pergi, menggamit kedatangan Syawal. Lalu Sally memperkatakan tentang zakat fitrah. Syukur, kami punya suami budiman lagi penyayang .. meski jauh di perantauan, zakat fitrah kami tetap juga dilangsai .. terima kasih darling :)

Tahun itu, saya dan Sally beraya di Paris. Destinati pertama yang kami tuju ada Mosque de Paris. Nantikan episod seterusnya tentang raya di sana, insyaAllah... 

Tuesday 3 April 2012

Permulaan bagi sesuatu


Jumaat.
Kebiasaannya, hari Jumaat merupakan hari yang agak santai. Bukan sahaja kerana bilangan jam kuliah hanya tiga, malah kerana Jumaat merupakan penyambung kepada Sabtu dan Ahad... hari merehatkan minda seketika dari penat lelah di bendang penulisan  yang entah bila kan dapat dituai hasilnya .. namun sebagai seorang pengusaha bendang, saya harus yakin bahawa berkat kegigihan saya menanam benih, membaja dan memberikannya air dan suria yang mencukupi, hasil tanaman saya tentu akan menyubur. Selebihnya, doa kepada Pencipta agar usaha tersebut menjadi. Penjadi pengusaha tanaman juga memerlukan kemahiran, dan kemahiran tersebut tidak akan dapat dikuasai dalam sekelip mata. Kadang kala, kita harus belaajr dari 'trial and error' proses. Lalu, hati yang waja dan semangat yang membara sememangnya perlu menjadi perisai supaya tidak mudah mengalah dan menyembah bumi meskipun kadangkala tanah yang dibajak tidak menjadi .. batas yang dibina tidak cukup kukuh untuk menampung pohon yang rendang! Ah apa saja yang saya gumamkan?

Oh ya . Berbalik kepada Jumaat nan lalu. Jadual pengajaran saya bertambah justeru giliran saya mengendalikan kuliah kaedah penyelidikan sudah tiba. Saya melihat jadual topik-topik kuliah. Ex-post facto dan survey research. Hah. Kesemuanya kajian berunsurkan kuantitatif dari sudut rekabentuk. Lalu oleh kerana saya sudah agak lama 'meninggalkan' praktis kuantitatif, lalu saya perlu bersedia sedikit sebanyak. Buku-buku rujukan lama kembali saya keluarkan dari susunan di rak buku. Buku-buku tulisan Bryman kembali saya uliti. Begitu juga buku Ary dan rakan-rakan. Senarai buku rujukan sebagaimana tertera dalam proforma kursus turut saya selak. Kebanyakannya buku tulisan penulis tempatan dan pastinya menggunakan Bahasa Melayu sebagai media.

Saya diberitahu oleh rakan pensyarah yang mengendalikan kuliah yang sama beberapa minggu nan sudah sebelum saya mengambilalih bahawa rutin kelas lebih berbentuk konstruktif. Pelajar akan membentangkan hasil kajian perpustakaan mereka lewat buku-buku rujukan sebagai sumber lalu menerangkan sesama sendiri perihal tajuk yang telah diberi. Ini akan diikuti dengan sesi soal jawab. Di sinilah peranan pensyarah bermula. Menokok tambah, menyebarluas penerangan agar tahap kefahaman pelajar-pelajar peringkat Sarjana itu akan bertambah.

Lalu saya akur dengan rekabentuk pembelajaran yang telah dilaksanakan itu. Melangkahlah saya ke ruang bilik kuliah dengan perasaan yang seadanya. Saya memasang niat bahawa kehadiran saya di situ adalah untuk berkongsi sedikit pengetahuan yang saya ada serta pengalaman yang pernah saya lalui dalam menghasilkan kajian peringkat sarjana serta jerih perih yang saya lalui ketika mengorak langkah mendaki tangga pengajian doktor falsafah. Saya percaya bahawa dengan melalui sendiri pengalaman itu, barulah seseorang dapat berkongsi dengan lebih jelas tentang apa yang bersangkut paut dengan kajian.

Tidaklah menghairankan saya bilamana saya diberitahu bahawa kesemua pelajar sarjana saya itu merupakan guru di sekolah. Namun saya kagum kerana kebanyakan mereka datang untuk mengutip ilmu di atas inisiatif sendiri, menggunakan duit poket hasil profession nan mulia itu. Seperti biasa, saya menjadi diri saya sendiri. It was a pure me, jika boleh saya katakan begitu. Lalu bagi yang pernah mengenali saya tentu faham kenapa pelajar tidak akan kering gusi apabila bersama saya dalam sesi P&P. Meski kali ini pelajar saya merupakan pelajar dewasa, saya masih menjadi saya. Dan saya percaya, kerana nature of teaching saya yang sedemikian rupa, mereka cepat 'terbuka'. Mereka yang pada awalnya agak kaku, malah ragu-ragu untuk bersuara akhirnya berjaya dicairkan.  Saya gembira.

Oleh kerana saya melalui saat yang agak sukar untuk memahami falsafah yang merupakan tunjang utama sebelum seseorang mengendalikan penyelidikan, saya ingin berkongsi dengan mereka tentang kefahaman saya, agar akhirnya mereka juga mengerti. Saya tekankan bahawa stance dalam penyelidikan amat penting sebagai titik tolak. Saya menyebut tentang ontology, epistimology dan paradigm. Ternyata mereka terlongo. Tidakkah seharusnya perkara itu menjadi asas perbincangan kala kuliah pertama lagi? Namun saya buang jauh-jauh prasangka itu. Bukan untuk menuding jari, namun saya cuba menyoroti kefahaman bahawa latar belakang dan suasana institusi mungkin membentuk peri fahaman nan berbeda. Lalu saya tidak begitu memanjangkan soal falsafah lebih-lebih lagi apabila masih ada banyak perkara yang perlu saya sentuh untuk kuliah kali itu.

Memandangkan aspek kajian tinjauan berkait rapat dengan persampelan, lalu saya menyentuh juga tentang bentuk-bentuk persampelan dan bila masa yang sesuai untuk menggunakan teknik yang tertentu bagi mengelakkan sampling error. Itu mengingatkan saya kepada detik-detik di kelas kaedah penyelidikan yang pernah saya lalui kala menjadi pelajar sarjana di UPM dahulu. Saya benar-benar terhutang budi kepada pensyarah saya, Prof.Dr. Rohani yang begtu cemerlang menjalankan tugas sehingga akhirnya subjek kaedah penyelidikan dan statistik merupakan aspek yang paling saya gilai ketika itu! Lalu, sebagai seorang tenaga pengajar, saya mengambil contoh itu untuk saya abadikan dalam pengajaran saya pula.

Masa hampir tiga jam itu akhirnya tiba di penghujungnya jua. Saya kira inilah momen yang paling menyeronokkan saya apabila bertemu mata dengan pelajar-pelajar sarjana, tambahan mereka adalah guru-guru sekolah yang begitu rapat dengan latar belakang saya sendiri. Saya seronok berhadapan dengan pelbagai soalan daripada mereka yang tidak segan bertanya itu-ini. Malah aday ang meminta maaf kerana 'terpaksa' menyoal pancasoalan. Mereka bimbang di kuliah akan data, tidak ada penerangan seperti itu, kata mereka. Mereka juga meminta agar kuliah yang akan datang dikendalikan saya sepenuhnya. Saya terkebil-kebil seketika. Saya tanyakan kenapa. Jawab mereka, mereka gembira di kuliah hari ini. Penerangan dan soal-jawab yang bermakna yang jarang mereka perolehi dalam kuliah sebelumnya. Begitukah? Saya berkata hanya di dalam hati. Saya tersentuh kerana mereka menghargai kehadiran saya di situ yang sedari awal telah saya jelaskan kedudukan bahawa I was not standing there as an expert. Sebaliknya hanya sebagai seorang rakan untuk berkongsi pengalaman dan sedikit pengetahuan setakat termampu.  Saya katakan bahawa saya tidak mampu menangani kuliah tersebut seorang diri lantaran sistem giliran sudah ditentukan sedari awal, lalu saya dan mereka perlu akur. Namun saya maklumkan yang kami akan ketemu lagi dalam beberapa siri kuliah akan datang di bawa tajuk Grounded Theory, Content Analysis, Phenomenology serta Case Study. Seperti pelajar sekolah, sebilangan mereka agak keanak-anakan! Ada yang bertepuk tangan (boleh percaya???) dan apabila saya hampir melangkah keluar, mereka meminta saya kongsikan nombor telefon serta email dan Facebook untuk 'rujukan di kemudian hari' Oh oh .. saya kira saya bukanlah orangnya! Kerana saya sedar ilmu saya terlalu dangkal untuk itu. Namun saya katakan saya akan cuba membantu setakat yang terdaya, kerana I am still learning, just like you!

Kuliah kami tidak berakhir di situ. Oleh kerana waktu Maghrib sudah mula menyapa 20 minit sebelum kami bersurai, kami sama-sama menuju musolla. Alhamdulillah, solat maghrib berjemaah bersama ..